Bagaimana Memupuk Keseronokan Membaca?

4368

“Membaca itu jambatan ilmu.” Itulah kata pepatah yang sering diucapkan kepada anak-anak untuk menggalakkan minat membaca tetapi bagaimana pula kaedah membina jambatan itu? Jambatan adalah penghubung kepada dua jalan yang terpisah. Ini bermakna jambatan yang dibina perlulah diperkukuhkan dengan bahan-bahan berkualiti. Jadi, dalam usaha menggalakkan anak anda membaca, anda sebagai ibu bapa harus menyediakan bahan-bahan bacaan yang berkualiti dan mempunyai pelbagai nilai murni.

Membaca akan menjadi seronok jika bahan bacaan yang diambil menyeronokkan, menyegarkan dan memberi nilai tambah kepada pembaca. Begitulah bahan bacaan yang terbaik untuk dibaca. Bagaimana anak-anak memiliki semangat untuk membaca? Ia bermula dengan sikap ibu bapa itu sendiri yang menunjukkan keseronokan ketika membaca. Membaca tidak memerlukan sebarang paksaan. Minat membaca amat susah untuk dihidupkan jika anak-anak itu dipaksa. Minat itu boleh dipupuk secara tidak langsung. Contohnya, anda boleh menceritakan kepada anak cerita menarik yang baru anda ketahui dalam pembacaan yang anda lakukan. Pastikan cerita yang akan diberitahu merupakan sesuatu yang menimbulkan keseronokan dalam diri anak anda.

Mewujudkan ruang bacaan buat si manja juga dapat membantu memupuk minat membaca. Ruang bacaan perlulah selesa dengan mengambil kira faktor pencahayaan dan pengudaraan untuk menghasilkan masa pembacaan yang berkualiti. Anda boleh meletakkan rak buku di dalam biliknya yang dipenuhi dengan pelbagai buku yang bersesuaian dengan peringkat umurnya. Pemilihan buku juga penting bagi mendorong mereka untuk membaca. Bagi kanak-kanak dalam usia prasekolah, buku-buku yang dipilih harus mempunyai ilustrasi dan bukan hanya dipenuhi dengan teks semata. Faktor visual di dalam pembacaan turut memainkan peranan yang penting.

Faktor utama dalam menggalakkan minat membaca adalah pemilihan waktu bacaan terbaik. Sesetengah keluarga mengambil masa awal pagi atau pada lewat malam untuk mengadakan masa bacaan bersama keluarga. Ada juga yang membaca selepas waktu makan. Ini semua terpulang kepada keselesaan.

Jika anak anda masih kecil, anda perlu membacakan kepadanya cerita-cerita yang memberi pengajaran contohnya seperti sirah-sirah nabi. Dengan cara ini, mereka akan menyedari bahawa objek (buku) yang anda pegang boleh menghasilkan pelbagai fantasi yang menarik dalam diri mereka.

Kesimpulannya, minat membaca bukanlah sesuatu yang mudah dan boleh dipaksa-paksa. Pelbagai faktor perlu diambil kira dalam usaha menggalakkan anak untuk membaca. Ia terpulang kepada anda sebagai ibu bapa untuk mempelbagaikan cara menarik minat anak.