Melestarikan Ekspresi Diri

2081

Sesekali memerhatikan telatah si manja mengundang pelbagai reaksi ibu bapa. Ada kalanya membuat kita ketawa, tersenyum sendiri dan gembira. Luangkan masa seketika untuk bersama anak-anak kecil ini. Ada baiknya jika ibu bapa dapat duduk sejenak, dan meneliti gelagat si manja:

Bacaan Berkaitan : Kelebihan Kraf Kreatif Untuk Anak PraSekolah

Zaiem, mula menyusun deretan kereta mainannya mengikut warna sambil  mengeluarkan pelbagai bunyi mengikut bentuk kereta tersebut. Satu demi satu kereta disusun membentuk deretan kereta yang lurus dan panjang. Tiba-tiba, dia menoleh ke arah kakaknya lantas berlari mendapatkan kakaknya yang sedang asyik bermain lego. Tangannya pantas mengambil beberapa blok lego dan menyusunnya bersama-sama kakak. Kemudian dia minta beberapa blok lego berwarna merah dan hijau, namun permintaannya ditolak.

 Seketika kemudian, Zaiem, bermain dengan anak kucing kesayangannya. Dia mengusap bulu dan mengacah-acah anak kucing yang berlari sambil mengejar tali bola benang yang dipegangnya. Selang beberapa ketika, Zaiem mendapatkan sehelai kertas putih, pensel warna, dan mula melukis dan mewarna dengan pelbagai bentuk garisan, lakaran demi lakaran sehingga memenuhi keseluruhan permukaan kertas putih itu.

 Sekarang Zaiem menuju ke satu sudut rumah, mencapai beberapa blok kayu berbentuk landasan kereta api dan bongkah. Zaiem mula membina menara kayu paling tinggi, namun acap kali jatuh menara yang dibinanya. Seterusnya dia cuba menyambung blok kayu membentuk landasan kereta api merentasi menara-menara yang dibinanya, sesekali landasan yang dibina berbentuk ‘roller coaster’ itu juga runtuh. Zaiem terus mencuba, nampaknya telah menemui sesuatu: Lebih mudah, permukaan kayu yang besar berada di bawah dan bongkah yang kecil berada di atas. Seterusnya, landasan kereta api yang dibina dalam bentuk menaik itu, disanggah kepada menara-menara yang dibina. Binaannya membentuk sebuah bandar yang dilengkapi dengan ‘roller coaster’. Kemudian, dia kembali ke tempat dia bermula iaitu di deretan kereta yang panjang dan mula menggerakkan kereta-kereta tersebut menuju ke bandar ‘roller coaster’ yang dibinanya. Deretan kereta tersebut ditolak masuk melalui landasan kereta api yang dibina menyelusuri bongkah-bongkah kayu membentuk menara-menara tinggi. Zaiem seterusnya menolak kereta mainannya yang meluncur laju dalam laluan ‘roller coaster’ yang dibinanya.

Pernahkah kita menyaksikan situasi ini, mengamati asyiknya anak-anak kecil bermain, mengekspresi diri menerusi eksplorasi persekitaran mereka? Sejauh manakah ibu bapa mengenali dunia kreativiti kanak-kanak?

Sebagai ibu bapa, pertama, kita perlu sedar dan memberi ruang dan peluang kepada anak-anak kecil ini untuk meneroka persekitaran mereka. Kanak-kanak kecil ini penuh dengan perasaan ingin tahu dan ingin mencuba. Tahukah kita, apakah yang dilihat, ingin dicuba dan diterokai oleh mereka? Seharusnya ibu bapa menyediakan persekitaran yang lebih luas dan kondusif untuk anak-anak meneroka dan mengekspresi diri.

Kedua, ibu bapa perlu sentiasa memberi galakan dan sokongan positif dalam setiap yang diusahakan. Setiap anak ada keinginan untuk terus melakukan sesuatu sehingga berjaya. Sesungguhnya, kanak-kanak sangat kreatif dalam mencari jawapan kepada permasalahan yang timbul daripada rasa ingin tahu mereka. Sebagai contoh, anak-anak kecil mempunyai kemampuan untuk memikirkan bagaimana memastikan kereta mainan dapat meluncur laju melalui permukaan lantai yang tidak rata. Atau anak-anak juga berkebolehan untuk memilih bahan-bahan serta warna kertas yang menarik yang lain daripada yang lain untuk menghasilkan kapal terbang kertas yang unik. Realitinya, anak-anak kecil mempunyai keupayaan semula jadi untuk menghasilkan jawapan kreatif, pendekatan kreatif dan penggunaan bahan secara kreatif.

Persoalannya, apakah kreativiti? Kreativiti adalah cara berfikir dan bertindak atau membuat sesuatu yang unik dan asli (original) bagi individu dan dihargai oleh orang lain. Kreativiti sering dirujuk kepada ‘proses menjadikan sesuatu yang baharu’. Maka, sebagai ibu bapa yang sentiasa mendampingi anak-anak kecil, adalah mustahak untuk ibu bapa memahami kreativiti kanak-kanak.

Dalam persekitaran pembelajaran digital hari ini, ibu bapa perlu memiliki kemahiran untuk membantu, mendorong dan menyokong anak-anak kecil ini untuk mengekspresikan sifat kreatif mereka. Selain kemahiran, ibu bapa juga perlu mempunyai kesedaran bahawa kreativiti merupakan elemen penting dalam perkembangan kanak-kanak pada awal usia. Seharusnya, ibu bapa dapat mengenalpasti kreativiti yang ada dalam diri setiap anak-anak dan seterusnya membantu anak-anak mengekspresi kreativiti dengan cara mereka  sendiri. Bagaimanakah ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak agar kreatif menerusi aktiviti ekspresi diri?

Bacaan Berkaitan : Panduan Untuk Kreativiti Anak

Dalam usaha menggalakkan anak-anak mengekspresikan diri, ibu bapa perlu membantu dan mendorong anak-anak untuk merasai kegembiraan dalam menghasilkan kreativiti dan menyelesaikan masalah. Tindakan ini secara langsung dapat menimbulkan minat, kreativiti serta daya imaginasi anak-anak. Ibu bapa seharusnya dapat membimbing anak-anak untuk menyedari bahawa melakukan sesuatu yang kreatif adalah menyeronokkan. Selain itu, ibu bapa perlu memberi dorongan serta galakan kepada anak-anak untuk mencuba dan meneroka sesuatu yang baharu.

Keprihatinan ibu bapa mengetengahkan daya kreativiti dan imaginasi anak-anak pastinya akan memberi ruang dan peluang kepada anak-anak untuk terus berimaginasi dan kreatif dalam tindakan seharian. Ini secara langsung mempersiapkan diri anak-anak untuk meneroka kehidupan era digital hari ini.

Manfaatkan majalah AWAL untuk mengembangkan daya kreativiti anak. Segmen “LET’S DO IT” dalam majalah memberi ruang untuk si kecil membuat projek, resipi, kraf tangan dan eksperimen mengikut tema!

MUKA SURAT CONTOH:

Klik Di Sini Untuk Melihat Koleksi Majalah AWAL