Jangan Pandang Ringan Terhadap Penderaan Seksual Kanak-kanak.

Semua kanak-kanak mempunyai hak untuk dilindungi daripada keganasan, eksploitasi dan penderaan.

Seorang kanak-kanak yang mengalami penderaan seksual mungkin akan mempunyai harga diri yang rendah, berasa dirinya tidak berharga dan mempunyai pandangan tidak normal atau terpesong mengenai seks. Kanak-kanak itu mungkin menyepikan diri dan tidak mempercayai orang dewasa, serta mempunyai kecendurangan untuk membunuh diri.

Penderaan seksual terdiri daripada pelbagai tindakan berbentuk seksual di antara seorang kanak-kanak dan seorang dewasa atau kanak-kanak yang lebih tua. Terdapat dua jenis penderaan seksual terhadap kanak-kanak:

Penderaan fizikal:

  • melakukan sentuhan seksual pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak – sama ada berpakaian penuh atau tidak.
  • memperkosa atau memasukkan sesuatu objek atau bahagian tubuh ke dalam mulut, faraj atau dubur seorang kanak-kanak.
  • memaksa atau memujuk seorang kanak-kanak untuk mengambil bahagian dalam sebarang bentuk aktiviti seks.
  • memberi tekanan kepada kanak-kanak untuk menanggalkan pakaian mereka, menyentuh alat kelamin seseorang atau melancap.

Penderaan bukan fizikal:

  • menggalakkan seorang kanak-kanak untuk menonton atau mendengar aksi seks
  • bersubahat dengan tidak melaporkan atau membiarkan penderaan berlaku, walaupun tidak mengambil bahagian secara aktif
  • berjumpa dengan kanak-kanak setelah melakukan gangguan berunsur seksual atau sexual grooming dengan niat untuk mendera mereka
  • penderaan dalam talian termasuk membuat, menonton atau mengedar bahan yang mempunyai unsur penderaan seksual terhadap kanak-kanak
  • membenarkan orang lain membuat, menonton atau mengedar gambar-gambar penderaan seksual kanak-kanak
  • menunjukkan bahan-bahan lucah kepada seorang kanak-kanak
  • mengeksploitasi kanak-kanak secara seksual untuk wang, kuasa atau status (eksploitasi kanak-kanak).

Bagaimanakah rupa pemangsa seksual kanak-kanak?

Orang yang tidak dikenali berkemungkinan menjadi dalang penderaan seksual kanak-kanak, walau bagaimanapun, pemangsa seksual kanak-kanak kebiasaannya adalah dalam kalangan orang yang dikenali anda atau anak anda. Dia mungkin seorang ahli keluarga, saudara rapat, pengasuh, guru, dll. Kedua-dua lelaki dan wanita boleh menjadi pemangsa tetapi kebanyakan pelaku adalah lelaki dewasa.

Amnya, pemangsa seksual bertindak kerana mereka tergolong di dalam salah satu daripada empat kategori berikut:

  1. Mereka adalah kanak-kanak atau remaja yang bersifat ingin tahu mengenai seks atau ingin mencuba.
  2. Mereka mempunyai masalah perubatan atau mental yang memerlukan rawatan (contohnya, ketidakbolehan intelek, tingkah laku psikotik).
  3. Mereka adalah oportunis yang tidak ada perasaan simpati atau empati terhadap orang lain dan mempunyai gangguan personaliti anti-sosial.
  4. Mereka mempunyai nafsu seks yang konsisten terhadap kanak-kanak (juga dikenali sebagai pedofil).

Apakah tanda-tanda amaran penderaan seksual?

Penderaan seksual kanak-kanak tidak mudah dikenalpasti. Tambahan pula, pemangsa mungkin seseorang yang anda atau anak anda telah lama kenal atau percayai. Ini menjadikannya lebih sukar untuk dikesan. Perhatikan tanda-tanda amaran berikut:

Tanda-tanda fizikal:

  • Kesukaran berjalan atau duduk
  • Pakaian dalam yang berdarah, koyak, atau kotor
  • Sakit, cedera atau rasa gatal pada bahagian kelamin
  • Kerap membuang air kecil atau dijangkiti yis

Penderaan bukan fizikal:

  • Menjauhkan diri daripada orang lain
  • Menunjukkan tanda-tanda kemurungan, keresahan atau rasa takut
  • Meluahkan perasaan ingin membunuh diri
  • Menyakiti diri sendiri
  • Perubahan mengejut dalam pencapaian di sekolah
  • Menunjukkan tingkah laku regresif (contohnya, menghisap ibu jari)
  • Lari dari rumah atau sekolah
  • Tiba-tiba bersikap menjaga atau melindungi (adik beradik)
  • Kekerapan mimpi ngeri atau kejadian kencing malam yang tidak normal
  • Pengetahuan atau tingkah laku seks yang tidak wajar

Orang dewasa yang terselamat daripada penganiayaan seksual kanak-kanak sering menderita kesan jangka panjang:

  1. Sebagai orang dewasa, mangsa mungkin menderita gangguan fungsi seksual ketika bersetubuh atau mempunyai salah tanggapan tentang seks dan hubungan seksual.
  2. Jika kekerasan atau ancaman kekerasan diguna semasa mereka didera secara seksual, mereka mungkin juga mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri dalam alam dewasa, mempunyai ketidakpercayaan yang tidak sihat terhadap orang lain dan juga gagal untuk berfungsi dengan baik dari segi sosial.
  3. Malu, menyalahkan dan rasa bersalah tertanam dalam imej diri kanak-kanak tersebut kerana pemangsa menyalahkan kanak-kanak di atas perbuatannya atau menanamkan persepsi betapa salahnya perbuatan tersebut.
  4. Mangsa juga mungkin mempunyai harga diri yang rendah kerana persepsi negatif orang lain terhadap mangsa penderaan kononnya mereka sudah “tidak suci” atau “rosak”.
  5. Orang dewasa yang pernah didera semasa kanak-kanak berkemungkinan akan membesar menjadi pemangsa seksual juga. Ini menyebabkan masalah ini berterusan tidak berkesudahan.
  6. Kesan psikologi jangka panjang penderaan seksual termasuk:
    • Keresahan
    • Serangan panik
    • Gangguan stres (Post Traumatic Stress Disorder atau Gangguan Stes Selepas Trauma)
    • Kecelaruan personaliti
    • Penyalahgunaan bahan terlarang
    • Tingkah laku salahguna diri (Self-abuse behaviour)

Adalah penting untuk ibu bapa melindungi anak-anak mereka daripada menjadi mangsa dengan memperkasakan diri dan anak-anak dengan kemahiran, pengetahuan dan kaedah-kaedah tertentu. Dr Mary Joseph Marrett, akan menjelaskan mengenai kemahiran dan kaedah ini dengan lebih lanjut dalam bahagian kedua artikel ini.

Artikel ini dipetik dengan izin daripada laman sesawang www.mypositiveparenting.org.