Soalannya, kenapa perlu awal? Kenapa perlu anak kita membaca paling lewat pun pada usianya 6 tahun? Dulu-dulu, kita pun membaca pada usia 7 tahun.
Dan tidak kurang juga yang berpegang pada prinsip, “Budak–budak ni kita tidak boleh paksa. Lagi tak nak dia nanti…” Pertama, kita perlu tahu dan sedar bahawa anak-anak kita yang kecil (0 hingga 6 tahun), menerima apa sahaja stimuli (rangsangan) dari persekitaran tanpa had.
Otak anak kita diibaratkan seperti sponge yang baharu yang boleh menyerap air yang lebih banyak. Rangsangan awal inilah yang akan memberi kesan yang besar kepada pembentukan diri dan mindanya di kemudian hari.
Mengikut kajian pakar-pakar Sains dan Neurologi, tahap pembentukan otak saraf anak telah pun mencapai tahap 50% pada usia anak itu setahun dan 90% pada usia anak itu lima tahun.
Dan anak telah bersedia untuk belajar pada usia 4 tahun; bersedia iaitu dari segi sikap dan kemampuan untuk menerima sesuatu pelajaran.
Peringkat umur 0 hingga 6 tahun ini juga adalah masa anak anda membina asas keupayaan berbahasa.
Seorang anak yang mempunyai penguasaan bahasa yang baik akan memudahkan anak itu untuk belajar membaca. Kalau kita sendiri tidak yakin peri pentingnya anak kita membaca pada usia awal, ia akan terkesan pada usaha kita ke arah itu.
Kita mesti percaya dan kita mesti yakin. Kalau setakat percaya tetapi tidak yakin, kesannya kita boleh lihat sendiri. Kita akan mudah putus asa dan cepat marah.
Anak tidak semuanya sama cerdik, sama perangainya. Ada anak yang lebih cabarannya daripada yang lain. Dan bila cabarannya lebih, segala-galanya akan cepat… cepat melenting, cepat naik darah, cepat hilang sabar dan cepat putus asa.
Yang menyedihkan betapa ramai di antara kita yang percaya tetapi berapa ramai yang berjaya?
Rumusannya di sini adalah:
- Perkembangan otak berlaku dengan pesat semasa usia di bawah 6 tahun.
- Rangsangan awal amat penting dalam pembentukan diri dan minda di kemudian hari.
- Penguasaan bahasa yang baik akan memudahkan anak untuk belajar membaca.