Membentuk Tabiat Tidur yang Baik

1471

Kegembiraan seorang kanak-kanak boleh disebabkan oleh beberapa faktor. Antaranya ialah persekitaran, pergaulan dan pemakanan. Tahukah anda satu lagi faktor yang mendorong kegembiraan kanak-kanak? Mendapat tidur yang cukup adalah jawapannya!

Kanak-kanak yang menghadapi kesukaran untuk tidur pada waktu malam pasti menghadapi masalah pembelajaran dan sukar memberikan tumpuan di dalam kelas. Apa yang mustahak adalah anda perlu memahami keperluan tidur anak-anak anda.

Kanak-kanak pada usia 1 hingga 3 tahun memerlukan masa tidur selama 12 hingga 14 jam sehari. Kanak-kanak pada usia 3 hingga 6 tahun pula memerlukan masa tidur selama 10 hingga 12 jam bagi perkembangan yang normal.

Semakin mereka meningkat dewasa, masa tidur mereka juga semakin berkurangan. Namun begitu, perkara yang lebih penting selain mendapatkan masa tidur yang mencukupi adalah kualiti tidur yang baik.

Anda telah memaksa anak untuk mengambil “afternoon nap” ataupun tidur di waktu petang, tetapi mereka masih juga tidur lewat di malam hari.

Mengapa perkara ini terjadi? Bagi kanak-kanak pada usia 1 hingga 3 tahun, adalah wajar bagi anda untuk menetapkan masa tidur petang yang konsisten.

Selain itu, memastikan anak anda selesa dengan keadaan kamar tidur juga merupakan resepi utama mendapatkan kualiti tidur terbaik. Pastikan ruang bilik tidur selesa daripada segi suhu dan pencahayaan.

Dengan mendapat masa tidur yang mencukupi, anak anda pasti mampu memberi tumpuan ketika berada di sekolah.

Apatah lagi, tidur yang mencukupi dapat membangkitkan kesegaran kepada anak anda bagi menghadapi sebarang situasi yang mencabar ataupun ketika menyelesaikan masalah.

Kesimpulannya, tidur berkualiti sangat penting terhadap semua individu termasuklah kanak-kanak kerana ia dapat menyusun memori, memperkukuh pembelajaran dan memperbaiki tumpuan secara menyeluruh. Bekalkan masa tidur yang baik agar perkembangan minda anak-anak tidak terjejas.