7 Tip Untuk Anak Berjaya di Prasekolah

4404

TIP 1 – AMALKAN TABIAT GAYA HIDUP SIHAT

Pastikan anak-anak mengamalkan gaya hidup sihat semasa di rumah. Dapatkan tidur yang cukup dan mengikut waktu, amalkan pemakanan yang sihat serta lakukan aktiviti bersenam bersama. Hadkan juga masa anak menonton tv atau bermain dengan gajet.

TIP 2 – PATUHI RUTIN YANG DISEDIAKAN

Rutin membantu kanak-kanak membina sistem mengurus kehidupannya setiap hari dengan teratur. Contohnya di rumah, kanak-kanak dilatih mandi dan berpakaian sendiri, mengemas tempat tidur sendiri, dan bersarapan pagi sebelum ke tadika/prasekolah.

TIP 3 – SEDIAKAN RUANG KHUSUS UNTUK ANAK BELAJAR / BERMAIN

Di rumah, kanak-kanak perlu ada ruang khusus untuk belajar. Sediakan bakul mainan dan rak buku kecil untuknya meletakkan buku-buku dan mainannya.

TIP 4 – BACA BERSAMA ANAK, BERKALI-KALI SETIAP HARI

Anda perlu membaca bersama anak setiap hari. Berikan dia peluang membaca kuat dan bergembira membaca bersama anda. Membaca bahan yang sama tidak menjadi masalah kepada kanak-kanak. Jadikan pengalaman membaca itu sesuatu yang sangat menggembirakannya.

TIP 5 – PENDIDIKAN DI RUMAH ADALAH SANGAT PENTING DAN KRITIKAL

Laksanakan tanggungjawab anda menjadi guru pertama kepada anak anda. Bantulah anak anda belajar di rumah. Gunakan masa anda menyediakan makanan atau masa mengemas rumah untuk berbicara dan bercerita dengan anak anda.

TIP 6 – SENTIASA BERCAKAP DENGAN ANAK

 Bertanya dan berbicara dengan anak anda. Bercakap dengan anak anda mengenai apa yang dia suka, tidak suka, kebimbangannya dan rasa gembiranya.

TIP 7 – TUNJUKAN ANDA BERMINAT DENGAN PEMBELAJARANNYA

Berikan anak sokongan dan kata-kata semangat. Anda juga perlu memberikan sokongan kepada gurunya, misalnya selalu berjumpa dan berbincang dengan gurunya mengenai pembelajaran dan kemajuan anak anda.