Mari Menyanyi

2779

Menyanyi dan menari sama pentingnya dalam perkembangan keseluruhan si kecil selain bermain dan bercerita. Lagu yang beritma dan mempunyai bait yang berulang-ulang membina kemahiran berbahasa dengan cepat.

Menurut SG Blythe, pakar pendidikan dalam bidang perkembangan otak, menyanyi lagu-lagu warisan merupakan satu bentuk pertuturan khusus yang ada dalam semua budaya. Bagi orang Melayu contohnya, lagu kanak-kanak yang membawa melodi dan ritma bahasa ibunda merangsang pendengaran, suara dan otak dalam mencorak kefahaman struktur bahasa Melayu. Lagu-lagu tradisi memudahkan kanak-kanak menghubungkan bunyi dengan perkataan. Contohnya lagu tentang “kucing” memudahkan mereka mengenal perkataan “kucing”.

Beliau juga menyatakan bahawa mendengar dan menyanyi lagu merangsang otak sebelah kiri dan kanan. Oleh itu, menyanyi juga membantu membina kemahiran matematik yang lebih menggunakan otak sebelah kiri.

Seperkara lagi, nyanyian secara live lebih berkesan daripada mendengar nyanyian yang direkod. Apabila ditambah dengan tarian ia akan meningkatkan keupayaan koordinasi dan keseimbangan badan. Anda juga boleh menggunakan kreativiti untuk menyelitkan unsur keagamaan dalam lagu dan gerakan. Oleh itu, bernyanyilah bersama-sama anak demi merangsang komunikasi dua hala dan perkembangan emosi yang sihat.