Anak Tahu Membaca Seawal Usia?

2311

Ramai ibu bapa dan guru rasa teruja untuk mengajar anak membaca seawal usia. Mereka sanggup menghantar anak belajar di tadika yang menawarkan perkhidmatan membaca walaupun agak mahal tetapi berkesan. Mereka tidak kisah berbelanja membeli buku atau bahan-bahan belajar yang membantu anak belajar dengan lebih cepat dan mudah.

Saya faham mengapa keadaan di atas berlaku.

Saya juga faham dunia anak-anak adalah dunia yang paling indah dan sewajarnya anak-anak diberi peluang untuk menjadi anak-anak yang ceria dan bahagia. Anak-anak ceria dan bahagia akan membesar menjadi dewasa yang sejahtera.

Anak-anak kini perlu sekurang-kurangnya sudah boleh membaca dan sudah boleh menulis dengan baik. Ini adalah persediaan yang terbaik yang boleh dilakukan oleh ibu bapa agar anak tidak ketinggalan dan termasuk ke kelas akhir atau kelas linus. Yang saya pasti semua ibu bapa tidak mahu perkara demikian berlaku.

Pendapat saya di atas berdasarkan maklum balas ibu bapa di tadika saya dan ada di kalangan ibu bapa tadika adalah guru sekolah. Mereka juga khuatir dan bimbang melihat nasib anak-anak yang tidak boleh membaca.

Persoalannya, adakah mengajar anak membaca seawal usia boleh menyebabkan anak tidak bahagia dan tidak menjadi anak-anak yang sepatutnya? Adakah mengajar anak membaca seawal usia boleh menyekat rasa seronok anak ke sekolah atau belajar?

Jawapan adalah bukan membaca seawal usia menjadi isu tetapi bagaimana aktiviti membaca itu dijalankan. Jika aktiviti membaca dijalankan dengan cara memaksa, tidak menyeronokkan dan tidak kreatif. Anak-anak tidak diberikan waktu yang secukupnya untuk bermain dan meneroka. Sepastinya, anak-anak akan rasa terpaksa, tidak seronok, tidak pandai dan akhirnya dunia anak tidak ceria dan bahagia. Mereka tidak menjadi anak-anak yang sebenar di mana secara fitrahnya anak-anak suka bermain, ingin tahu, suka meneroka dan mahu mencuba.

Saya rasa bahagia apabila melihat anak-anak teruja untuk membaca, mereka mengambil buku sendiri dan mahu membaca. Ia bukan mudah pada mulanya, dengan menggunakan teknik yang betul dan mengikut fitrah anak-anak lelaki dan perempuan. Anak-anak mampu membaca dengan mudah, seronok dan tak rasa dipaksa dan terpaksa.

Justeru, mahu anak membaca seawal usia bukan satu kesalahan dan ia tidak juga membantutkan dunia anak-anak untuk meneroka dan bermain. Teknik dan kaedah yang sesuai dan seronok perlu dijalankan ajar pembelajaran mereka bermakna dan ceria. Paling bahagia apabila anak-anak sendiri memilih buku dan mahu membaca sendiri.

Monalisa Harun Chong
Mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengajian Bahasa (Inggeris). Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia. Beliau pernah mengikuti kursus-kursus kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pernah menjadi pensyarah di Kolej Uniti dalam bidang prasekolah dan pernah terlibat dalam bidang pelatihan dalaman dan luaran bagi bahan-bahan pendidikan kanak-kanak terbitan Ameen Educare.