PKP: Apa yang Kita Pelajari daripada Anak Kita?

1716

PKP adalah satu tempoh luar biasa yang tidak pernah berlaku kepada sesiapa pun pada zaman ini. Ini kerana kali terakhir dunia “berhenti” diakibatkan oleh wabak sebegini besar ialah pada tahun 1918. Ia disebabkan oleh penularan wabak Spanish Flu yang mengakibatkan lebih 50 juta nyawa melayang. Ini juga pengalaman baharu bagi kebanyakan kita kerana tidak pernah dalam mimpi kita terpaksa duduk di rumah, tidak boleh ke mana-mana sewenang-wenangnya dan majoriti juga tidak perlu pergi bekerja untuk tempoh yang sebegitu panjang.

Secara tidak langsung, ini mungkin kali pertama kita duduk di rumah dan bersama-sama dengan anak-anak kita 24 jam sehari. Mungkin ada dalam kalangan kita yang seronok kerana ini mungkin peluang sekali seumur hidup dan ada juga yang sudah mula tidak senang duduk kerana tidak larat melayan kerenah anak-anak yang bermacam-macam.

Namun begitu, ada sesuatu yang amat penting yang mungkin akan terlepas jika anda tidak gunakan tempoh ini sebaiknya iaitu masa untuk benar-benar mengenali anak anda seorang demi seorang. Jadi, inilah masanya untuk kita muhasabah semula apa yang telah kita pelajari dalam tempoh PKP yang sebegini panjang kerana selain  memastikan keadaan negara kita akan lebih baik dan bebas penyakit, tempoh ini juga penting untuk mengubah diri dan keluarga menjadi lebih baik.

Apabila mengenali anak-anak dengan lebih rapat, anda sebenarnya bakal mengurangkan halangan psikologi yang mungkin telah wujud antara anda dengan anak anda. Mereka juga berpeluang untuk mengenali anda dengan lebih dekat dan ini sudah tentu meningkatkan keberkesanan komunikasi antara anda dengan anak-anak.

Amat rugi jika PKP ini berlalu tanpa menghasilkan apa-apa impak positif pada diri dan keluarga kerana percaya atau tidak, tanpa PKP, segala usaha anda untuk mengeratkan hubungan bakal melibatkan kos seperti masa cuti yang terpaksa dipohon, duit ringgit untuk ke mana-mana dan macam-macam lagi. PKP, walaupun terpaksa, ia percuma!

Impak seterusnya ialah, anda akan lebih menghargai kekuatan dan kekurangan setiap anak. Sebelum ini mungkin guru di sekolah atau pengasuh lebih mengenali mereka akibat kesibukan kita dan pasangan, tetapi kini kita ada masa dengan mereka dan berpeluang untuk menjadi ibu dan bapa yang lebih baik.

Pada masa ini juga kita boleh mengenal pasti dengan lebih baik respons bukan lisan daripada anak-anak kita atas tindakan yang kita lakukan dan pada masa yang sama cuba memperbaiki cara komunikasi kita.

Izinkan saya berikan contoh paling mudah yang biasa kita lakukan di rumah: memotong cakap anak ketika mereka sedang rancak bercerita, berlalu pergi semasa mereka baru mula membuka mulut, menyuruh mereka berhenti bercakap dan pelbagai lagi. Bagi kita, ia adalah satu tindakan rasional kerana kita merasakan ada perkara yang lebih penting daripada sekadar membuang masa mendengar cerita anak yang mungkin membosankan.

Bacaan Berkaitan : Hukuman Berbentuk Fizikal : Kesan Psikologi Yang Jarang Disentuh

Tanpa kita sedari, kita sebenarnya tidak sensitif dengan keperluan emosi anak-anak dan ia sebenarnya secara tidak langsung mengajar mereka agar melakukan perkara yang sama kepada kita kelak. Penyelesaiannya amat mudah, sebagaimana kita mahu didengari oleh mereka, kita juga kena belajar untuk mendengar.

Sesungguhnya, ada banyak perkara yang boleh kita tambah baik dalam tempoh sukar ini. Maka manfaatkan kesulitan ini agar banyak perkara menjadi lebih baik.

Mencari-cari buku yang boleh mencetuskan perbincangan tentang emosi dengan anak anda?

Layari https://eniaga.awal.my untuk mendapatkan buku-buku yang menarik berserta panduan untuk ibu bapa dalam Siri Cerdas Mengurus Emosi.