Tawan Hati Anak Mengikut Sunnah

2152

Dalam sirah Nabi, banyak peristiwa tentang cara Nabi Muhammad SAW berinteraksi dengan cucu dan anak-anak yang berada di sekeliling baginda. Terdapat banyak cara untuk menawan hati anak-anak seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW sendiri iaitu:

Panggilan yang baik

Kita digalakkan memanggil anak dengan gelaran yang bermakna dan baik kerana ia menjadi satu doa untuk mereka.

Anas bin Malik r.a. berkata: Nabi Muhammad SAW pernah datang melawat kami. Saya mempunyai adik yang mempunyai seekor burung pipit peliharaan yang sangat disayanginya. Malangnya, pada hari tersebut burung pipit itu mati. Melihat akan kesedihan adik saya, baginda bertanya akan puncanya lalu saya pun menerangkan perihal kematian burung itu. Maka baginda SAW bertanya kepadanya, “Wahai Abu ‘Umair, apa yang telah terjadi kepada burung pipit tersebut?” (Sunan Abi Daud)

Baginda telah memberi gelaran Abu ‘Umair kepada adik saya yang bermaksud “haji kecil” agar terubat kesedihan yang sedang dialaminya. Sejak itu, gelaran Abu ‘Umair yang diberikan oleh Rasulullah SAW kekal dengan adik saya, apatah lagi ia adalah panggilan yang sangat baik.

Menyentuh pipi

Daripada Jabin Samurah r.a.: Aku solat Zuhur bersama Rasulullah SAW, kemudian baginda keluar ke tempat keluarganya dan aku pun ikut keluar.  Seterusnya, beliau disambut oleh kanak-kanak, kemudian baginda mengusap pipi mereka seorang demi seorang hinggalah sampai kepada giliranku. Baginda mengusap pipiku dan ternyata kurasakan tangan baginda begitu sejuk dan harum baunya seakan-akan tangan baginda baru dikeluarkan daripada kantung yang berisi minyak wangi. (Sahih Muslim)

Kerap membelai anak akan membuatkan mereka berasa lebih mesra dan disayangi oleh ibu bapa.

Pelukan dan ciuman

Ini adalah salah satu cara yang Rasulullah SAW sering lakukan kepada cucu-cucu baginda iaitu Hassan dan Hussain.

Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah SAW mencium Al-Hussain bin Ali r.a., dan sedang duduk berhampiran baginda adalah Al-Aqra’ bin Habis At-Tamimi r.a., lalu Al-Aqra’ berkata: “Aku mempunyai sepuluh orang anak, aku tidak pernah mencium walaupun seorang daripada mereka.”  Rasulullah SAW melihat kepadanya kemudian bersabda: “Sesiapa yang tidak mengasihi, tidak akan dikasihi.” (Sahih Bukhari)

Memberi perhatian

Rasulullah SAW memberikan layanan dan perhatian sepenuhnya kepada sesiapa sahaja terutamanya kepada kanak-kanak.

Buraidah r.a. berkata: Nabi SAW sedang berkhutbah. Tiba-tiba datang Hassan dan Hussain yang sedang memakai baju berwarna merah dan mereka bertatih ke arahnya. Rasulullah SAW pun turun (dari mimbar) dan menghentikan khutbahnya. Rasulullah SAW mengangkat kedua-duanya dan kembali ke mimbar. Kemudian baginda berkata: “Sungguh benar perkataan Allah. Sesungguhnya harta-harta kalian dan anak-anak kalian adalah ujian. Aku melihat kedua cucuku ini berjalan dalam pakaian mereka, aku tidak sabar, lalu kerana itu aku menghentikan khutbahku dan mengangkat mereka berdua.” (Sunan an-Nasa’i)

Ibu bapa hendaklah memberi perhatian sepenuhnya apabila anak-anak menceritakan sesuatu kepada kita supaya mereka tidak merasa diabaikan. Marilah bersama-sama mencontohi dan mempraktikkan cara Rasulullah SAW ketika bersama anak-anak. Anak-anak adalah amanah Allah SWT. Peliharalah amanah ini dan didiklah mereka sebaiknya supaya mereka dapat membesar menjadi insan yang soleh dan solehah di dunia dan akhirat. 

Mencari bahan cerita tentang Rasulullah SAW? Dapatkan pakej SEHARI SEBUAH KISAH BERSAMA RASULLULAH SAW yang mengisahkan perjalanan hidup baginda yang dipersembahkan dalam bentuk  satu hari sebuah kisah, selama setahun  – sesuai untuk bacaan anak-anak di eniaga.awal.my