Tip Memilih Permainan Di Tadika

2707

Kali ini saya ingin berkongsi tip memilih permainan di tadika khusus buat para pengusaha tadika dan juga para guru. Permainan anak-anak seharusnya untuk anak-anak. Oleh itu, beri mereka masa untuk bermain. Anak-anak bukan hanya bermain, tetapi mereka belajar banyak perkara melalui bermain berbanding buku dan papan putih.

Permainan anak-anak juga bukan hiasan sekadar mencantikkan tadika. Fungsi permainan adalah untuk meningkatkan potensi dan kemahiran anak-anak. Justeru, rancanglah pembelajaran di dalam permainan tersebut.

Bermain adalah pekerjaan serius anak-anak. Mereka bersungguh-sungguh ketika bermain. Ketika itu, mudah untuk anda sebagai guru untuk mendidik akhlak, adab dan kasih sayang. Ajari mereka berkongsi, bertolak ansur, ucapan bolehkah saya…, terima kasih dan maafkan saya.

Mereka juga mudah mengikut arahan anda dan faham tentang menjaga peralatan permainan dan menyimpan semula selepas bermain. Perkara di atas perlu diajar dan diingatkan selalu dengan kasih sayang. Anda boleh mengaturkan jadual mengemas supaya semua mempunyai tanggungjawab terhadap permainan-permainan di tadika atau taska.

Sentiasa pastikan permainan-permainan yang ada di tadika anda dalam keadaan baik. Jika ada yang rosak dan patah, baiki jika boleh atau gantikan sahaja. Usah biarkan permainan rosak ini mencederakan anak-anak ketika bermain.

Permainan adalah peralatan yang sangat penting di tadika dan taska. Pilihlah permainan yang bercirikan ‘educational toys’ yang berkualiti dan mesra anak-anak. Kesesuaian ini amat penting supaya anda boleh menggunakan permainan tersebut sebagai alat bantuan mengajar dan anak boleh bermain dengan selesa dan dalam jangka masa yang lama.

Usah lupa ajak anak bermain permainan tradisi kita. Anak kenal tradisi dan budaya kita selain meningkatkan kemahiran jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

Anak-anak suka mengikut cara bermain bergambar yang ada di kotak permainan. Oleh itu, potong dan tampallah gambar cara bermain pada kotak lutsinar tempat penyimpanan permainan mereka.

Selain itu, anda boleh juga melabelkan permainan untuk tujuan mudah anak bermain dan menyimpan semula permainan.

Kawasan dan peralatan permainan anak-anak juga perlu dibasuh dan dibersihkan selalu. Usah biarkan anak-anak bermain permainan yang kotor dan tidak dibersihkan.

Ingat! Permainan dan tempat bermain anak-anak adalah taman permainan anak-anak yang membahagiakan dan ia banyak membantu anak untuk belajar banyak perkara. Sila pastikan tempat kesukaan mereka dijaga dengan baik setiap masa.

Sekali lagi, bermain adalah pekerjaan serius anak-anak. Usah biarkan permainan di tadika anda berhabuk dan berkarat kerana dijadikan hiasan semata-mata.

Selamat mencuba!

Mendapat pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam jurusan Pengajian Bahasa (Inggeris). Mempunyai pengalaman lebih dari 10 tahun dalam bidang prasekolah sebagai guru prasekolah dan penyelia. Beliau pernah mengikuti kursus-kursus kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran. Pernah menjadi pensyarah di Kolej Uniti dalam bidang prasekolah dan pernah terlibat dalam bidang pelatihan dalaman dan luaran bagi bahan-bahan pendidikan kanak-kanak terbitan Ameen Educare.