3 Sebab “Busy Board” Lebih Bagus Daripada Gajet

4580

Situasi di mana satu keluarga berkumpul tetapi masing-masing fokus kepada gajet di tangan adalah satu senario yang biasa dilihat pada masa kini. Tambah membimbangkan apabila kanak-kanak seawal usia satu tahun telah diberi gajet untuk mendiamkan mereka.

Zaman sekarang, anak-anak hanya dapat bermain pasir, buih, rumput dan play doh dengan menggunakan gajet seperti Ipad atau tab sahaja. Ini akan membantutkan perkembangan diri mereka. Anak seharusnya melakukan aktiviti yang dapat merangsang kemahiran motor halus dan kasar serta kemahiran deria. Mereka sepatutnya keluar rumah, berjalan di taman dan bersosial dengan kanak-kanak lain. Kanak-kanak kecil harus mampu melontar bola, melompat, berlari dan bernyanyi.

Antara kesan buruk penggunaan gajet berlebihan pada anak-anak adalah penurunan perkembangan otak, obesiti, temperamental, merosakkan penglihatan mata dan paling ketara sekali apabila mereka kurang berminat untuk bermain di alam terbuka.

Bimbang bukan? Bagaimana mahu mencegah anak daripada dunia ketagihan gajet yang melampau ini? Antara pilihannya adalah busy board. Apakah itu busy board? Ia adalah satu papan yang diletakkan aksesori dan peralatan dengan fungsi yang berbeza yang dapat membuatkan kanak-kanak sibuk dan terhibur.

Pengunaan busy board ini telah digunakan secara meluas di negara luar dan diakui keberkesanannya dalam meningkatkan kemahiran motor halus kanak-kanak sama ada kanak-kanak normal, hiperaktif atau lembam. Ia juga dapat melatih anak-anak berfikir untuk menyelesaikan masalah. Sebagai contoh bagaimana untuk membuka mangga mengunakan kunci, bagaimana membunyikan loceng basikal, menyalakan lampu dan macam-macam lagi. Di samping itu, ia juga mampu membentuk anak yang lebih kreatif, kritis dan inovatif.

Busy board sesuai untuk bayi seawal usia 6 bulan dan ke atas atau apabila anak anda sudah belajar untuk duduk dan menunjukkan minat pada barang-barang rumah seperti alat kawalan jauh, pintu, suis dan lain-lain. Menariknya ia sesuai untuk kanak-kanak lelaki dan perempuan.

Lazimnya, kanak-kanak mampu bermain dengan papan berkenaan sekurang-kurangnya 30 minit dan tempoh berkenaan cukup untuk mereka melatih kemahiran motor setiap hari, selain memberi masa dan ruang untuk ibu terutama suri rumah melakukan kerja rumah tanpa diganggu atau ketika memandu.

Ayuh gantikan gajet kepada busy board untuk anak anda.