4 Tip Terbaik untuk Mengajar Anak Membaca

1609

1. Jangan mulakan sesi pembelajaran sekiranya anak tidak berminat.

2. Pilih masa yang sesuai untuk sesi pembelajaran.

3. Pilih aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan tahap keupayaan anak.

4. Utamakan ‘quality time’. Kita mesti sedar yang masa terhad terutamanya bagi yang bekerja. Justeru itu jangan buang masa mengajar dalam keadaan anak tidak berminat. Nanti ibarat mencurah air ke daun keladi.

Kenapa anak tidak berminat? Ada banyak sebab antaranya:

1. Aktiviti tidak pelbagai. Asyik-asyik baca buku, balik–balik tengok buku yang sama. Tiada aktiviti-aktiviti sampingan seperti permainan.

2. Ada pelbagai aktiviti contohnya permainan tetapi level permainannya agak susah. Anak kita akan kurang bersemangat dan tidak berminat untuk bermain lagi.

3. Aktiviti terlalu mudah. Dalam keadaan ini pula, anak kita akan cepat rasa bosan. Justeru itu, kita perlu tahu perkembangan diri anak semasa membuat perancangan untuk mengajar.

4. Masa tidak sesuai. Bila?

“Cerita doraemon dah mula. Nak tengok!”

“Dah petang, nak pergi main basikal boleh?”

“Kawan ajak main kat padang”

“Mak, akak beli aiskrim. Adik nak juga.”

“Alah..adik mengantuklah mak.”

Kita mungkin bersemangat tetapi anak kita tidak. Kita paksa jasadnya tetapi kita tidak boleh paksa hatinya. Dan untuk belajar membaca, kita perlukan hati dan tumpuannya. Hatinya mesti ada bersama kita bukan bersama Doraemon atau dengan kawan-kawan. Sebaiknya kita tetapkan masa belajar yang sama untuknya setiap hari. Penting masa belajar tidak bertembung dengan masa 4M anak iaitu masa main, menonton, makan dan masa mengantuk. Masa mesti sesuai bukan saja bagi anak tetapi juga bagi diri kita sendiri. Ini untuk memastikan masa belajar sentiasa ceria dan pembelajaran yang optima berlaku.

Elakkan mengajar masa kita letih, atau masa mengantuk dan lebih-lebih lagi masa kita marah dan fikiran sedang berkecamuk. Kerana keletihan, kemengantukan, kemarahan, kekecamukan fikiran kita akan disalurkan kepada si kecil. Dan akibatnya, anak kita tidak akan berminat untuk belajar membaca lagi!

Zairani A. Hamid
Pernah berkhidmat sebagai guru bahasa. Berpengalaman mengendalikan kursus-kursus peringkat prasekolah untuk ibu bapa dan guru di serata Malaysia. Kini bertugas sepenuh masa sebagai Pegawai penyelidik, penulis dan perunding di Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd. bagi kaedah Cepat Membaca ‘Cepat Baca’ , ‘I Can Read’ dan ‘Bacalah Jawi’. Pernah muncul dalam rancangan ‘Wanita Hari Ini’ TV3, Astro, Selamat Pagi Malaysia, Radio 24 dan IKIM.