8 Tip Melatih Si Kecil Berpuasa

3108

“Tak lama lagi bulan Ramadan.  Nanti Mama dan  Papa akan puasa. Aimi nak puasa tak?” “Tak naklah. Nanti Aimi sakit perut.”

Ibu bapa yang mempunyai anak prasekolah tentunya sedang memikirkan pelbagai soalan berkaitan melatih anak berpuasa.

Bilakah masa yang sesuai untuk anak mula berlatih berpuasa?

Berdasarkan hadis Rasulullah (SAW) riwayat al-Hakim dan Abu Daud daripada ibnu Amru bin al-Ash,  “Suruhlah anak kamu mengerjakan solat pada usia 7 tahun…”, bolehlah dikiaskan bahawa ibu bapa hendaklah menyuruh anak-anak berpuasa pada usia 7 tahun.

Daripada pengalaman peribadi, umur 6 tahun adalah sangat baik untuk mula melatih anak berpuasa. Ini kerana kebanyakan anak telah bersekolah di tadika, tabika atau yang sepertinya. Waktu anak berada di tadika hanya 4 jam dan ini baik untuk latihan mula berpuasa.

Apakah persediaan yang perlu dilakukan?

Set minda dan tetapkan pendirian ibu bapa

Kedua-dua ibu bapa dan mereka yang tinggal bersama anak perlulah menetapkan minda bahawa anak akan mula berpuasa pada tahun tersebut. Elakkan daripada bercanggah sesama sendiri dengan memberi alasan … Tak payahlah kot … Tunggu tahun depanlah … Kecil lagi tu, kesian dia … dan sebagainya. Ayat 159, surah Ali Imran ini boleh dijadikan sebagai moto:

فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ

Dan apabila kamu berazam maka bertawakallah kepada Allah.

Sediakan minda dan emosi anak

Sebelum bulan Ramadan, selalulah bercerita dengan anak tentang bulan Ramadan seperti kelebihan bulan Ramadan, sahur, berbuka, solat tarawih, tilawah dan lain-lain. Bagi anak nampak keceriaan bulan Ramadan sehingga menimbulkan rasa teruja dan ingin berpuasa. Pasang video lagu-lagu yang berkaitan dengan Ramadan. Pasang juga video klip kartun-kartun yang ada tentang Ramadan. Klip video yang menunjukkan orang berbuka puasa beramai-ramai atau solat tarawih dan sebagainya juga bagus untuk persediaan minda dan emosi anak.

Bagaimana caranya  untuk latih bersahur?

  • Bagi anak yang bersekolah pagi sama ada di tadika atau pun sekolah rendah, beri anak ber”sahur” sebelum ke tadika atau ke sekolah. Tidak perlulah paksa anak bersahur bersama kita kecualilah dia sendiri yang hendak. Ini untuk mengelakkan timbul suasana yang kurang kondusif semasa bersahur.
  • Bagi anak yang bersekolah petang, beri anak ber”sahur” juga sebelum mereka ke sekolah. Mungkin agak pelik sebab waktu itu pukul 10 atau 11 pagi. Namun, tidak apa sebab anak sedang berlatih berpuasa.

Bagaimana keadaan di tadika atau sekolah?

  • Bagi anak-anak di tadika, ibu bapa boleh berbincang dengan pengusaha tadika agar anak-anak diberi sokongan. Antara yang boleh dipersetujui ialah membenarkan anak berehat di bilik sementara sahabat-sahabatnya makan atau minum.
  • Bagi yang di sekolah, ibu bapa boleh berpesan kepada anak supaya minta izin guru untuk berwuduk atau berehat di bilik sakit sekiranya tidak larat. Ibu bapa boleh juga berbincang dengan guru kelas agar guru memberikan motivasi pada anak.

Apa perlu dilakukan apabila anak pulang ke rumah?

  • Bagi anak yang pulang waktu tengah hari, benarkan anak untuk makan tengah hari. Selepas itu, beritahu yang dia perlu sambung “berpuasa”. Dengan itu anak akan terus merasai berada dalam keadaan berpuasa. Elakkan memaksa sekiranya anak tidak mahu sambung “berpuasa”.
  • Galakkan anak tidur sebentar sementara menunggu masuk waktu berbuka. Ini membantu mereka untuk bertahan.
  • Sediakan aktiviti yang akan membuat anak “occupied” seperti mewarna, melukis, bermain blok, membaca buku cerita dan lain-lain yang tidak memenatkan.

Bagaimana keadaan semasa berbuka?

  • Sepuluh minit sebelum waktu berbuka, berhenti membuat persediaan berbuka. Ajak anak duduk di meja makan bersama seluruh ahli keluarga, walaupun anak telah “berbuka” semasa pulang daripada tadika atau sekolah. Bimbing anak untuk berdoa kerana doa sebelum berbuka adalah antara doa yang mustajab. Doalah perkara yang anak boleh fahami dan hayati. Boleh sahaja berdoa dalam Bahasa Melayu.
  • Beri anak berbuka dengan makanan yang ringan supaya perut anak tidak “terkejut”. Selepas solat maghrib barulah beri makanan yang berat. Ini melatih anak untuk tidak gelojoh.

Bagaimana untuk memotivasikan anak untuk terus berpuasa?

Sebelum bulan Ramadan, sediakan satu jadual dengan ruang untuk anak warnakan setelah selesai berpuasa pada hari tersebut. Pelekat gambar boleh juga digunakan untuk dilekatkan pada hari yang anak berpuasa. Pada akhir Ramadan, berilah ganjaran yang sesuai dan bermanfaat. Elakkan daripada memberi duit.

Apa tip untuk memastikan anak istiqamah dalam “berpuasa”?

  • Melatih anak mula berpuasa memang satu pengalaman yang mencabar. Ada kalanya rayuan anak yang minta berbuka “melemahkan” ibu bapa. Namun, tetaplah tegas dalam kelembutan. Walau bagaimanapun, jika ibu bapa nampak yang anak memang sangat letih, berilah kelonggaran pada anak. Ada masanya sedikit minuman sudah memadai untuk dia “sambung” berpuasa.
  • Akui keadaan yang anak lalui iaitu lapar, dahaga, sakit perut, letih, pening dan sebagainya. Sapukan minyak angin pada bahagian perutnya atau picit-picit kepalanya. Sedikit sentuhan boleh meningkatkan semangatnya untuk terus bermujahadah.
  • Bagi ibu yang “bercuti” elakkan daripada makan dan minum di hadapan anak. Anak yang belum faham konsep “bercuti” akan minta untuk “bercuti” juga.
  • Dalam apa keadaan, bersifat rahmahlah dan selalu beri galakan dengan penuh kasih sayang. Pelukan juga dapat memberi “kekuatan” untuk anak meneruskan “perjuangan”nya itu. Apa pun, ia hanya latihan. Boleh cuba lagi keesokan harinya, hinggalah akhir bulan.