7 Tip Anak Tenang Menghadapi Dugaan

3772

Tiada seorang pun di kalangan kita yang inginkan kesusahan, kemiskinan atau kemelaratan  dalam kehidupan ini. Namun, kita terpaksa juga menghadapi kesukaran tersebut.  Bagaimanakah caranya untuk kita atau anak-anak kita lebih tenang  dalam menghadapi segala dugaan tersebut? Di sini saya cuba kongsikan 7 tip untuk menjadikan anak-anak kita semua tenang dalam menghadapi segala  ujian yang mendatang:

UJIAN ITU PASTI

Berikan kefahaman kepada anak-anak kita bahawa segala ujian yang kita hadapi itu semuanya datang daripada Allah SWT, yang mencipta, menghidup dan mematikan kita, untuk menentukan siapakah di kalangan hambaNya yang terbaik. Maka, Allah menguji hambaNya dengan pelbagai ujian, sebagaimana firmanNya:

“Dialah yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah Al-Mulk:2).

HIKMAH DI SEBALIK UJIAN

Adalah amat sukar untuk kita menerima hakikat bahawa semua ujian yang kita hadapi itu mendatangkan kebaikan kepada kita, tetapi kita mesti memahami dan menerima bahawa setiap ujian itu ada hikmahnya dan ada kebaikannya untuk mendidik diri kita. Amatilah firman Allah S.W.T:

“Ada kalanya apa yang kamu benci itu memberikan kebaikan kepada dirimu, ada kalanya apa yang kamu suka itu memberikan keburukan kepada diri mu.” (Surah Al-Baqarah:216).

Oleh itu yakinlah bahawa semua ujian itu mendatangkan kebaikan kepada diri dan anak-anak kita, maka bertindaklah segera untuk menjadi hambaNya yang terbaik.

CONTOHI SEMANGAT PARA RASUL DAN SAHABAT

Memberi peringatan kepada anak-anak kita tentang hebatnya perjuangan dan ujian para Rasul, para Nabi, para sahabat dan kaum sebelumnya sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

“Sesungguhnya orang sebelum kamu, ada di antara mereka digergaji pada tengah-tengah kepala mereka hingga terbelah dua hingga ke kakinya, namun demikian mereka tidak memalingkan dirinya daripada agama yang dipeluk olehnya.” (Riwayat Al-Bukhari Hadis 6943).

Nabi Allah Ibrahim dibakar hidup-hidup, Bilal bin Rabah diazab dengan diletakkan batu di atas dadanya dan dijemur di bawah mentari yang panas dan pelbagai ujian lagi. Itu semua adalah contoh untuk kita dan anak-anak kita pelajari dan dalam masa yang sama mendidik diri untuk  menjadi seorang yang kental mentalnya, kuat semangatnya dan mampu untuk terus mara ke hadapan dengan penuh keyakinan dan  ketenangan.

SABAR

Menghangatkan anak-anak kita dengan ayat-ayat Allah tentang besarnya ganjaran kesabaran sebagaimana firmanNya:

“Sesungguhnya diberi ganjaran kepada orang yang sabar itu tanpa hisab.” (Surah Az-Zummar:10).

Allah sahaja yang mengetahui sebesar mana yang akan diberikan kepada mereka yang bersabar. Allah berfirman lagi:

“Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang bersabar.” (Surah Al-Baqarah:153).

Oleh itu, marilah kita sama-sama menjadi hambaNya yang bersabar dengan segala ujian yang menimpa diri kita, nasihat-menasihatilah sesama kita dengan kebenaran dan kesabaran sebagaimana firman Allah:

“Dan mereka itu menasihati dengan kebenaran dan menasihati dengan kesabaran.”

(Surah Al-Asr : 3). 

SAHABAT SEJATI

Untuk mengekalkan diri kita di atas kebenaran dan kesabaran, maka mestilah kita sentiasa bergaul dan bersahabat dengan kawan-kawan yang memahami apakah itu kebenaran dan apakah itu kesabaran serta dapat pula mengamalinya dengan penuh keikhlasan. Teman yang dapat bersama-sama kita dalam keadaan susah dan senang.  Mencari teman yang terbaik untuk kita tidaklah mudah, berdoalah kepada Allah agar kita dan anak-anak kita diketemukan Allah dengan sahabat yang terbaik dunia dan akhirat.

LAWAN NAFSU

Melawan hawa nafsu kita yang sentiasa gemarkan kesenangan dan kemewahan hidup di dunia yang sementara ini dengan perbanyakkan ingatan kita kepada alam kubur dan alam akhirat, kerana itulah tempat yang kekal abadi. Bila nafsu kita dapat dikawal dengan baik, maka kehidupan kita akan lebih seimbang dan dengan itu fikiran dan hati kita akan memperolehi ketenangan yang diidam-idamkan.

DOA

Mengajar anak-anak kita dengan doa-doa yang berkaitan dengan keselamatan, kelapangan dan ketenangan di dalam kehidupan, sepertimana doa yang sentiasa kita baca setiap kali selepas solat:

“Ya Allah kami memohon kepada Mu keselamatan dalam agama, kesejahteraan tubuh badan, penambahan pada ilmu, keberkatan pada rezeki serta taubat sebelum mati dan rahmat di waktu mati dan keampunan sesudah mati.”

Semoga dengan tip yang dipaparkan ini akan dapat memberi manfaat kepada diri kita dalam menempuh segala ujian dan rintangan di dalam kehidupan yang fana ini. Marilah kita sama-sama berdoa agar Allah memberikan kesabaran dan ketenangan yang sepenuhnya kepada kita semua yang akhirnya kita ditempatkan di Syurga FirdausNya, amin amin ya Rabbal Alamin.