Rasa Bersalah dan Malu dalam Kanak-kanak

2359

Kanak-kanak belajar tentang baik dan buruk dengan menerima atau memerhati kesan atau akibat kelakuan mereka atau orang lain. Apabila mereka menunjukkan perlakuan wajar, mereka dipuji dan diterima, manakala perlakuan tidak wajar akan menyebabkan mereka dimarahi dan tidak diterima. Pendedahan terhadap akibat akan mendidik mereka bahawa ada masanya mereka akan mendapat masalah dan ada masanya mereka akan diraikan.

Apabila kita membuat kesalahan ketika kecil, kita lazimnya akan dimarahi, dijeling dengan tajam, atau dilabel dengan cara yang memalukan. Kaedah disiplin begini bertujuan untuk membuatkan kita menjauhi kesalahan, lalu menyebabkan kesalahan dikaitkan dengan rasa bersalah dan malu.

Apakah perasaan bersalah dan malu?

Rasa bersalah ialah kekesalan atas kesalahan yang dikaitkan dengan tanggungjawab. Apabila seorang kanak-kanak memecahkan cawan kegemaran ibunya, dia rasa bersalah kerana perbuatannya akan mengecewakan ibunya. Malu ialah perasaan yang timbul akibat kesalahan yang akan menjejaskan reputasi. Kanak-kanak yang memecahkan cawan kegemaran ibunya akan rasa malu terhadap diri sendiri kerana cuai. Maka, perasaan bersalah itu wujud atas perbuatan sendiri, dan malu merujuk kepada apa yang anda rasa terhadap diri sendiri.

Rasa bersalah dan malu adalah sebahagian daripada hidup kerana masyarakat memerlukan kita bertanggungjawab di atas tindakan kita. Apabila kita membuat silap, kita dipersalahkan atas perbuatan itu dan berasa teruk (bersalah dan malu). Ini cara masyarakat memajukan individu dengan mengurangkan dan mencegah kesalahan, kerana sebahagian daripada motivasi manusia adalah untuk mengelak apa-apa yang tidak disenangi. Perasaan bersalah dan malu adalah dua akibat yang kita cuba elak.

Bacaan Berkaitan : Tip Mengatasi Anak Pemalu

Mengawal perasaan bersalah dan malu

Sememangnya perkara biasa bagi ibu bapa atau guru untuk memarahi kanak-kanak apabila mereka membuat kesilapan. Kanak-kanak mungkin mengaitkan teguran ini dengan diri mereka, dan berasa malu terhadap diri sendiri, bukannya terhadap kelakuan mereka. Anda harus jelaskan bahawa teguran tersebut dimaksudkan untuk kelakuan mereka, bukan diri mereka. Contohnya, daripada mengatakan “Kamu sangat lembab kerana…,” lebih baik untuk mengatakan, “Apa yang kamu lakukan tidak elok. Jangan lakukannya lagi.” Kanak-kanak harus belajar bertanggungjawab atas kelakuan mereka, tetapi jangan label diri mereka sebagai satu kesilapan. Mereka perlu menangani kesalahan dengan memperakuinya dan meneruskan hidup. Ibu bapa dan guru perlu berhati-hati agar tidak terlalu fokus pada kesalahan yang akan mewujudkan lebih banyak perasaan bersalah dan malu dalam diri kanak-kanak.

Sebagai manusia tidak sempurna, kita melakukan kesilapan setiap hari. Sebahagian daripada proses menjadi dewasa adalah mempelajari cara menguruskan kekecewaan akibat kesilapan, dan juga perasaan bersalah dan malu yang dirasakan semasa berinteraksi dengan orang lain, terutamanya ibu bapa. Perasaan bersalah dan malu harus diuruskan dengan betul. Jika disimpan, ia menjadi beban dan boleh membawa kepada gangguan emosi seperti kemurungan dan kegelisahan. Perasaan bersalah yang mendalam boleh membawa kepada rasa malu dan benci pada diri sendiri yang melampau, yang boleh mengakibatkan kemurungan atau kemarahan tidak bertempat terhadap orang lain. Perasaan bersalah yang melampau ini biasanya timbul semasa remaja dan awal dewasa, kerana ia mengambil masa untuk berkembang, tetapi ia juga boleh berlaku pada kanak-kanak lebih kecil.

Apabila menegur anak, adalah penting untuk menjaga emosi mereka dan memastikan mereka mendapat maklum balas dan didikan yang seimbang. Tunjukkan bahawa mereka dihargai dalam keluarga dan komuniti. Kesejahteraan emosi datang dari rasa kekitaan dalam keluarga dan komuniti – rasa diterima sebagai diri sendiri dan kerana apa yang boleh disumbangkan.

Perasaan bersalah dan malu yang sihat serta tidak sihat

Sesetengah kanak-kanak lebih sensitif dan lebih cenderung untuk rasa malu dan bersalah; mereka mungkin diberi didikan dan layanan paling lembut, tetapi masih rasa bersalah dan malu. Ini bergantung pada bagaimana mereka melihat kawalan peribadi, tanggungjawab, dan sifat mereka. Ibu bapa dan guru perlu memberi panduan kepada kanak-kanak tentang cara mereka boleh melepaskan kesalahan mereka dengan mengakuinya dan berazam menjadi lebih baik. Perasaan bersalah dan malu yang sihat berguna dalam hidup bermasyarakat. Bagaimanapun, ia boleh menjadi beban emosi jika disimpan terlalu lama dan menjadi tidak sihat apabila menyakiti emosi hingga menjejaskan kegiatan harian.

Kuasa kemaafan

Satu cara penting untuk menangani perasaan bersalah dan malu adalah konsep kemaafan. Didik anak tentang kemaafan apabila mereka cukup matang untuk memahaminya. Sebagai orang dewasa, amalkannya secara terbuka dengan satu sama lain agar menjadi contoh kepada anak-anak. Kemaafan ialah tindakan bermakna yang membantu individu melepaskan rasa bersalah, dan akhirnya mengurangkan perasaan malu mereka. Apabila mendidik anak anda bertanggungjawab atas kelakuan mereka, ajar juga mereka untuk meminta maaf dan bantu mereka belajar daripada kesilapan.

Penting untuk anda memaafkan mereka dengan ikhlas, jika tidak, anda sendiri akan menanam rasa bersalah secara tanpa sedar dengan mengingatkan mereka tentang kesilapan mereka dan kekecewaan anda. Keikhlasan dan kehormatan ialah komponen yang sangat penting dalam kemaafan. Pupuk nilai ini dalam anak anda untuk mengendalikan rasa malu dan bersalah. Jika tidak, kanak-kanak akan terlalu memikirkan kesilapan mereka, atau boleh kehilangan perasaan tersebut sama sekali.

Bacaan Berkaitan : Adik Minta Maaf!

Tumpukan pada disiplin positif

Apa yang boleh kita lakukan untuk menggalakkan perasan bersalah dan malu yang sihat? Kaedah utama adalah dengan fokus kepada cara disiplin positif, di mana kelakuan dijadikan sasaran disiplin. Contohnya, jika anda mahu mendisiplinkan anak untuk menyiapkan kerja sekolah, memarahi dan melabelnya sebagai “malas” hanya akan memburukkan lagi keadaan, kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada emosi, lantas menjejaskan produktiviti.

Sebaliknya, menggunakan strategi yang meningkatkan fokusnya dalam kerja sekolah akan lebih berfaedah. Memalukan kanak-kanak kerana kesilapan mereka adalah cara disiplin negatif, kerana ia biasanya akan diakhiri dengan denda. Cara yang lebih produktif adalah dengan menggalakkan kelakuan yang diingini, daripada menumpukan pada kelakuan yang tidak diingini. Dengan menumpukan pada perkara positif, anda akan rasa lebih bersemangat berbanding kecewa. Ini juga akan mengurangkan perasaan bersalah dan malu bagi kedua-dua pihak. Semestinya ada masa apabila denda diperlukan, tetapi sentiasa bantu anak anda menghadapi perasaan bersalah dan malu selepas mendenda mereka. Lebih mudah untuk memusnahkan keyakinan diri daripada membinanya. Maka, ingatlah tujuan anda semasa mendisiplinkan anak.

Dengan kerjasama Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia.

Artikel ini dipetik dengan izin daripada laman sesawang www.mypositiveparenting.org.