Tips Mengatasi Anak Pemalu

Adakah anak anda sering menundukkan muka, menyorok di belakang anda dan tidak menjawab apabila ditanya apabila berhadapan dengan orang yang tidak rapat dengannya? Pernahkah anda terfikir mengapakah sifat pemalu timbul di dalam diri anak anda? Kanak-kanak pemalu memiliki campuran rasa takut, tekanan, kerisauan dan rasa malu yang tinggi. Jika konflik ini tidak diatasi, berkemungkinan akan mendatangkan kesan buruk ke atas dirinya.

Sikap pemalu berakar dari rasa rendah diri yang tinggi. Anak yang mempunyai sifat pemalu kebiasaanya akan mengelak untuk melibatkan diri dalam sebarang aktiviti sosial. Akibatnya, mereka akan segan untuk bersuara seperti menyatakan pandangan atau membangkang sesuatu perkara.

Sebagai ibu bapa, layanan terhadap anak-anak menjadi tunjang penting dalam pembangunan diri anak-anak. Sentiasa memuji sifat-sifat positif yang dimilikinya. Setiap kali anda memujinya, keyakinan diri anak anda pasti akan meningkat. Jangan memaksanya berada di khalayak ramai jika dia engganBina keyakinannya melalui situasi yang digemari. Contohnya, jika dia berasa selesa berkawan dengan kanak-kanak yang lebih kecil berbanding usianya, beri galakan sepenuhnya.

Biarkan anak anda bekerjasama dengan rakan-rakannya. Jika dia berkeinginan untuk menghadiri sebarang aktiviti anjuran sekolah seperti kem, lawatan ataupun aktiviti-aktiviti berkumpulan, itu sesuatu yang bagus! Duduk bersebelahannya dan anda boleh berbincang mengenai aktiviti yang disertainya. Berikan pelbagai nasihat yang bermanfaat sebagai sumber panduannya. Mungkin anda boleh menceritakan pengalaman anda yang melucukan atau memalukan. Dia akan berasa dirinya lebih baik dan juga dapat meningkatkan motivasi diri.

Kesimpulannya, anak-anak merupakan anugerah Allah SWT yang memerlukan penjagaan rapi dan kesabaran dalam mendidik. Terapkan pelbagai nilai murni dan perkara-perkara positif di rumah agar anak anda berasa selesa dan mampu menyingkirkan rasa malu dalam diri mereka sedikit demi sedikit. Anda berperanan sebagai kunci untuk merungkai sifat pemalu anak lantas menjadikan mereka lebih berkeyakinan.