Kasih dan Sayangnya Rasulullah SAW kepada Kanak-Kanak

8980

Rasulullah SAW merupakan insan terbaik pilihan Allah SWT, seperti yang diriwayatkan oleh ummul mukminin Aisyah r.a. bahawa akhlak baginda adalah al-Quran. Baginda berhati mulia dan lemah lembut pekertinya terutama kepada kanak-kanak.

Pada suatu hari ketika Rasulullah SAW sedang melaksanakan solat, cucu baginda, Hasan dan Husain memanjat ke atas bahu baginda dan bermain-main di sekitar baginda. Selepas solat, baginda tidak terus memarahi dan menyalahkan mereka, kerana baginda tahu bahawa kanak-kanak akan takut dan akan menjauhi orang yang memarahi dan kelak susah menerima nasihat. Justeru, baginda menasihati mereka dengan lemah lembut sehingga mereka faham dan mendengar nasihat tersebut.

Rasulullah SAW melarang ibu bapa berkata bohong kepada kanak-kanak. Terdapat ibu bapa yang berkata bohong kepada anak untuk mendiamkannya ketika mereka meminta sesuatu. Contohnya, “Diam ya nak, nanti emak belikan coklat.” Selepas anaknya diam, coklat pun tinggal cerita sahaja. Bayangkan betapa kecewanya anak itu apabila janji tidak ditepati.

Rasulullah SAW suka bermain dengan kanak-kanak dan bercerita kepada mereka. Baginda tidak malu bermain dengan mereka, malah melayan kanak-kanak dengan sebaik-baiknya. Rasulullah SAW pernah membawa Abdullah bin Abbas r.a. di atas kenderaan baginda sambil bercerita tentang nabi-nabi yang diutus oleh Allah SWT sebelum baginda.

Ada satu peristiwa yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sangat peka terhadap keinginan seorang anak. Anak tersebut bernama Khattab. Dia rendah, kurus dan tidak tampan berbanding kawan-kawannya yang lain.

Pada suatu hari, Khattab berjumpa dengan Rasulullah SAW dan seperti anak-anak yang lain, dia berasa sungguh gembira tatkala bersama-sama baginda. Baginda memerhatikannya dengan penuh belas kasihan dan memahami kehendaknya. Sambil membelai kepala Khattab, baginda berdoa agar Khattab membesar dengan tampan seperti rakan-rakan sebayanya.

Hari demi hari, Khattab mula membesar dan berubah. Hanya dengan satu doa daripada Rasulullah SAW, Khattab menjadi pemuda yang tinggi, sasa dan paling tampan dalam kalangan rakan-rakannya. Bagi Khattab, tiada lain yang dikasihi melebihi dirinya melainkan Rasulullah SAW.

Contohilah sikap Rasulullah SAW terhadap kanak-kanak. Baginda suka bertanya tentang keadaan mereka dan memeluk mereka dengan kasih sayang. Kanak-kanak mempunyai hati yang lembut, maka kita perlu berhati-hati memperlakukan mereka. Jika mereka terbiasa diperlakukan dengan kasar, maka mereka akan ingat sampai bila-bila dan ini akan mengganggu psikologi mereka. Sebaliknya, mereka akan suka kepada seseorang yang menyayangi dan berlemah lembut kepada mereka. Anak-anak akan lebih mudah mendengar nasihat daripada orang yang disenangi.

Kesimpulannya, marilah kita memperlakukan kanak-kanak dengan sebaik-baiknya sepertimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW. Kanak-kanak adalah penerus bangsa dan umat ini, jika kita perlakukan mereka dengan baik, maka akan baiklah keadaan bangsa dan umat ini pada masa yang akan datang.

Bacaan Berkaitan : 7 Tip Agar Anak Mencintai Masjid