3 Tip Penjagaan Kesihatan Usus Anak Anda

1901

Kanak-kanak membesar memerlukan penjagaan dan pemakanan sempurna untuk berkembang sihat. Dalam aspek pemakanan, usus anak anda adalah organ penting untuk proses penghadaman dan pencernaan yang optimal. Kesihatan usus boleh dianggap sebagai asas penyerapan nutrien yang membantu pertumbuhan dan perkembangan anak anda.

Bacaan Berkaitan : Comel Atau Obes?

Malangnya, kesihatan usus sering diabaikan sehingga terjadinya masalah seperti cirit-birit, perut kembung, muntah-muntah, ketidakselesaan perut, rasa loya dan lain-lain. Perkara yang sama juga boleh berlaku kepada orang dewasa.

Tahukah Anda?

Statistik terkini menunjukkan ramai orang dewasa Malaysia menghidapi masalah kesihatan penghadaman dan pencernaan. Fakta Kesihatan 2016 (terbitan Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM) mendedahkan penyakit penghadaman dan pencernaan merupakan:

  • penyebab utama keempat bagi kemasukan ke hospital swasta.
  • penyebab utama kematian keenam yang direkodkan hospital kerajaan dan swasta.
  • penyebab utama ketujuh bagi kemasukan ke hospital kerajaan.

Memelihara kesihatan usus yang baik

Berikut adalah senarai asas yang patut diikuti.

Makan secara sihat: Diet anak anda perlu mengandungi buah dan sayur secukupnya untuk mendapat cukup serat. Jadual makan juga perlu teratur dan tidak melampau. Hadkan pengambilan makanan bergoreng dan makanan/minuman bergula. Galakkan anak untuk meminum sekurang-kurangnya lapan gelas air setiap hari (lebih pada hari panas atau jika dia melakukan aktiviti fizikal).

Kekal aktif: Anak anda perlu melakukan aktiviti fizikal sekurang-kurangnya sejam setiap hari. Ini membantu memelihara kelancaran sistem penghadaman dan pencernaan kerana ia menggalakkan pembuangan air besar yang berkala (mengelakkan sembelit) sekaligus menyihatkan usus serta membantu mengekalkan berat badan yang sihat.

Kekalkan kebersihan diri: Didik anak anda tentang kebersihan diri seperti membasuh tangan dengan sempurna selepas ke tandas dan sebelum makan. Kebersihan diri adalah penting untuk mencegah bakteria penyebab penyakit daripada memasuki ke dalam sistem penghadaman dan pencernaan.

Kepentingan kesihatan usus yang baik

Kesihatan usus yang baik dan optimal membantu memastikan badan anak anda menghadam dan mencerna makanan dengan sempurna dan menyerap nutrien penting bagi pertumbuhan badan yang baik. Usus juga memainkan peranan dalam imuniti kerana ia bertindak sebagai benteng pertahanan pertama terhadap jangkitan. Usus juga boleh mempengaruhi mood anak anda (dengan adanya kepadatan tinggi sel-sel saraf yang dipanggil sistem saraf enterik atau enteric nervous system (ENS), usus juga dipanggil sebagai ‘otak kedua’)

ENS mengawal banyak fungsi, seperti proses penghadaman dan pencernaan, perembesan enzim, pengaliran darah ketika proses penghadaman, pembuangan air besar, dll. Terdapat banyak bukti baru menunjukkan cara otak berhubung dengan usus yang dikenali sebagai paksi otak-usus. Apabila seseorang berasa bimbang atau murung, ia boleh menjejaskan selera makan dan menyebabkan masalah penghadaman lain seperti cirit-birit, sembelit, kembung, atau ketidakselesaan perut. Sebaliknya, sakit perut atau sebarang masalah berkait dengan penghadaman juga boleh mencetuskan perubahan emosi dan membuat anda muram.

Pre & Probiotik

Tidak sukar untuk memelihara imbangan mikrobiota usus yang baik. Ia berkait dengan tip pertama memelihara kesihatan usus, iaitu, memakan makanan secara sihat.

Terdapat dua aspek utama yang perlu diberikan perhatian: pertama, pastikan anak anda mengambil makanan yang kaya dengan prebiotik (prebiotik adalah makanan bagi probiotik). Kebanyakan prebiotik didapati dalam serat (karbohidrat yang tidak boleh dihadam), sesetengahnya berfungsi sebagai prebiotik. Ini termasuk pisang, bawang putih, bawang, bawang merah, kucai, dan asparagus.

Kedua, anak anda juga perlu mengambil makanan yang kaya dengan probiotik seperti produk susu difermentasi (seperti keju, yogurt), produk soya difermentasi (seperti tempe), kefir, kimchi, atau produk makanan yang ditambah probiotik (baca label pemakanan apabila membeli-belah).

Pembantu kecil usus

Antara teras kesihatan usus yang baik adalah bergantung kepada kumpulan besar kehidupan mikrob yang hidup dalam usus anak anda yang dipanggil mikrobiota usus. Ianya terdiri daripada bakteria baik dan bakteria penyebab penyakit. Amalan gaya hidup sihat membantu memelihara imbangan mikrobiota baik dan mikrobiota penyebab penyakit usus dan membantu mengoptimumkan kesihatan usus yang baik.

Bacaan Berkaitan : Adakah Anak Anda Diberi Ubat Dengan Betul?

Tabiat zaman kanak-kanak anak anda akan berterusan sehingga dewasa. Kajian menunjukkan bakteria baik (juga dipanggil probiotik) memberi banyak faedah kesihatan kepada kanak-kanak dan orang dewasa. Malah, satu kajian tempatan terkini daripada Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) menunjukkan pengurangan ketara masa alihan usus atau intestinal transit time (ITT), atau masa yang diambil oleh sistem penghadaman dan pencernaan badan untuk mengubah makanan kepada najis serta penambahbaikan ketara pada simptom sembelit. Kajian ini membuktkan bahawa probiotik dalam bentuk Lactobacillus acidophilus dan Lactobacillus casei berkesan dalam memperbaiki kesihatan penghadaman dan pencernaan keseluruhannya.

Amalkan apa yang anda pelajari

Anda merupakan model peranan anak anda, maka tunjuklah teladan yang baik. Jika tidak, anak anda tidak akan bersemangat untuk mengikuti panduan disebutkan di atas. Memulakan perjalanan kehidupan anak anda ke arah kesihatan usus yang lebih baik bersama-sama akan merapatkan hubungan kekeluargaan. Anda masih belum terlambat, mulakan gaya hidup yang sihat seawal mungkin dengan menjaga kesihatan usus anda serta anak anda.

Artikel ini dipetik dengan izin daripada laman sesawang www.mypositiveparenting.org.