Anda Guru Sains Yang Baik?

4332

Apabila kita menyebut tentang sains, ramai ibu bapa akan terfikir tentang eksperimen yang dilakukan di dalam bilik makmal. Ramai yang mengeluh betapa susahnya mengajar sains kerana tidak tahu atau mahir menggunakan istilah saintifik.

Sebenarnya, bagi kanak-kanak prasekolah, sains adalah dunia harian mereka. Kita tidak perlu mengajar mereka untuk bertanya dan meneroka, kerana sikap semula jadi mereka sememangnya suka bertanya dan meneroka melalui permainan harian bagi mendapatkan sesuatu jawapan.

Adakah kita perlu meyakinkan kanak-kanak bahawa sains ini menyeronokkan? – Jawapannya TIDAK PERLU kerana sains memang menyeronokkan bagi kanak-kanak, jika kita memperkenalkan (mengajar) dengan cara yang betul.

Kepada anda yang tidak suka kepada subjek sains, kemungkinan besar anda mengalami pengalaman yang tidak baik tentang pembelajaran sains pada waktu prasekolah dahulu. Pendapat anda ditolak atau tidak disetujui atau anda tiada peluang untuk memberi pendapat semasa eksperimen dijalankan. Ini merupakan pengalaman buruk yang anda bawa bersama sehingga dewasa.

Oleh kerana itu, amat penting bagi pendidik atau guru sains memikirkan cara mencipta pengalaman yang mengujakan untuk kanak-kanak dalam pembelajaran sains ini.

Di sini, saya ingin kongsikan 5 tip untuk anda menjadi pendidik atau guru sains yang baik.

BERI PELUANG KEPADA KANAK-KANAK


School photo created by freepik – www.freepik.com

Beri peluang kepada kanak-kanak untuk membuat ramalan mengenai apa yang mereka fikir akan berlaku. Tugas anda hanya menunggu mereka mengumpul idea-idea dan pendapat mereka. Ini pasti akan menjadi satu sikap yang baik dan dapat dikuasai melalui latihan berterusan.

BANYAKKAN TANYA “MENGAPA?”


School photo created by pressfoto – www.freepik.com

Bagi kanak-kanak yang menghadapi kesukaran untuk memahami konsep sains yang ingin diketengahkan, bantulah mereka berfikir dengan bertanyakan  “Mengapa?” sebanyak mungkin untuk mendapatkan jawapannya.

MENGGALAKKAN KANAK-KANAK MENYELESAIKAN MASALAH

Belajar mencari jawapan atau menyelesaikan masalah adalah satu kemahiran dalam hidup. Oleh kerana itu, pendidik harus elakkan daripada terus memberikan jawapan kerana ia akan membantutkan sikap dan pengalaman saintifik yang ingin anda terapkan. Bagi kanak-kanak prasekolah, sikap saintifik bermaksud tabiat bertanya dengan betul, keinginan yang mendalam untuk mendapatkan jawapan serta kebolehan melakukan penyelesaian yang tepat terhadap permasalahan yang berlaku.

ULANGI AKTIVITI / EKSPERIMEN


School photo created by pressfoto – www.freepik.com

Sekiranya kanak-kanak tidak mahir melakukan sesuatu langkah dalam aktiviti atau eksperimen yang dijalankan, ulanginya semula. Ini kerana kita mahu mereka memahami proses sains dan bukan hasil semata-mata. Jangan terburu-buru untuk beralih ke topik pembelajaran yang baharu. Anda akan menjadi lebih kreatif dan inovatif dengan memikirkan modifikasi terhadap aktiviti atau eksperimen ini supaya lebih sesuai dengan tahap kemahiran mereka.

TUNJUKKAN SAINS BERKAITAN DENGAN DUNIA NYATA

Cuba kaitkan bagaimana sains berkait rapat dengan suasana kehidupan harian seperti konsep tekanan udara untuk meramal cuaca, konsep perubahan suhu panas, sejuk atau bagaimana kitar semula dapat membantu alam sekitar.

Sekiranya anda menguasai kelima-lima tip di atas, anda mampu menjadi pendidik yang baik dan berjaya memberikan pengalaman yang cukup bermakna dan menyeronokkan kepada kanak-kanak dalam pembelajaran sains. Insya-Allah anda telah menghasilkan ramai pencinta sains dan bakal saintis pada masa akan datang.

Untuk mendapatkan aktiviti-aktiviti atau eksperimen sains prasekolah yang menarik dan menyeronokkan, sila layari https://eniaga.awal.my/