7 Tip Elak Anak Jadi Mangsa Perlakuan Seksual

11656

Jenayah seksual yang semakin berleluasa menimbulkan kembimbangan dalam kalangan ibu bapa dan juga pendidik. Isu pedofilia yang menular sejak akhir-akhir ini juga menarik perhatian semua pihak termasuk ibu bapa dan pendidik untuk sentiasa peka dan berjaga-jaga terhadap keselamatan anak pada setiap masa walau di mana mereka berada.

Anak-anak perlu diberi pendedahan mengenai tips keselamatan diri bagi tujuan perlindungan daripada jenayah seksual yang semakin membimbangkan. Dalam hal ini, ibu bapa perlulah memainkan peranan yang penting dalam memastikan anak-anak sentiasa berada dalam keadaan yang selamat dalam persekitaran yang meyakinkan. Berikut merupakan 7 tip yang perlu diambil berat bagi mencegah anak-anak daripada menjadi mangsa perlakuan seksual.

Bacaan Berkaitan : Awas Ancaman Si Fidofilia!

1. Pentingnya komunikasi & hapuskan kerahsiaan

Komunikasi antara ibu bapa dan anak adalah penting dalam memastikan tiada kerahsiaan yang boleh merumitkan keadaan. Galakkan anak-anak untuk berkomunikasi dan ibu bapa perlu lebih peka pada perasaan mereka. Berikan perhatian yang serius terhadap percakapan mereka. Beri perhatian terhadap tanda-tanda yang mungkin membawa kepada penderaan seksual. Sikap ambil berat ibu bapa terhadap anak akan menghapuskan jurang dan kerahsiaan di antara ibu bapa dengan anak-anak.

2. Mengecam tingkah laku yang boleh menjurus kepada penderaan seksual

Ibu bapa perlulah mengajar dan jelaskan kepada setiap anak tentang penderaan seksual supaya mereka boleh mengecam tingkah laku yang mendorong kepada penderaan seksual seperti meraba, mengusap dan mencium. Ajar mereka tentang 5 bahagian tubuh badan yang sangat istimewa dan tidak boleh disentuh iaitu dada, pinggul, peha, mulut dan alat sulit kerana tubuh badan kita adalah hak kita yang perlu dilindungi daripada disentuh orang lain. Setiap anak juga perlu diajar untuk mengenali setiap bahagian tubuh mereka dan tidak menggunakan “perkataan perantaraan” bagi menyatakan bahagian-bahagian sulit pada tubuh mereka.

3. Berani mengatakan “Tidak”

 Ibu bapa perlu mengajar anak bagaimana mengatakan “Tidak” kepada apa sahaja permintaan yang mencurigakan, memberanikan diri meminta bantuan dan mengawal diri daripada disentuh oleh orang lain. Kita perlu memberi sokongan terhadap hak anak untuk mengatakan “tidak” terhadap sesuatu tindakan. Contohnya mengatakan tidak pada pemberian orang yang tidak dikenali dan menolak secara baik ajakan orang yang mencurigakan bagi mengelak perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

4. Batasan aktiviti berlainan jantina

Seiring dengan peningkatan usia anak, ibu bapa perlu menetapkan batasan dari sudut pergaulan anak bagi mengelak berlakunya perlakuan seksual dalam kalangan anak. Gangguan seksual yang paling lazim dalam sesebuah keluarga ialah di antara anak-anak kecil dengan anak-anak kecil dan anak- anak remaja berlainan jantina. Jadi, anak-anak berlainan jantina perlu dielakkan daripada mandi atau tidur bersama-sama tanpa pengawasan.

5. Tingkah laku melindungi diri yang jelas

Sebagai role model, ibu bapa perlu menyedari dan memahami batasan tingkah laku mereka sendiri. Ibu bapa perlu sentiasa peka dan menunjukkan tingkah laku melindungi diri yang boleh meyakinkan anak-anak. Contohnya dari segi pemakaian yang bersesuaian di rumah dan batasan pergaulan dengan orang sekeliling. Ingatkan setiap anak bahawa orang yang “baik” boleh berniat jahat terhadap mereka sendiri dan galakkan anak untuk memberitahu mengenai orang yang mereka tidak selesa dampingi.

6. Awasi pengaruh media massa

Ibu bapa perlu memantau aktiviti anak di rumah. Jadi, awasilah bahan yang ditonton oleh anak-anak dan luangkan masa untuk menonton bersama-sama mereka. Membiarkan anak-anak menonton video tanpa pengawasan ibu bapa atau orang yang lebih dewasa boleh memungkinkan mereka menyalahgunakan kemudahan tersebut untuk menonton bahan-bahan lucah. Buku bacaan anak di rumah juga perlu dipantau bagi mengelak mereka dipengaruhi oleh sumber bacaan yang tidak bermanfaat dan tidak bermoral.

7. Perhubungan telefon

 Kesibukan dengan kerjaya tidak sepatutnya menjadi penghalang komunikasi ibu bapa dan anak. Batasan masa dan kewangan keluarga kadangkala menjurus kepada tindakan meninggalkan anak-anak bersendirian di rumah tanpa pengawasan orang yang lebih dewasa. Jika keadaan ini tidak dapat dielakkan, ibu bapa bolehlah memastikan keselamatan anak-anak di rumah melalui telefon bagi memastikan keselamatan anak terjamin sepanjang ketiadaan mereka.

Kesimpulannya, peranan dan sokongan ibu bapa hari ini amat penting bagi memastikan anak-anak sentiasa bertingkah laku selamat dalam persekitaran yang sihat dan meyakinkan.