Awas Ancaman Si Fidofilia!

2206

Dalam sebuah laporan berita di Utusan Malaysia bertarikh 17 Mei 2015 berjudul “Awas Si Fidofilia!”, pakar psikiatri Jabatan Perubatan Psikologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menyatakan fidofilia merupakan seseorang individu yang kecenderungan seksnya terarah kepada kanak-kanak ataupun remaja di bawah umur 16 tahun. Beliau menerangkan bahawa fidofilia bukan semestinya melakukan seks terhadap kanak-kanak tetapi ia menjurus ke arah itu. Dia mungkin berminat sahaja, maksudnya tiada berlaku sebarang sentuhan atau meneruskan keinginan dan kemahuannya. Dipendekkan, seorang dewasa yang mudah terangsang dengan memikirkan dan membayangkan atau dengan melihat gambar kanak-kanak sahaja.

Dalam laporan statistik oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 26% kes penderaan kanak-kanak secara seksual telah dilaporkan. Ia telah dibentangkan oleh Fadhlina Sidek, Naib Presiden ABIM Pusat sebagai pemula siri advokasi #standupforourchildren anjuran ABIM Pusat pada 3 September lalu dalam kempen kesedaran mengenai “Jenayah Seksual dan Mental Terhadap Kanak-kanak”.

Peratusan itu sememangnya membimbangkan kerana saban hari kita dikejutkan dengan pelbagai berita berkaitan jenayah seksual melibatkan kanak-kanak termasuklah rogol, cabul, sodomi, sumbang mahram hinggalah melibatkan kematian kanak-kanak.

Justeru itu, ibu bapa dan guru perlu mendidik anak-anak sejak kecil untuk menjaga tubuh badan mereka daripada dieksplotasi oleh si fidofilia. LIMA anggota yang perlu dijaga rapi daripada sebarang sentuhan berahi ialah:

  1. Mulut
  2. Leher
  3. Dada
  4. Punggung/Kemaluan
  5. Peha

Ibu bapa atau guru perlu menerangkan kepada anak-anak supaya anggota badan mereka khususnya lima yang dinyatakan di atas adalah anggota privasi yang tidak boleh disentuh sewenang-wenangnya untuk berseronok termasuklah ahli keluarga. Anak-anak perlu dididik tentang sentuhan yang salah yang menjurus kepada keseronokan seksual pemangsa.

Cara paling mudah ialah ibu bapa atau guru meminta kebenaran untuk menyentuh dan membersihkan punggung anak ketika mereka membuang air kecil mahupun air besar. Ini sebagai didikan bahawa tubuh anak-anak adalah privasi mereka. Tip mudah yang lain ialah kita sebagai ibu bapa tidak sewenangnya berkongsi gambar anak-anak kepada umum kerana menyantuni hak privasi mereka. Perkongsian gambar-gambar comel dan gelagat anak-anak di internet turut dilaporkan sebagai punca golongan fidofilia semakin bertambah.

Oleh itu, ibu bapa atau guru perlu lebih prihatin terhadap sebarang perubahan kelakuan anak-anak kerana ancaman fidofilia ada di mana-mana! Semoga anak-anak kita selamat dari ancaman manusia durjana.