Aduh, Si Manja Tak Suka ke Tadika

1512

Anda jangan terkejut andainya anak anda meragam “Adik tak mahu ke tadika hari ni!”. Perkara kecil ini hanyalah sebahagian daripada kerisauan kanak-kanak yang ditonjolkan kerana terpaksa melangkah ke alam tadika yang asing bagi mereka. Berlainan pula situasinya jika anak anda pernah ditempatkan di taska, play group semasa hujung minggu dan sebagainya. Mereka akan lebih mudah menyesuaikan diri dengan pelbagai rutin, aktiviti sosial dan berhubung dengan guru-guru. Namun kerisauan untuk melangkah ke alam tadika pasti akan terbit di dalam setiap diri kanak-kanak. Ia adalah satu perkara yang normal yang setiap orang perlu hadapi.

Kerisauan merupakan perkara biasa yang berlaku termasuklah kepada kita jika terpaksa berpindah ke tempat kerja yang baharu. Menyesuaikan diri di tempat baharu pastinya mengambil masa. Seperti berada di luar “comfort zone”, kita pasti berasa asing. Situasi ini sama seperti apa yang dihadapi oleh anak yang baru hendak melangkah ke tadika. Berbeza dengan kita, kanak-kanak menzahirkan kerisauan mereka dengan perbuatan seperti menggigit kuku, menghisap jari dan sebagainya. Anda sebagai ibu bapa perlu memberi sokongan moral kerana ia sebahagian daripada proses perkembangan anak-anak. Di bawah merupakan beberapa tip yang boleh anda praktikkan jika berhadapan dengan situasi “Mama, adik tak nak pergi tadika!”

  1. Apabila anak anda enggan ke tadika, jangan buang masa berdebat apatah lagi mendenda mereka dengan memaksa mereka belajar di rumah. Cukup dengan bertanya anak anda tentang punca kerisauan yang mereka alami. Contohnya, jika kerisauan si manja adalah kerana dia takut untuk ke tandas seorang diri, anda patut meyakinkan mereka bahawa ada guru yang akan membantunya di tadika!
  2. Cuba kenal ibu bapa kanak-kanak yang lain dan rancang pertemuan pertama anak-anak sebelum bermulanya waktu persekolahan. Aktiviti mudah seperti bermain di padang permainan boleh sahaja diatur agar anak anda boleh mengenali rakan-rakannya yang baharu dalam keadaan yang menyeronokkan.
  3. Yakinkan si manja anda persamaan tadika dan taska sekiranya anda pernah menghantarnya ke taska sebelum ini. Sebutkan perkara-perkara yang menggembirakan si manja seperti pelbagai jenis permainan, makanan yang sedap, cikgu yang baik serta kawan-kawan yang ramai. Pancing minat si manja anda dengan sebaik mungkin!
  4. Jika anak anda masih lagi merengek dengan permintaan seperti minta didukung, layankan sahaja. Yang penting anak anda gembira dan mood untuk ke sekolah tidak terganggu dek sikap anda yang acuh tak acuh dalam melayan seribu satu kerenahnya.
  5. Sebagai ibu bapa, kita perlu mempercayai bahawa fasa yang dilalui merupakan fasa pemisahan. Pemisahan yang akan membawa anak anda menjadi lebih berdikari dan mengurangkan masa anda bersama mereka. Fasa ini tentu sekali merupakan tempoh yang sangat baik kerana pada masa inilah anak anda akan melalui perkembangan dari pelbagai sudut. Pemikiran, pembelajaran, pergerakan dan sebagainya.