Lebah dan Madu: Keajaiban Ciptaan Allah

4092

Surah ke-16 dalam al-Quran dinamakan ‘an-Nahl’ yang bermaksud ‘lebah’. Dalam surah ini, ayat 69 menyatakan bahawa “Daripada perut lebah itu keluar minuman (madu) yang pelbagai jenis warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia”. Allah menyuruh hamba-hamba-Nya memperhatikan dan mengambil pengajaran daripada setiap ciptaan-Nya. Antara pengajaran yang boleh kita sampaikan kepada anak-anak ialah bagaimana lebah mencari rezeki yang baik dan halal daripada bunga, bekerjasama dengan baik dalam pasukan dan bersifat amanah dalam tugasan yang dipertanggungjawabkan.

Lebah merupakan serangga yang amat unik dari segi cara hidupnya. Ia merupakan serangga sosial seperti semut dan anai-anai.  Sesebuah koloni terdiri daripada seekor ratu lebah yang menghasilkan telur, beribu-ribu lebah jantan dan lebah pekerja. Lebah pekerja yang kesemuanya betina ini melaksanakan kerja-kerja seperti membuat sarang, mencari dan mengumpulkan nektar daripada bunga, menghasilkan madu, menjaga dan memberi makan kepada anak lebah dan mempertahankan koloni daripada serangan luar.

Di Malaysia, spesies lebah yang dikenali kerana penghasilan madunya ialah Apis mellifera, Apis dorsata, dan Apis cerana. Lebah kelulut (stingless bee) juga terkenal disebabkan oleh madunya. Saiz badan dan kebolehan untuk terbang adalah bergantung kepada spesies. Lebah yang lebih besar mempunyai kekuatan untuk terbang tinggi dan membuat sarang di pohon yang tinggi seperti pokok tualang. Madu yang diperolehi daripada sarang yang terdapat di pokok ini digelar sebagai madu tualang.

Madu telah lama digunakan dalam masyarakat kita sebagai makanan tambahan dan perubatan tradisional kerana ia merupakan sumber tenaga dan kaya dengan antioksidan. Ia digunakan untuk mengubati batuk, cirit-birit dan disapu pada luka ringan di kulit. Seelok-eloknya dapatkan nasihat daripada doktor perubatan yang bertauliah jika ingin menggunakan madu sebagai rawatan khusus terutamanya untuk pesakit kronik, warga emas dan kanak-kanak.

Kita dianjurkan untuk mengambil madu sebagai salah satu sunnah Nabi Muhammad SAW yang boleh kita amalkan. Bagaimana untuk memastikan madu yang kita beli atau makan merupakan madu asli? Ada petua yang mengatakan  bahawa madu asli tidak melekit apabila digosok antara jari. Madu tiruan pula melekit apabila digosok dengan jari. Petua yang lain mengatakan bahawa madu asli akan terkumpul di bahagian bawah apabila dituang ke dalam bekas berisi air. Ia tidak mudah dilarutkan dalam air.

Bagaimana jika anak anda terkena sengatan lebah atau serangga berbisa? Langkah pertama ialah jangan panik dan perlu bertenang. Seterusnya, ambil langkah-langkah berikut:

  1. Tanggalkan bahagian penyengat (sekiranya ada) dengan menolaknya menggunakan objek nipis dan keras seperti kad kredit. Ambil penyengat dengan tisu. Kemudian, buang. Jangan picit penyengat kerana lebih banyak bisa akan masuk ke dalam kulit.
  2. Cuci bersih bahagian yang disengat menggunakan sabun dan air.
  3. Tuam dengan ais atau beg ais.
  4. Losyen calamine boleh digunakan untuk mengurangkan rasa gatal.
  5. Ubat penahan sakit seperti Panadol boleh diambil dengan dos yang bersesuaian.
  6. Jika bengkak atau sakit semakin teruk, dapatkan rawatan di klinik atau hospital.

Perhatian: Jika anak anda mengalami gejala-gejala seperti bengkak di bahagian badan selain daripada tempat sengatan, loya dan muntah, mengalami kesukaran bernafas atau pengsan, segeralah mendapatkan rawatan kecemasan di hospital. Gejala-gejala tersebut menunjukkan bahawa kanak-kanak yang terkena sengatan itu mengalami alahan (allergy) kepada bisa serangga tersebut yang boleh menyebabkan kematian jika tidak segera dirawat.