Apakah sebenarnya “Pendidikan”?

497

Apakah sebenarnya “pendidikan” kepada seorang manusia? Saya sering tertanya-tanya … dan saya teringat akan kata-kata Ouk Vanday rakyat jati Kemboja dan Pengasas Coconut School di Kirirom, Kemboja:

Your brain has ideas and your heart has power…when you combine both it becomes art and it’s beautiful. When your heart is clean and clear, your work is also clean and this is important so that children will appreciate their life more.”  

 Ayat-ayat yang ringkas tetapi mendalam.

Jadi apakah matlamat sebenarnya “Pendidikan” kepada diri manusia? Apakah hala tuju kita? Dunia ini boleh hancur akibat pendidikan yang tidak berpaksikan kepada falsafah dan nilai-nilai murni.

Saya amat kagum dengan usaha pelbagai pihak memberi bantuan dan sumbangan kepada madrasah-madrasah di Kemboja, yang mana kerajaan dan rakyat Malaysia merupakan penyumbang utama. Namun, menurut pandangan peribadi saya, selain pendidikan agama dan hafazan al-Quran, ada baiknya anak-anak ini diberi pendedahan tentang kehidupan itu sendiri seawal persekolahan mereka. Bukan peperiksaan atau ujian sahaja yang menentukan tahap kefahaman mereka tetapi bagaimanakah mereka dapat mencari keseimbangan antara ilmu agama, akademik dengan kehidupan yang sebenar? Umpamanya memberi perhatian terhadap kebersihan alam sekitar terutamanya berkenaan pembuangan sampah, pengurusan tanah-tanah terbiar serta kebersihan kawasan rumah, kerana itu juga memberi perspektif berbeza tentang tahap kefahaman dan sikap kita terhadap kehidupan dan pengurusan diri.

Bacaan Berkaitan : Pendidikan Di Tadika : Guru Dan Ibu Bapa Perlu Berganding Bahu

Coconut School di Kemboja dibina untuk memberi pendidikan secara percuma supaya semua anak-anak mendapat peluang belajar tanpa mengambil kira latar belakang mereka. Di Malaysia pula, “Pendidikan” adalah “Perniagaan”, malah

difrancaiskan untuk memberi lebih keuntungan kepada “jenama-jenama” yang tumbuh seperti cendawan; yang menawarkan pelbagai pakej “perniagaan” yang kononnya untuk meningkatkan kualiti pendidikan.

Benarkah begitu? Institusi pendidikan bukan kedai runcit 24 jam yang boleh dibuka oleh sesiapa dan di mana-mana sahaja. Institusi pendidikan ada “Roh”nya dalam pembangunan sahsiah manusia.

Terbaru saya dihubungi oleh seorang bakal “pengusaha” sebuah institusi pendidikan yang kononnya ingin membantu golongan kurang berkemampuan mendapat pendidikan “berkualiti” tetapi “pakej” tawarannya adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal! Pulanglah ke pangkal jalan, pendidikan seharusnya percuma (dengan sokongan kerajaan) dan yang terlibat hendaklah mempunyai ilmu dan kelayakan, bukan sebarang “Tom, Dick and Harry.” Perkara ini selalu saya ulangi, minat dan wang sahaja belum cukup untuk kita terjun ke dalam bidang ini.  Pendidikan bukan sekadar berapa banyak keuntungan yang diraih … ia adalah bagaimana pendidikan dapat menghasilkan insan yang kamil atau sempurna.

Sekiranya diberi peluang, saya ingin berbincang dengan semua pengusaha terutamanya pengusaha hibrid yang semakin bertambah dan menjadi taruhan kepada ibu bapa semasa memilih taska atau tadika.

Kepada pihak berkuasa, jengok-jengoklah institusi yang anda keluarkan lesen perakuan, pastikan ianya benar-benar menepati aspirasi “Falsafah Pendidikan Kebangsaan” seperti yang tertera di bawah:

“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

Sumber : Facebook Jameyah Sheriff