Galakkan Anak untuk Bersenam

5893

Tafsiran bersenam bagi orang dewasa membawa makna yang berbeza dengan kanak-kanak. Bagi sesetengah golongan dewasa, mereka beranggapan bahawa senaman banyak melibatkan kos iaitu berada di gimnasium, mengangkat berat dan sebagainya.

Berbeza pula dengan tafsiran senaman bagi kanak-kanak. Senaman bermakna bermain dan tubuh badan mereka berada di dalam keadaan yang bergerak aktif.

Mereka bersenam semasa melakukan aktiviti sukan, ketika berehat malah dalam perjalanan pulang dari sekolah. Setiap satu darinya adalah senaman.

Kebanyakan kanak-kanak menghabiskan waktu rehat dengan bermain. Imbas semula kenangan sewaktu bersekolah, bermain teng-teng, atau lebih popular permainan berlari antara tiang. Ini merupakan antara aktiviti yang melatih daya tahan tubuh badan dan menguatkan otot.

Kanak-kanak yang aktif juga dapat mengurangkan risiko obesiti yang semakin menular bagi kanak-kanak di Malaysia. Malah, aktiviti senaman juga dapat mengawal tekanan darah dan tahap kolesterol dalam darah. Bukan setakat kesihatan jasmani sahaja, kanak-kanak yang memiliki tubuh badan yang sihat dan mendapat tidur yang mencukupi, mampu mengawal tekanan perasaan dan mempunyai minda yang lebih cergas dan segar sewaktu belajar.

Terdapat tiga elemen kecergasan yang perlu ditegaskan kepada seseorang kanak-kanak. Ketahanan fizikal, kekuatan fizikal, dan kelenturan tubuh. Setiap satunya berfungsi dan memiliki kemampuan yang tersendiri.

Kanak-kanak akan melatih daya tahan fizikal mereka dengan mudah. Sebagai contoh, bermain kejar-kejar. Latihan untuk melatih kekuatan pula dapat dibuat dengan bermain monkey bar di padang permainan. Bagi melatih kelenturan tubuh pula adalah yang paling mudah, Anak itu boleh dilatih untuk mengikat tali kasutnya sendiri di mana dia harus membongkok. Di situ kelenturan tubuh si manja dapat dilatih.

Ketahanan fizikal adalah aktiviti yang akan menjadikan kadar degupan jantung anak-anak menjadi lebih pantas. Biasanya boleh dilakukan dengan pelbagai aktiviti aerobik seperti bermain bola sepak, berenang, berlari dan bermain badminton. Jika aktiviti-aktiviti ini dilakukan dengan kerap, kemampuan tubuh badan untuk memproses oksigen ke seluruh anggota tubuh akan bertambah baik malah jantung juga akan bertambah kuat.

Untuk melatih kekuatan tubuh badan, kanak-kanak tidak digalakkan untuk mengangkat berat bagi mengelakkan kecederaan. Tidak perlu sebarang latihan formal dan membebankan kewangan anda untuk mendapat jurulatih khusus. Anak anda bukannya ingin menjadi penggusti profesional, mereka cuma memerlukan latihan asas seperti tekan tubi, bangkit tubi, dan pelbagai aktiviti yang boleh menguatkan ototnya. Dengan meminta anak anda menyidai pakaian di ampaian juga boleh menguatkan otot tangan mereka.

Kelenturan pula boleh didapati dengan senaman regangan. Ia memudahkan otot dan sendi untuk diputar dan digerakkan dengan jangkauan maksima. Tanpa mengetahuinya, kanak-kanak telah banyak melakukan senaman regangan. Sebagai contoh, kanak-kanak yang mencapai permainan di bawah sofa berupaya meregangkan tangannya pada tahap yang maksima.

Kesimpulannya, senaman boleh dilakukan di mana sahaja anak-anak anda berada. Ia adalah sangat baik jika anak anda sentiasa bergerak aktif melakukan pelbagai jenis aktiviti fizikal.