Umumnya, kanak-kanak yang menunjukkan gejala kedegilan adalah reaksi normal dalam perkembangan kanak-kanak. Dari sudut psikologi, kanak-kanak menjadi degil disebabkan kegagalan menerima arahan yang tepat dan tidak memberi reaksi positif terhadap arahan ibu bapa semasa usia kecil lagi. Natijahnya, mereka akan terus membesar sebagai anak yang degil dan berkemungkinan memberi kesan negatif kepada individu di sekelilingnya.

Tampuk masalahnya ialah bagaimana anak anda dididik? Cuba anda fikirkan semula memori-memori lama ketika anak anda membawakan minuman kepada anda atau ketika mereka menyambut anda pulang dari pejabat. Apakah reaksi anda? Adakah  anda hanya mengangguk dan meneguk air yang dihulurnya tanpa memandang anak anda?

Jika tiada kata-kata pujian yang diberi, mereka akhirnya tidak terdorong untuk melakukan kebaikan. Mungkin kerana mereka merasakan tiada siapa yang mempedulikan atau adakah kebaikan itu bererti untuk dilakukan? “Melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Begitu juga dengan perkembangan kelakuan seorang kanak-kanak. Semakin mereka membesar, semakin sukar pula mereka menerima nasihat untuk berubah.

Komunikasi merupakan aspek terpenting dalam menangani konflik kedegilan. Ibu bapa seharusnya sentiasa mendengar sebarang keluhan daripada anak-anak. Contohnya, jika anak anda kerap mengeluh tentang dirinya yang sukar menghafal bacaan solat. Jangan sesekali anda menengkingnya mahupun membiarkannya bersendirian. Sebaiknya, anda dengari masalah mereka, dan beri motivasi yang sewajarnya. Motivasi merupakan dorongan atau semangat yang kuat untuk membantu seseorang. Berikan kata-kata pujian terhadap segala perkembangan yang mereka berjaya lakukan.

Dewasa ini, ibu bapa terlalu berharap anak anda menjadi lebih baik berbanding sesiapa sahaja. Fenomena ‘putting higher expectation’ terhadap anak seringkali dapat dilihat dalam diri ibu bapa zaman kini. Ia bagus untuk peningkatan anak namun jangan pula anda meletakkan harapan yang tinggi menggunung buat si anak. Jangan sesekali membandingkan anak anda. Biarpun niat anda untuk memberi suntikan motivasi, namun anak anda mungkin berasa bahawa dirinya bukan yang terbaik.

Sekalipun anak anda telah melakukan sesuatu kesalahan, anda perlu mencari langkah rasional dan sesuai untuk diterapkan ke atas dirinya. Oleh itu, kita perlu memikirkan kaedah yang bersesuaian dan diterima oleh semua pihak pada hari ini. Mungkin terlalu banyak anggapan bahawa hukuman rotan itu terlalu kasar dan tidak patut digunapakai. Ini kerana kaedah ini sering disalahgunakan sehingga menimbulkan kesan fizikal. Oleh itu, ibu bapa wajar mengelak daripada melakukan sebarang hukuman fizikal ke atas diri anak-anak anda.

Dalam sesebuah institusi kekeluargaan, sikap percaya-mempercayai merupakan inti pati penting dalam membentuk keharmonian. Begitulah juga jika anda bersama anak-anak anda. Sebaik sahaja anak anda mampu berkomunikasi, mereka mula menerima arahan dan dijanjikan sesuatu apabila mereka berkelakuan baik. Di sinilah kepercayaan seseorang kanak-kanak itu terbentuk. Jika kepercayaan itu bersifat dua arah iaitu di antara ibu bapa dan anak-anak, ini sudah menjadi asas yang baik.

Biarpun anak anda boleh menyalahgunakan kepercayaan anda sepanjang mereka membesar tetapi anda juga perlu bersedia untuk menghadapinya. Di sinilah rasional didikan agama dan nilai-nilai murni yang berfungsi sebagai tunjang kehidupan mereka. Jangan pula anda hilang kepercayaan terhadap diri anak-anak anda. Didiklah mereka dan tunjukkan jalan yang lurus lagi benar.