Kemampuan Anak Vs Kehendak Ibu Bapa

2500

Melangkah ke alam persekolahan merupakan satu pengalaman baharu yang amat bermakna dalam kehidupan kanak-kanak. Berdasarkan pengalaman, biasanya kanak-kanak akan menunjukkan dua reaksi. Pertama, gembira dan tidak sabar-sabar untuk memulakan sesi pembelajaran. Kedua, menangis sepanjang hari dan tidak sabar-sabar menunggu waktu tamat untuk pulang ke rumah. Apa pun reaksi yang ditunjukkan, pastinya tetap memerlukan sokongan keluarga terutama ibu bapa bagi meyakinkan mereka bahawa sekolah adalah tempat yang terbaik untuk mereka mula mengenal dunia luar.

Saya tidak berhasrat untuk membincangkan tentang pengalaman pertama si kecil. Sebaliknya saya ingin mengajak pembaca untuk bersama-sama memikirkan mengenai kemampuan pembelajaran anak-anak di sekolah yang kebanyakannya tidak mencapai kehendak sebenar ibu bapa. Dalam erti kata lain, matlamat yang diletakkan oleh ibu bapa kadangkala terlalu tinggi dan tidak berupaya untuk dicapai oleh anak-anak dalam peringkat umur tertentu. Bagaimanakah ini berlaku?

KENALI ANAK ANDA

Saya kira perkara pokoknya, ibu bapa perlu mengenali secara keseluruhan siapa mereka yang sebenarnya. Sejauh mana kebolehan yang ditunjukkan dan mampu dicapai oleh anak-anak diperingkatkan umur prasekolah? Tahap pertumbuhan kanak-kanak secara keseluruhannya tidak sama, tidak kira dari segi fizikal atau mental.

Saya tidak menafikan bahawa kanak-kanak sememangnya dilahirkan dengan keistimewaan, kelebihan, bakat atau anugerah semula jadi. Namun, semua itu banyak cabangnya. Tidak semua anak dilahirkan dengan kepintaran semula jadi. Malah, belum ada kajian yang dapat membuktikan, bahawa setiap manusia yang dilahirkan ke dunia ini berjaya mewarisi kepintaran atau kekurangan ibu bapa mereka dari segi intelektual. Sejarah membuktikan bahawa penoreh getah yang tidak pernah bersekolah dan buta huruf mampu mempunyai anak yang cemerlang dalam akademik dan berjaya menjawat jawatan tinggi dalam pekerjaan.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengenal pasti, kemampuan sebenar anak mereka dari segi intelektual. Jangan letakkan harapan terlalu tinggi terhadap anak yang baru belajar untuk menerima pendidikan awal separa formal. Anak-anak di awal usia empat hingga lima tahun sudah digesa untuk serius dalam bidang akademik sedangkan rata-rata mereka baru sahaja mengenali sekolah dan cuba menyesuaikan diri sebagai seorang murid.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, ada ibu bapa yang tidak berpuas hati apabila anak mereka yang berusia awal lima tahun masih tidak boleh membaca. Mereka mempersoalkan cara atau kaedah yang digunakan. Cukup sukar untuk saya menerangkan dilema yang sentiasa menghantui hidup para guru (terutamanya) tadika. Permasalahan ini juga sering menjadi topik perbincangan kala bertemu rakan-rakan seperjuangan. Hendak dikatakan sistem atau kaedah tidak betul, kenapa ada antara anak didik yang boleh membaca suku kata di akhir usia empat tahun? Malah ada yang boleh membaca dengan lancar ketika berumur lima tahun. Sebenarnya, inilah bukti bahawa kanak-kanak memang berbeza dari segi kemampuan tetapi pasti mempunyai kebolehan dalam bidang lain.

Bagi kanak-kanak yang dianugerahkan kepintaran semula jadi, itu adalah bonus bagi mereka. Biasanya mereka yang mampu mencapai sasaran yang diletakkan oleh ibu bapa tanpa mengalami kesukaran atau berasa tertekan. Asal sahaja ibu bapa pandai mengatur strategi dan tidak terlalu mendesak, Insya-Allah mereka akan berjaya menggenggam kejayaan dengan tidak melalui jalan yang terlalu sukar. Tetapi cuba bayangkan, seorang anak kecil yang kurang bernasib baik dan mempunyai tahap kepintaran yang sederhana telah dipaksa menerima terlalu banyak input di awal usia. Apabila sasaran tidak tercapai, anak-anak dipersalahkan. Lebih malang lagi jika guru di sekolah dijatuhkan hukuman tanpa melihat kepada bukti dan mendengar hujah-hujah daripada saksi yang terlibat terlebih dahulu.

Apabila kemampuan anak telah dikenal pasti, barulah kaedah-kaedah yang sesuai boleh dicari dan diguna pakai. Jangan cari dan tetapkan kaedah terlebih dahulu sebelum anda mengenali potensi anak secara keseluruhan. Inilah kesilapan yang sering dilakukan oleh ibu bapa. Kerap kali mereka mengenal pasti kaedah yang diinginkan terlebih dahulu, selepas itu memastikan anak mengikut kaedah yang mereka pilih tanpa mengambil kira kemampuan sebenar si anak. Apabila hasil yang diperoleh tidak memuaskan, mulalah mereka menyalahkan institusi yang terbabit. Anak yang kurang bernasib baik (dari segi kepintaran) tetapi jika diasuh dan dididik dengan betul, tidak mustahil suatu hari nanti mereka mampu mencapai kecemerlangan yang lebih besar berbanding anak yang dilahirkan dengan kepintaran semula jadi.

MENIKMATI ZAMAN KANAK-KANAK

Saya kira jika kita kenang diri kita di awal usia tiga tahun hingga lima tahun, tidak ramai yang mampu menceritakan kembali apa yang mereka lalui. Ini kerana pada masa itu, kita belum cukup bersedia untuk serius dalam apa sahaja pekerjaan atau perkara yang kita lakukan. Yang mungkin dapat kita imbas kembali sedikit sebanyak hanyalah siapa teman sepermainan, apa yang sering kita mainkan dan perkara-perkara yang menyeronokkan sahaja. Itulah dunia sebenar kanak-kanak. Bermain, makan, tidur dan ke sekolah hanya sebagai syarat yang ditetapkan oleh ibu bapa jika berkehendakkan sesuatu. Jika demikian, bilakah mereka bersedia untuk belajar?

Sebenarnya, kanak-kanak mula bersedia untuk menerima pendidikan separa formal di awal usia tiga tahun. Tetapi, bukan semua cabang pendidikan sesuai untuk kanak-kanak dan perlu berdasarkan sukatan pelajaran tertentu sahaja. Lain halnya jika kanak-kanak tersebut memiliki kepintaran sejak dilahirkan. Mereka dapat menerima segala input yang diberikan tanpa halangan yang sukar. Bagaimanapun, kanak-kanak tidak boleh dipisahkan dengan “dunia sebenar” mereka. Hak mereka untuk menikmati zaman kanak-kanak secara sepatutnya tidak harus diperlekehkan semata-mata kerana ingin memenuhi kehendak ibu bapa yang kadangkala tidak terjangkau oleh akal si kecil. Jika hal ini benar-benar berlaku, dapatkah kanak-kanak terbabit mencapai kecemerlangan yang maksimum walaupun sebenarnya mereka memiliki peluang tersebut?

EQ ATAU IQ?

Pembaca tentu maklum beza antara IQ (intellectual quotient) dengan EQ (emotional quotient). IQ memfokuskan kepada kepintaran akal, manakala EQ pula adalah berkait dengan kestabilan emosi secara keseluruhan. Kebanyakan kita menyedari dan menerima betapa pentingnya IQ. Tetapi beberapa ramai daripada kita yang mengakui bahawa EQ juga merupakan satu elemen yang perlu dititikberatkan dan sebenarnya memainkan peranan yang lebih penting berbanding IQ?

Saya suka mendengar hujah yang disampaikan oleh pakar-pakar dalam bidang ini yang menyatakan bahawa untuk mendapatkan IQ yang baik, seseorang itu perlu mempunyai EQ yang stabil dan kukuh. Dalam erti kata lain, EQ merupakan penentu atau penggerak kepada bentuk-bentuk kepintaran yang lain. Bayangkan jika emosi tidak stabil, bagaimanakah kita atau kanak-kanak yang kita fokuskan dalam perbincangan ini dapat menerima sistem pembelajaran dengan berkesan?

Oleh itu, sebelum ibu bapa berusaha dan merancang untuk membolehkan anak-anak mereka mencapai IQ yang diperlukan, mereka terlebih dahulu perlu mencari jalan bagi memastikan EQ anak mereka berada dalam keadaan yang baik, stabil dan cukup kukuh untuk menggerakkan bentuk-bentuk kepintaran yang lain. Maksimumkan terlebih dahulu kemampuan EQ si anak sebelum memandu mereka ke arah jalan bagi mencapai kehendak anda sebagai ibu bapa.

TERIMA HAKIKAT

Dalam hal ini, saya kira cara yang terbaik supaya ibu bapa tidak kecewa dan tidak merosakkan emosi anak-anak adalah dengan menerima realiti yang telah ada. Jika anda sememangnya menyedari kekurangan yang ada pada si anak, jangan paksa mereka untuk mengikut acuan yang telah anda tetapkan tanpa mengambil kira kemampuan, emosi dan tekanan yang mungkin dialaminya sepanjang tempoh tersebut. Sebaliknya, rangsang mereka dengan cara atau kaedah lain yang lebih sesuai bagi menyiapkan mereka menghadapi halangan-halangan mendatang yang pastinya lebih besar dan mencabar.

Jika perlu, anda boleh mendapatkan pandangan pakar-pakar yang berkaitan untuk mendapatkan maklumat dan mengetahui cara terbaik mendidik anak agar suatu hari nanti mereka dapat mencapai tahap potensi diri yang sebenar, sekali gus memenuhi kehendak ibu bapa. Peribahasa ada mengatakan, belakang parang kalau diasah setiap hari, lama-lama akan menjadi tajam juga.

APAKAH SEBENARNYA YANG DIINGINKAN IBU BAPA?

Dalam perbincangan dengan beberapa orang ibu bapa terlibat, saya memahami apa sebenarnya yang mereka harapkan daripada anak masing-masing. Dengan perkembangan teknologi dunia yang semakin canggih dan negara yang pesat membangun, semua orang perlu berlumba-lumba memperbaiki dan meningkatkan tahap kualiti kehidupan masing-masing. Sebagai ibu bapa, mereka tidak terlepas rasa takut dan bimbang dengan kehidupan yang bakal dilalui oleh anak-anak dalam 10 atau 15 tahun akan datang. Untuk itu, mereka cuba mengatur sesuatu bagi mempersiapkan anak mereka untuk berhadapan dengan segala kemungkinan. Matlamat mereka juga betul sebenarnya tetapi kadangkala cara yang mereka gunakan kurang tepat.

Saya puji keprihatinan ibu bapa yang amat bertanggungjawab dan tidak mengabaikan amanah yang diberikan Allah. Namun, kenyataan yang ada di hadapan mata perlu diterima. Tidak salah untuk meletakkan sasaran yang perlu dicapai tetapi seperti yang saya katakan tadi, kita perlu mengenali anak secara keseluruhan. Jangan letakkan sasaran yang terlalu tinggi untuk dicapai oleh anak yang mempunyai tahap kebolehan yang sederhana. Sebaliknya, rangsang mereka dengan cara betul agar hasil yang akan dinikmati kelak tidak mengecewakan.

Namun, sebagai ibu bapa, anda berhak menentukan apa yang dirasakan terbaik untuk mereka. Satu pesanan saya, apa salahnya jika anda halusi sekali lagi hakikat dunia pendidikan pra formal yang sebenar sebelum menetapkan apa-apa matlamat atau sasaran yang kadangkala amat sukar untuk dipenuhi. Kenalilah diri dan kebolehan anak sebelum menetapkan jalan yang harus mereka ikuti. Sebagai golongan pendidik, kami sentiasa cuba melakukan yang terbaik kepada generasi baharu agar mereka dapat melalui satu tahap pendidikan yang bermakna dan akan diingati sepanjang kehidupan. Sokonglah warga pendidik demi membantu merancang sistem yang terbaik untuk kecemerlangan anak-anak secara keseluruhan.

Bacaan Berkaitan : Pendidikan Di Tadika: Guru Dan Ibu Bapa Perlu Berganding Bahu