Kesan dan Kenali Masalah Pendengaran Anak Seawal Mungkin!

3431

Kita mungkin pernah mendengar orang berkata bahawa sekiranya kanak-kanak itu mempunyai masalah pendengaran, secara automatik kanak-kanak tersebut akan pekak dan susah untuk berkomunikasi pada masa hadapan. Persoalannya, adakah kenyataan ini betul? Sebelum kita pergi lebih lanjut, eloklah sekiranya kita mengkaji dengan lebih dalam terhadap masalah pendengaran dan perkara yang berhubung kait dengannya.

Jenis Masalah Pendengaran

Masalah pendengaran adalah pengurangan sensitiviti auditori terhadap bunyi di mana bunyi perlu dikuatkan lebih daripada biasa untuk diterima oleh pendengar. Masalah pendengaran boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu masalah pendengaran jenis konduktif, sensorineural dan campuran.

 Konduktif
  • Menyebabkan bunyi tidak dapat dibawa kepada organ pendengaran (koklea) yang disebabkan oleh masalah di bahagian telinga luar dan telinga tengah.
  • Boleh bersifat sementara apabila masalah tersebut diatasi dengan rawatan.
  • Boleh bersifat kekal apabila masalah tersebut dibiarkan tanpa rawatan atau dibiarkan berulang kali berlaku tanpa rawatan.
Sensorineural
  • Menyebabkan bunyi yang kedengaran lebih perlahan dan tidak jelas kerana saraf atau sel neural dalam organ pendengaran (koklea) rosak atau tidak boleh berfungsi dengan baik.
  • Tidak boleh dirawat dengan ubat atau pembedahan.
  • Alat bantu pendengaran diperlukan agar mereka dapat dibantu untuk mendengar.
Campuran
  • Mendapat kedua-dua jenis masalah pendengaran jenis konduktif dan sensorineural.
  • Memerlukan alat bantu pendengaran bagi membantu mereka

(Sumber: www.asha.org)

Tahap Masalah Pendengaran

Masalah pendengaran pula boleh dibahagikan kepada empat tahap seperti berikut:

Tahap Masalah Strategi bertutur
Normal
  • Mampu mendengar bunyi yang sangat perlahan.
  • Jaga pendengaran anda dan anak anda sebaiknya.
Sedikit
  • Sukar untuk mendengar perbualan yang perlahan dalam suasana yang senyap.
  • Sukar untuk mendengar perbualan biasa dalam suasana yang bising.
  • Elakkan mengadakan perbualan di suasana yang bising.
  • Kurangkan jarak antara anda dengan anak.
  • Pastikan muka anda menghala ke arah anak.
  • Pastikan mulut anda tidak terhalang ketika mengadakan perbualan.
  • Adakan perbualan dalam suasana yang cerah bagi memastikan anak boleh melihat pergerakan bibir.
Sederhana
  • Sukar untuk mendengar perbualan dalam keadaan yang senyap.
  • Menghadapi masalah untuk mendengar perbualan dalam suasana yang bising.
Teruk
  • Menghadapi masalah untuk mendengar perbualan dalam suasana yang senyap.
  • Hanya mampu mendengar bunyi kuat seperti hon kereta.
Sangat teruk
  • Tidak mampu untuk mendengar perbualan .
  • Hanya mampu mendengar bunyi yang sangat kuat seperti siren ambulan dalam jarak yang dekat.

(Sumber: www.ucsfhealth.org dan www.hear-it.org)

Jenis dan tahap masalah pendengaran seperti yang dinyatakan di atas merupakan perkara penting yang perlu difahami bagi memastikan kita kenal dan tahu apakah situasi sebenar yang mereka hadapi. Kesimpulannya, tidak semua masalah pendengaran akan menyebabkan seseorang kanak-kanak yang bermasalah pendengaran itu tidak boleh mendengar langsung. Berjumpalah dengan audiologis bagi mendapatkan ujian pendengaran untuk mengenali masalah pendengaran anak anda dengan lebih lanjut dan apakah tindakan yang perlu dilakukan. Perlu diingat bahawa lebih AWAL masalah pendengaran dikesan, lebih besar impak positif dari aspek komunikasi kepada kanak-kanak bermasalah pendengaran tersebut.

Pegawai Pemulihan Perubatan Pendengaran Institut Telinga, Pendengaran & Pertuturan (Institute-HEARS) Universiti Kebangsaan Malaysia Institut Telinga, Pendengaran dan Pertuturan (Institute-HEARS) dengan tajaan Yayasan Sime Darby (YSD) akan mengadakan program kesedaran, bengkel untuk ibu bapa yang mempunyai masalah pendengaran, dan program latihan bagi profesional yang terlibat dengan kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran. Program ini akan diadakan di seluruh Semenanjung Malaysia. Hubungi kami untuk maklumat lanjut: Telefon: 03-92895132 (pejabat)