Memupuk Sifat Syukur dalam Diri Anak

3668

Setiap manusia berpeluang menjadi dermawan walaupun miskin hidupnya. Bagaimana pula hendak memberi sedangkan kehidupan seseorang itu miskin? Si miskin yang berasa cukup dengan kehidupannya akan selalu memberi. Dalam diri mereka terletak kepercayaan yang tinggi bahawa rezeki Allah SWT itu luas. Pernah sekali di masjid, anak kepada sahabat saya mengajukan soalan kepada sahabat saya, “Ayah, kita miskin ke ayah?” Sahabat saya pada awalnya berdiam diri. Dia kemudian menyerahkan satu ringgit kepada anaknya untuk dimasukkan ke tabung masjid.

“Tak semua benda kita boleh dapat tapi keperluan kita cukup.” Begitulah kata sahabat saya kepada anaknya, Ikhwan. Kehidupan sahabat saya memang susah tetapi tetap diajar anaknya dengan rasa syukur dan bersederhana. Anak-anak perlu lekas diajar meletakkan sempadan antara kehendak dan kemampuan supaya mudah untuk mereka berlapang dada. Seperti anak sahabat saya, dia kurang meminta-minta kerana tahu betapa susahnya mencari wang untuk mengatur hidup.

Sahabat saya memilih untuk menanamkan konsep kasih sayang dalam kekeluargaan. Kasih sayang yang cukup tinggi, lebih tinggi daripada wang ringgit. Wang seringgit yang didermakan tadi jika dikumpulkan, boleh digunakan untuk membeli makanan tetapi sahabat saya menggunakan wang sekecil itu untuk memperkayakan hati anaknya selama ia mengingati. Duit adalah nilai yang boleh membeli macam-macam perkara, bukan hanya sesuatu yang bersifat material.

Anak-anak perlu selalu didorong dengan rasa syukur. Rezeki yang ada di tangan boleh digunakan ke jalan yang lebih baik. Itu tanda seseorang berterima kasih atas nikmat kurniaan Allah SWT. Ibu bapa perlu bercerita tentang kesusahan hidup orang lain yang tidak mereka rasa. Selalulah mengingatkan anak-anak tentang kesusahan dan masalah yang dihadapi dalam hidup ini adalah sebahagian daripada ujian yang dibebankan ke atas hamba-hamba-Nya yang yakin dengan perancangan Allah SWT. Melalui cara itu, anak-anak akan diasuh dengan perasaan berkasih sayang sesama insan, saling bantu-membantu untuk memudahkan urusan orang lain.

Anak-anak yang bersedekah dengan tidak diiringi kecurigaan akan membesar dengan berasa syukur atas rahmat Allah SWT. Tidak ada kekhuatiran dan kesedihan dalam hati mereka ketika mereka ditimpa ujian miskin. Seperti sahabat saya, walaupun tidak dilimpahkan harta kemewahan dalam hidupnya, dia tetap bersyukur atas rezeki-rezeki lain. Antaranya termasuklah nikmat kesihatan, tenaga, anak-anak yang soleh dan bijaksana, kasih sayang serta ketenangan hidup.

Bukan semua orang memiliki rezeki yang diperkatakan ini. Ada individu yang hidupnya mewah tetapi masa lapangnya disempitkan. Ada juga individu yang memiliki masa lapang yang banyak tetapi ditarik pula nikmat kesihatan. Baginya, kehidupan sebegitu sudah cukup bermakna, ada keluarga yang bahagia, cukup makan dan pakaian. Sebagai seorang sahabat, saya doakan semoga rezekinya dilipatgandakan oleh Allah SWT.

Zahid Zaki
Muhammad Zahid Bin Mohamad Zaki merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Penulisan Kreatif, Aswara. Beliau pernah menerima anugerah Graduan Bitara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pelajar Terbaik Diploma Penulisan Kreatif Aswara (2014).