Nyamuk: Bukan Sekadar Pembawa Penyakit

4593
mosquito sucking blood

Tahukah anda apakah serangga yang pertama disebut di dalam al-Quran? Jawapannya ialah nyamuk yang disebutkan dalam ayat ke-26, surah al-Baqarah. Dalam bahasa Arab, nyamuk disebut sebagai ‘al-ba’udhoh’. Maha Suci Allah yang menciptakan sekecil-kecil serangga seperti nyamuk dan Dia tidak malu menjadikannya sebagai perumpamaan. Kerana hanya Dia yang mampu mencipta segala apa yang ada di dunia ini. Manusia sekali-kali tidak akan dapat mencipta walaupun seekor nyamuk.

Nyamuk mempunyai empat peringkat dalam kitaran hidupnya iaitu telur, larva (atau dipanggil jentik-jentik), pupa dan dewasa. Daripada peringkat telur, masa yang diambil untuk menjadi dewasa ialah 7 hingga 10 hari. Seekor nyamuk dewasa boleh hidup sehingga satu bulan.

Seringkali terpampang di dada akhbar, nyamuk Aedes dikaitkan dengan penyakit seperti denggi dan Zika. Nyamuk juga dikaitkan dengan gigitan yang menyebabkan kegatalan dan gangguan ketika tidur. Pernahkah anda mendengar cerita tentang Raja Namrud dan nyamuk? Allah menguji kesabaran manusia melalui perantaraan makhluk yang kecil ini.

Berikut ialah tip-tip untuk mencegah gigitan nyamuk:

  1. Setiap minggu, periksa kawasan dalam dan luar rumah sekiranya terdapat bekas terbiar atau tumbuhan yang boleh menakung air. Air yang sedikit di dalam penutup botol air mineral mampu menjadi tempat pembiakan nyamuk.
  1. Setiap minggu, basuh dan gosok permukaan bekas yang menampung air seperti kolah mandi, tangki air, pasu bunga dan sebagainya. Ini adalah kerana telur nyamuk Aedes melekat pada permukaan bekas.
  1. Elakkan gigitan nyamuk dengan memakai repellent (bahan kimia penghalau nyamuk yang boleh didapati di farmasi), seluar panjang dan baju berlengan panjang. Terutamanya, apabila keluar pada waktu pagi dan beriadah pada waktu petang. Nyamuk Aedes biasanya aktif pada waktu awal pagi dan lewat petang.
  1. Guna semburan aerosol atau formulasi insektisid yang sesuai apabila perlu. Baca arahan pada label produk terlebih dahulu.
  1. Pelihara ikan pemakan jentik-jentik seperti ikan gapi.

Namun, pernahkah anda terfikir apakah manfaat yang terdapat pada nyamuk? Nyamuk merupakan salah satu serangga yang menjadi makanan bagi haiwan seperti ikan, katak dan cicak. Secara tidak langsung, ia terlibat dalam keseimbangan ekosistem. Nyamuk juga menyebarkan debunga ketika ia menghisap nektar daripada tumbuh-tumbuhan.

Berikut ialah antara keistimewaan nyamuk:

  1. Telur nyamuk Aedes tahan kepada cuaca kering dan kemarau sehingga 6 bulan.
  1. Telur nyamuk berwarna putih apabila baru dikeluarkan oleh nyamuk betina. Telur menjadi hitam apabila terdedah kepada udara.
  1. Peringkat pupa (iaitu peringkat selepas jentik-jentik) berbentuk seperti ‘koma’. Ianya aktif bergerak walaupun tidak memakan sebarang makanan.
  1. Hanya nyamuk dewasa betina yang menghisap darah manusia atau haiwan untuk menghasilkan telur. Nyamuk jantan hanya menghisap nektar tumbuh-tumbuhan. Nyamuk betina akan menghisap nektar apabila tiada sumber darah.
  1. Nyamuk yang kita lihat biasanya berwarna belang hitam dan putih atau perang. Tetapi, ada spesies nyamuk yang mempunyai sisik berwarna biru dan hijau metalik seperti nyamuk gajah (Toxorhynchites) yang langsung tidak menghisap darah.

Saintis juga sedang mengkaji bagaimana sayap nyamuk yang begitu halus dan kecil boleh menampung berat badan nyamuk yang secara relatifnya lebih berat dan besar. Mereka mendapati keunikan pada rekabentuk sayap dan cara pergerakan udara di sekeliling sayap nyamuk. Penemuan ini menjadi idea dan asas untuk rekaan berteknologi tinggi. Hebatkan?