Pupuk Semangat Kemerdekaan Di Peringkat Prasekolah

12846

Tanggal 31 bulan lapan 57
Hari yang mulia
Hari bahagia
Ia pasti menjadi sejarah …

Setiap kali menjelang bulan Ogos, lagu inilah yang paling kerap dimainkan oleh juruhebah radio di mana-mana stesen pun. Tanpa permintaan daripada pendengar pun, lagu inilah yang paling popular.

Malah kalaulah ia dipertandingkan untuk carta lagu paling popular, selama empat bulan berturut-turut saya kira lagu ini mampu menduduki tempat teratas bulan Ogos. Begitu bersemangatnya jiwa kemerdekaan barisan penggerak stesen radio dalam melaungkan dan menguar-uarkan hari yang penuh bersejarah pada seluruh rakyat Malaysia.

Namun adakah semua rakyat Malaysia bergetar nuraninya apabila lagu ini berkumandang? Atau langsung tidak memberikan apa-apa kesan kepada mereka? Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Sibuk dalam meneruskan pembangunan dan kemajuan hasil dari kemerdekaan sehingga lupa untuk menghayati sejenak siapa, bagaimana, di mana dan apa yang berlaku sebelum kemerdekaan dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman?

Bagaimana pula halnya dengan si cilik di awal dunia persekolahan? Pernahkah kita mendengar mereka bertanya, “lagu siapakah ini?” atau “apakah sejarah-sejarah yang disebut-sebutkan dalam lagu ini?” Kalau ada, Alhamdullilah. Sekurang-kurangnya mereka peka kepada lagu yang dimainkan oleh juruhebah setiap hari. Tetapi kalau tidak, sama-sama kita fikirkan nanti.

Perlukah Kemerdekaan Didedahkan Pada Kanak-Kanak?

Kali ini, saya suka untuk mengajak pembaca memikirkan, perlu atau tidak kanak-kanak mengetahui dan menghayati erti kemerdekaan sejak usia muda mereka? Dan jika ya, bagaimanakah caranya untuk kita sebagai orang dewasa menerangkan mengenai kisah kemerdekaan pada kanak-kanak, dengan perkataan atau ayat yang paling ringkas dalam gaya bersahaja tetapi menarik minat mereka? Paling penting, terjemahkan kisah kepada kanak-kanak itu sendiri dalam menerima maklumat yang agak kompleks.

Tidak saya nafikan, ada di kalangan kita yang agak bosan apabila bercakap dan belajar tentang sejarah. Bukan kerana benci atau tidak suka dengan peristiwa yang tercatat tetapi terlalu banyak yang perlu diketahui tentang sejarah di Malaysia. Sejarah dikatakan sinonim dengan tarikh penting yang mencatat seribu satu peristiwa suka dan duka. Malah disebabkan itu, ramai yang kononnya pening kepala jika belajar sejarah.

Apa pun, sebagai rakyat yang bangga dengan tanah airnya, kita wajib mempelajari sejarah. Kemerdekaan yang kita nikmati hari ini adalah hasil perjuangan leluhur kita yang telah berkorban seluruh jiwa raga meletakkan rakyat dan negara ini setaraf dengan bangsa lain di dunia. Sebagai generasi baharu, tugas kita yang paling utama adalah mengekalkan kemerdekaan. Tugas itu sebenarnya lebih berat daripada perjuangan menuntut kemerdekaan daripada tangan penjajah.

Salah satu cara mengekalkan kemerdekaan adalah dengan menyampaikan atau menceritakan pada kanak-kanak agar mereka tahu dan rasa bertuah berada di bumi Malaysia ini. Apabila melangkah ke dunia pendidikan formal, mereka pasti akan disajikan lagi dengan peristiwa menuntut kemerdekaan dan harapan kita, apabila sampai masanya, mereka dapat menceritakan peristiwa yang sama pada generasi seterusnya pula. Barulah sejarah yang ada sentiasa segar dalam ingatan mereka. Golongan yang paling penting dalam usaha ini sudah semestinya pendidik, tidak kira peringkat prasekolah, rendah, menengah atau institusi pengajian tinggi. Ini diperkukuhkan lagi dengan sokongan dan kerjasama daripada ibu bapa bagi memperjelaskan lagi proses penyampaian maklumat pada kanak-kanak.

Sambutan Hari Kemerdekaan di Tadika

Bagaimanakah  untuk menerangkan tentang kemerdekaan  kepada kanak-kanak? Saya rasa kebanyakan tadika atau taska ada membuat sambutan hari kemerdekaan bersama murid walaupun dalam suasana serba sederhana. Kebiasaannya, kegiatan utama adalah menyanyikan lagu kemerdekaan, seperti lagu yang dipopularkan Allahyarham Sudirman Haji Arshad, sambil mengibarkan bendera Jalur Gemilang. Boleh dikatakan semua kanak-kanak sukakan muzik.

Justeru, gunakanlah teori yang ada sebagai cara untuk menyampaikan maklumat pada mereka dengan berkesan. Bayangkan keriangan yang terpamer di wajah mereka semasa melakukan aktiviti tersebut.

Kempen Hari Kemerdekaan

Selain membuat sambutan kemerdekaan di sekolah, kita juga boleh menganjurkan kempen kibarkan Jalur Gemilang. Jika di peringkat kebangsaan, Jalur Gemilang dikibarkan dengan diarak sepanjang jalan utama di seluruh negeri oleh sepasukan penunggang motosikal besar. Di tadika, apa kata kita lakukannya dengan menggunakan basikal-basikal kecil yang pastinya lebih meriah dikayuh oleh anak-anak yang comel. Melalui cara ini, kita memberi peluang pada kanak-kanak untuk terbabit secara langsung dan merasai pengalaman dan keseronokkan melakukannya.

Saya sendiri pernah berbasikal mengelilingi kampus mengibarkan Jalur Gemilang bersama rakan-rakan semasa menuntut di pusat pengajian tingggi dahulu. Jika orang dewasa dapat merasai semua itu, kita harap kanak-kanak juga dapat merasainya, malah kalau boleh lebih daripada apa yang kita rasa.

Kenali Erti Merdeka Melalui Kisah Teladan

Dalam usaha mencapai kemerdekaan, ramai pahlawan dan tokoh yang telah muncul. Mereka berusaha mempertahankan maruah negara dan merampas kembali tanah air yang sekian lama terlepas di tangan penjajah. Kisah perjuangan mereka dalam menuntut kemerdekaan banyak tercatat dalam manuskrip lama dan baharu. Kisah tokoh hebat inilah yang harus dibacakan kepada kanak-kanak agar mereka dapat menyemaikan rasa bangga dan azam yang tinggi untuk mencontohi kehebatan pejuang terdahulu.

Di samping itu, boleh diselitkan serba ringkas kisah berkenaan kemerdekaan. Biarpun mereka terlalu mentah untuk memahaminya, cukuplah jika mereka fikir bahawa sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menyambut hari merdeka. Pasti tarikh 31 Ogos setiap tahun amat bermakna bagi mereka jika sambutannya sehebat dan semeriah sambutan perayaan Aidilfitri atau Aidiladha contohnya.

Pendedahan Tentang Terhadap Sejarah Negara Lebih Meluas

Pendedahan mengenai hari kemerdekaan bukan sahaja boleh dilakukan dalam bulan Ogos tetapi jika boleh disesuaikan setiap bulan, adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Bawalah kanak-kanak melawat dan melihat sendiri tempat bersejarah agar sedikit sebanyak mereka dapat mengenal tempat bersejarah melalui gambar yang dipamerkan atau melihat sendiri tempat kejadian.

Tugu Negara misalnya, mampu menarik perhatian kanak-kanak, bermula dengan pandangan pertama terhadap binaan tersebut. Saya percaya bermula dari situ, pelbagai persoalan akan dikemukakan. Ini menunjukkan mereka berminat untuk mengetahuinya dan bersedia menerima maklum balas. Kebiasaannya akal kanak-kanak seperti span. Mereka dapat menyerap masuk sesuatu maklumat dengan cepat dan membuang maklumat yang dirasakan tidak penting dengan cepat juga.

Sehubungan itu, dalam proses pembelajaran, memberi tumpuan (mendengar) adalah penting dan mampu meninggalkan kesan positif. Seterusnya ia perlu disokong dengan aktiviti membaca dan melakukan eksperimen sendiri yang lebih penting dan berkesan. Ini kerana ia banyak membantu kanak-kanak untuk lebih memahami dan merasai sendiri pengalaman supaya maklumat yang dikutip dan diserap dapat bertahan lama dalam pemikiran.

Beri peluang kepada mereka meneroka hasil peninggalan sejarah sepuas-puasnya. Lebih elok jika kita dapat menimbulkan rasa ingin tahu dalam diri mereka. Justeru, dapat memastikan adanya kesinambungan dalam penceritaan dan membuka ruang keseronokkan kepada mereka untuk menyelongkar persoalan yang lebih rumit.

Ibu Bapa Berperanan Penting Dalam Memberi Sokongan Kepada Anak-Anak

Ibu bapa sememangnya memainkan peranan yang penting dalam apa jua program dan aktiviti yang dilakukan tadika. Kerjasama dan sokongan mereka adalah pemangkin dan menjadi asas kepada kejayaan sesuatu program yang dianjurkan. Tidak bermakna jika, semasa berada di sekolah, kanak-kanak dicurahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan am, tetapi selepas pulang ke rumah, ibu bapa tidak melayan persoalan yang dikemukakan anak-anak, dengan alasan mereka penat atau tidak perlu dijawab dalam usia semuda anak-anak itu.

Dalam hal ini, ibu bapa perlu ada kesedaran tentang pentingnya kita menghayati kemerdekaan yang dicapai sejak tahun 1957. Malah, ibu bapa sendiri perlu mempunyai pengetahuan yang sepatutnya mengenai kemerdekaan. Dengan itu, barulah maklumat yang cuba disampaikan tidak tersekat-sekat dan tergantung di tengah jalan yang memungkinkan kanak-kanak bosan untuk mendengar dan seterusnya hilang minat mereka untuk mengetahui peristiwa bersejarah dengan lebih lanjut.

Persembahan Dalam Bentuk Lakonan

Untuk memudahkan proses dan mengekalkan ingatan dalam tempoh lama, kita juga boleh melakukannya melalui lakonan. Pilih peristiwa penting dan latih kanak-kanak mempersembahkannya dalam bentuk lakonan. Skrip haruslah tidak lari daripada cerita asal agar pemahaman mereka tidak terpesong. Dalam usaha mendapatkan hasil terbaik, sudah pasti mereka dapat merasai keseronokkan dengan pengalaman berlakon selain belajar mengingati skrip.

Kanak-kanak belajar sesuatu dengan cara mereka tersendiri. Sesuai dengan usia si kecil, tahap penerimaan mereka terhadap ilmu seperti ini mungkin tidak terhad. Di sinilah peranan yang perlu kita mainkan dengan sewajarnya agar minda mereka dapat menerima input semaksimum boleh dengan cara lebih menarik, seronok dan berkesan. Yang penting, pastikan mereka dapat menerima maklumat tersebut. Bentuklah jati diri yang kukuh, semaikan semangat cintakan tanah air dan pupuk rasa sayang pada negara sejak mereka kecil. Semoga apabila dewasa, generasi ini mampu mentadbir negara dan mengekalkan kemakmuran negara.