Tekanan Darah Tinggi – Pembunuh Dalam Senyap

3439

Apakah itu tekanan darah?

Tekanan darah merupakan daya tenaga yang terhasil pada dinding saluran darah arteri apabila darah dipam melaluinya. Tekanan darah ditentukan oleh jumlah darah yang dipam oleh jantung dan daya tahan di dalam saluran darah. Setiap orang mempunyai tekanan darah. Tekanan darah dicatatkan dalam dua bacaan nombor, contohnya 120/80 mmHg. Bacaan di atas (tekanan darah sistolik) merupakan tekanan apabila darah dipam keluar dari jantung. Bacaan yang di bawah pula (tekanan darah diastolik) merupakan tekanan apabila jantung berehat. Tekanan darah berubah-ubah mengikut masa dan aktiviti yang kita lakukan.

Bagaimanakah tekanan darah diukur?

 Doktor atau kakitangan kesihatan mengukur tekanan darah menggunakan alat yang dikenali sebagai sfigmomanometer. Subjek perlu mengelak daripada melakukan kerja yang berat, mengambil minuman yang mengandungi kafein atau merokok 30 minit sebelum tekanan darah diambil. Lengan hendaklah terdedah dan diampu pada permukaan yang rata pada aras jantung.

Apakah itu penyakit tekanan darah tinggi?

 Penyakit tekanan darah tinggi berlaku apabila seseorang mempunyai tekanan darah 140/90 mmHg atau lebih secara berterusan. Pendapat yang mengatakan bahawa penyakit tekanan darah tinggi hanya terjadi pada orang tua sahaja adalah tidak tepat. Pada masa kini, terdapat peningkatan jumlah pesakit yang dikesan menghidap penyakit tidak berjangkit seperti tekanan darah tinggi pada umur yang lebih muda berbanding masa dahulu. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2015 mendapati 30.3% atau satu pertiga rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas menghidap penyakit tekanan darah tinggi.

Apakah tanda-tanda penyakit tekanan darah tinggi?

 Tekanan darah tinggi merupakan pembunuh dalam senyap kerana ia tidak menunjukkan sebarang gejala pada peringkat awal. Kebanyakan pesakit tidak tahu yang mereka mempunyai penyakit ini dan lewat untuk mendapatkan rawatan sehinggalah terjadinya komplikasi yang lebih serius seperti serangan jantung, strok dan penyakit buah pinggang. Oleh itu, adalah penting untuk melakukan pemeriksaan tekanan darah sekurang-kurangnya sekali setiap  tahun. Amalan ini dapat membantu para doktor untuk mengesan penyakit senyap ini dan rawatan dapat diberi seawal mungkin untuk mencegah berlakunya komplikasi.

Bagaimana seseorang itu boleh mendapat tekanan darah tinggi?

Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko seseorang itu mendapat penyakit tekanan darah tinggi. Anda berisiko untuk mendapat tekanan darah tinggi sekiranya anda merupakan seorang lelaki atau mempunyai sejarah ahli keluarga yang mengalami tekanan darah tinggi, serangan jantung atau strok pada usia muda. Faktor-faktor lain termasuklah kegemukan, merokok, mengambil minuman beralkohol, suka memakan makanan yang tinggi kandungan lemak dan garam dan tidak bersenam secukupnya. Kanak-kanak yang mempunyai berat badan berlebihan berisiko untuk mendapat tekanan darah tinggi apabila mereka dewasa kelak. Oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa melibatkan anak-anak untuk turut serta dalam mengamalkan gaya hidup keluarga yang sihat seperti mengambil makanan seimbang dan rendah kandungan garam, bersenam, tidak merokok, menghadkan pengambilan alkohol dan mengekalkan berat badan yang ideal.

Apakah rawatan untuk tekanan darah tinggi?

Pesakit tekanan darah tinggi perlu berjumpa doktor untuk penilaian dan rawatan susulan. Semua pesakit perlu mengamalkan gaya hidup sihat seperti yang dinyatakan sebelum ini. Terdapat pelbagai jenis ubat yang digunakan untuk menurunkan tekanan darah. Walau bagaimanapun, penggunaan ubat untuk menurunkan tekanan darah perlu ditentukan oleh doktor berdasarkan penilaian secara individu ke atas pesakit dengan mengambil kira faktor-faktor seperti bacaan tekanan darah dan kewujudan penyakit-penyakit lain seperti kencing manis, penyakit jantung dan sebagainya.

Rujukan:

  • National Health and Morbidity Survey 2015 (Fact Sheet).
  • Non communicable diseases (World Health Organisation), June 2018.
  • Clinical Practice Guidelines on Management of Hypertension – 4th Edition, 2013.