5 Tip Membentuk Anak Lelaki Lebih Kreatif

1686

Setiap individu mempunyai kreativiti yang dianugerahkan secara semula jadi. Dengan bimbangan, ia dapat diterjemahkan dalam bentuk karya yang lebih menarik. Kanak-kanak juga mempunyai sifat semula jadi yang sememangnya kreatif. Namun mentaliti masyarakat kita pada hari ini hanya melihat kanak-kanak perempuan sahaja yang kreatif. Apa yang dilakukan oleh kanak-kanak lelaki dianggap sebagai sia-sia sahaja dan dianggap tidak kreatif. Pernahkah kita terfikir kanak-kanak lelaki lebih memerlukan perhatian khusus berbanding kanak-kanak perempuan? Maka wajarlah sekiranya kita meneliti perkara-perkara yang boleh membantu kanak-kanak lelaki untuk lebih kreatif.

Menurut E. Paul Torrance (1991), pelajar yang kreatif belajar melalui pemerhatian, penerokaaan serta persoalan. Setiap individu mempunyai kreativiti yang dianugerahkan secara semula jadi. Dengan adanya bimbingan ia dapat dilakukan dalam bentuk karya yang lebih menarik.

Seni memainkan peranan yang penting dalam pendidikan kanak-kanak. Hal ini kerana gabung jalin seni dalam pembelajaran akan membuatkan mereka berasa lebih gembira dan seronok untuk belajar. Terapi seni juga berupaya meningkatkan tahap keyakinan dalam diri kanak-kanak.

Pendekatan dan penglibatan kanak-kanak dalam pelbagai jenis pengalaman adalah sangat penting terutama bagi kanak-kanak lelaki yang berada dalam lingkungan umur 4–9 tahun di mana kanak-kanak belajar melalui pembelajaran sendiri yang mana memberi lebih kepuasan serta pengalaman yang tersendiri. Proses ini meningkatkan estetika dan daya kreativiti kanak-kanak.

Sebagai ibu bapa atau penjaga, kita merupakan guru pertama bagi anak-anak. Kita pasti mengimpikan mereka menjadi seorang yang pintar. Dalam perkara sebegini kita seharusnya membiarkan mereka berkarya dengan bebas, berimaginasi dan mencuba apa yang ada di sekeliling mereka. Setiap yang dihasilkan adalah luahan jiwa dan pengamatan mereka terhadap persekitaran mereka. Maka kita perlu berbangga dengan usaha yang telah dilakukan oleh mereka.

Cari peluang untuk menggalakkan kanak-kanak lelaki mengembangkan komponen-komponen dasar semula jadi dalam diri mereka seperti seni visual, tingkah laku motor kasar dan motor halus, seni verbal, hubungan sosial, logik matematik dan kinestetik. Sekiranya kesemua perkara ini berjalan dengan lancar maka masalah yang dihadapi oleh kanak-kanak lelaki akan berkurangan dan kanak-kanak lelaki akan menjadi lebih kreatif dan inovatif!

Rumusannya, berikut adalah 5 tip bermanfaat untuk membentuk anak lelaki yang lebih kreatif:

  • Berbangga dengan usaha yang dilakukan.
  • Amalkan sikap optimistik terhadap potensi anak lelaki.
  • Berikan pendedahan dengan pendekatan, kaedah dan teknik yang sempurna. Kanak-kanak akan berupaya mengembangkan pemikiran kritis mereka.
  • Terima segala persoalan, pemerhatian, percubaan serta penerokaan yang mereka lakukan kerana melalui perkara sebegini sebenarnya kanak-kanak akan menjadi lebih kreatif.
  • Cari peluang untuk menggalakkan kanak-kanak lelaki mengembangkan kreativiti mereka.