Adakah Penggunaan Gajet dalam Pendidikan Peringkat Awal Menghasilkan Kanak-kanak yang Lebih Bijak?

5032

Teknologi sentiasa berkembang dari semasa ke semasa. Namun demikian, apakah perkembangan tersebut memberi manfaat kepada kanak-kanak, khususnya dalam konteks pembelajaran peringkat awal kanak-kanak?  Secara umumnya, teknologi diwujudkan untuk kebaikan manusia jika digunakan secara betul. Kesedaran, pengetahuan dan kompetensi ke arah penggunaan teknologi secara optimum akan dapat membantu merealisasikan potensi teknologi terhadap pembelajaran kanak-kanak secara efektif dan efisien. Teknologi dalam pendidikan melibatkan telefon pintar, komputer, internet, televisyen, tablet dan gajet.

Penerapan teknologi kepada kanak-kanak tidak seharusnya dilakukan sewenang-wenangnya. Kita dapati ibu bapa sering berbangga apabila anak-anak mereka yang belum sampai umur dua tahun sudah pandai bermain dengan telefon pintar ataupun tablet. Gambaran pada ibu bapa tersebut adalah anak mereka bijak. Apakah benar yang kanak-kanak itu bijak? Pada dasarnya memang kelihatan begitu sebab kanak-kanak itu dikatakan dapat memahami penggunaan telefon pintar tanpa perlu diajar. Mereka dapat mengenal pasti fungsi aplikasi dan kekunci yang terdapat pada paparan telefon pintar melalui gerak hati mereka dan pemikiran logikal. Hakikatnya bagaimana pula?

Peringkat awal perkembangan kanak-kanak sangat penting. Pendidikan prasekolah yang berkualiti dapat menyediakan kanak-kanak dengan peluang untuk membina keyakinan diri, belajar kemahiran bermasyarakat dan membentuk tingkah laku pembelajaran yang baik. Hal ini membina asas yang kukuh untuk pembelajaran masa depan kanak-kanak. Dr. Laura Jana, seorang pakar kanak-kanak di Amerika Syarikat dalam temu bual bersama-sama CBS News (2015) agak bimbang tentang statistik yang menunjukkan jumlah yang tinggi dalam penggunaan gajet elektronik dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur dua tahun. Bagi Dr. Laura, peringkat umur dua hingga enam tahun adalah fasa perkembangan kanak-kanak yang sangat penting. Pada tahap ini kanak-kanak belajar dengan sangat berkesan melalui interaksi dengan manusia dan bukan interaksi dengan skrin.

Pendapat Dr. Laura selari dengan kajian yang dibuat oleh American Academy of Pediatrics (AAP) Council on Communications and Media (2011) yang mendapati kesan negatif kepada kanak-kanak yang berumur setahun ke bawah terhadap penggunaan teknologi dalam kehidupan mereka. Justeru AAP telah menggubal satu dasar yang melarang kanak-kanak di bawah umur dua tahun untuk didedahkan dengan mana-mana media skrin.

Masa bermain secara bebas (unstructured) lebih berkesan dalam mengembangkan fungsi otak kanak-kanak berbanding permainan dengan mana-mana gajet elektronik. Sekiranya ibu bapa sibuk dengan urusan lain, kanak-kanak sepatutnya boleh bermain sendiri. Contohnya, anak dibiarkan bermain dengan kotak-kotak kosong semasa ibu sedang memasak. Yang penting, ada seorang dewasa berhampiran dengannya. Anak seawal 4 bulan yang bermain bebas dan bersendirian boleh berfikir secara kreatif dan juga boleh menyiapkan sesuatu tugas tanpa penglibatan secara langsung daripada ibu bapa.

Bagi kanak-kanak yang berumur dua tahun ke atas pula, kajian yang sama menunjukkan kesan positif media interaktif yang berkualiti tinggi dari segi meningkatkan kemahiran sosial, bahasa dan kesediaan pelajar untuk bersekolah.

Walau bagaimanapun, pendidik dan ibu bapa mempunyai ruang untuk mengatasi masalah yang dinyatakan di atas dengan memikirkan persoalan-persoalan asas seperti “Apakah teknologi yang hendak digunakan?”, “Mengapa hendak menggunakan teknologi tertentu?” dan “Bagaimana hendak menggunakan teknologi tersebut untuk menyokong pembangunan awal kanak-kanak?” Bagi menjawab persoalan-persoalan ini bukanlah perkara yang mudah. Pihak berkuasa dan institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan proaktif bagi menangani permasalahan ini. Pendidik perlu diberi latihan secara intensif dan berterusan untuk mengelakkan penerapan teknologi yang tidak sesuai dan tidak tepat.

Kesimpulannya dapatlah dirumuskan bahawa penggunaan teknologi dalam pendidikan peringkat awal kanak-kanak penting. Walau bagaimanapun, penggunaan tersebut haruslah dilaksanakan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan masa depan kanak-kanak. Hal ini disebabkan kesilapan di peringkat awal dalam menerapkan teknologi dalam pendidikan awal  kanak-kanak akan menyukarkan proses pembetulan semula.

Rujukan:

American Academy of Pediatrics, Council on Communications and Media (2011). Policy statement: Media Use by Children Younger than 2 Years. Pediatrics. 128(5): 1040-1045. pmid:21708800.

http://www.cbsnews.com/news/one-third-of-kids-use-touchscreens-by-age-one/ 2015.