Adakah Tabiat Menggigit Kuku Simptom Masalah Kesihatan?

3254

Mungkin ramai di kalangan kita yang mempunyai anak atau saudara mara yang mempunyai tabiat sebegini. Ada yang bersifat sementara (hanya masa-masa tertentu dan sewaktu kanak-kanak sahaja) dan ada yang kekal menjadi tabiat sehingga dewasa atau mengakibatkan kuku yang tidak cantik akibat digigit berlebihan. Tabiat ini sebenarnya dikategori sebagai tabiat keresahan (nervous habits) yang juga termasuk tabiat lain seperti menghisap jari, bermain dengan rambut, menggeretap gigi dan mengorek hidung. Menggigit kuku adalah tabiat yang paling kerap ditemui.

Umumnya, tabiat ini disebabkan oleh banyak sebab antaranya perasaan ingin tahu di kalangan kanak-kanak, kebosanan, untuk mengurangkan tekanan, perbuatan meniru orang lain dan tabiat. Proses tumbesaran dan pembelajaran kanak-kanak mengakibatkan mereka berasa resah, risau dan sebagainya yang kebiasaannya tidak dapat dikesan oleh ibu bapa. Ini mengakibatkan anak-anak secara luar sedar mengambil satu-satu tabiat seperti yang di atas sebagai cara untuk mengurangkan perasaan tersebut.

Namun begitu, ibu bapa perlu cakna bilamana perbuatan ini kelihatan melampau seperti mengakibatkan kecederaan pada kuku dan jari, perlakuan ini berlaku secara tiba-tiba dan teruk dalam masa yang singkat, melakukan perbuatan lain yang tidak normal seperti menarik rambut sehingga putus, kencing malam atau tabiat tidur mereka terganggu.

Tanda-tanda tersebut menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan kesihatan emosi dan mental anak anda dan memerlukan intervensi dari mereka yang pakar dengan segera. Untuk panduan pembaca, saya senaraikan panduan ringkas untuk mengatasi tabiat ini bagi kegunaan ibu bapa di rumah.

INTERVENSI DI RUMAH

Ada 7 intervensi yang boleh dilakukan di rumah:

  1. Kenalpasti punca keresahan mereka: Ibu bapa boleh melihat kembali sebarang perubahan yang berlaku dalam rutin harian anak-anak yang memungkinkan mereka berasa tidak selesa contohnya pertukaran penjaga, minggu buka sekolah, peperiksaan dan sebagainya. Membantu mereka meluahkan kerisauan mereka dapat menghilangkan atau mengurangkan tabiat tersebut secara berkesan.
  2. Elakkan menghukum: Pendekatan menghukum bakal menimbulkan lebih banyak keresahan dan ia bakal memudaratkan tabiat tersebut. Ia juga menimbulkan satu bentuk ‘perebutan kuasa’ dalam minda luar sedar anak-anak yang mengakibatkan mereka meneruskan tabiat tersebut.
  3. Kurangkan berleter: Berleter tidak menyelesaikan isu yang mengakibatkan tabiat itu bermula atau berkekalan. Pastikan anak mempunyai kuku yang pendek dan bersih, galakkan mereka mencuci tangan, tetapkan peraturan mudah seperti ‘Dilarang Menggigit Kuku Semasa ada Tetamu’ dapat membantu anak meninggalkan tabiat ini dengan lebih cepat.
  4. Bantu mereka untuk berhenti: Anak juga mungkin berasa malu dengan perbuatan tersebut. Apabila anak mempunyai kesedaran ini, lebih mudah untuk anda membantu mereka berhenti. Peringatan ringkas seperti menyentuh tangan, berbisik dan sekadar memanggil nama mereka pun sudah mencukupi.
  5. Cadang alternatif: Aktiviti yang melibatkan penggunaan tangan dan permainan lain yang meyebabkan mereka sibuk dapat mengurangkan intensiti perbuatan tersebut.
  6. Bincang dengan anak bagaimana cara terbaik untuk mengurangkan tabiat tersebut dari sudut pandangan mereka.
  7. Cuba lagi dan lagi kerana setiap anak adalah unik dan pendekatan untuk menghentikannya juga amat berbeza.

Selamat mencuba!