Anak Anda Lambat Bercakap?

3803

Seorang ibu mengeluh kepada rakan sekerja tentang anaknya yang berusia 4 tahun yang masih belum bercakap. Sebenarnya, beliau telah mulai risau tentang keadaan anaknya sejak dari umur dua tahun lagi. Namun keluarga dan rakan-rakan rata-rata menyatakan yang ia satu kebiasaan dan anaknya akan bercakap dengan sendirinya bila besar kelak.

Ini merupakan satu situasi yang agak biasa di kalangan masyarakat kita. Kelewatan bercakap dianggap biasa terutamanya di kalangan anak lelaki. Lebih-lebih lagi jika terdapat ahli keluarga yang mengalami masalah yang serupa. Realitinya kelewatan bercakap memberi kesan yang mendalam pada perkembangan kognitif dan sosial kanak-kanak.

Perkembangan percakapan atau pertuturan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada 2 fasa iaitu:

  1. Fasa pra-linguistik: 0-12 bulan
  2. Fasa linguistik: 15 bulan hingga 8 tahun

Pada fasa pra-linguistik, bayi bermula dengan mengenal intonasi suara-suara yang berlainan. Ini diikuti dengan bayi mula mengeluarkan bunyi-bunyi konsonan pada usia 6 bulan dan mula menyebut 1 perkataan yang dapat difahami pada usia 12 bulan.

Di fasa linguistik, kanak-kanak mula bercakap dengan menggunakan satu perkataan dan kemudiannya dapat menyambung dua perkataan pada usia 2 tahun dan menggabungkan tiga perkataan pada usia 3 tahun. Pada usia 4 tahun kanak-kanak dapat membuat ayat yang kompleks di samping boleh bercerita. Tahap ingin tahu adalah paling tinggi pada usia ini. Jadinya, pertanyaan “apa”, ”siapa”, “kenapa” dan lain-lain sering bermain di bibir mereka. Percakapan mereka bertambah matang bila mencecah 6 tahun.

Secara amnya, percakapan kanak-kanak yang boleh difahami oleh bukan ahli keluarga  adalah sebanyak 25% pada usia  setahun, 50% di usia 2 tahun, 75% di usia 3 tahun dan 100% di usia 4 tahun. Sekiranya anak anda masih belum membuat sebarang bunyi pada usia kurang dari setahun dan juga tiada  menyebut perkataan bawalah segera berjumpa doktor.

Perkara yang pertama yang perlu dipastikan adalah sama ada anak anda mengalami masalah kurang pendengaran. Ini adalah kerana pendengaran merupakan antara faktor yang penting untuk percakapan. Bertindaklah segera kerana intervensi awal dapat memaksimumkan potensi diri anak-anak  anda  demi masa depan yang lebih sempurna.