Ke Sana Ke Sini: Hati-hati Serangga Berbisa

5673

Malaysia merupakan negara beriklim tropika yang mengalami cuaca panas dan lembap sepanjang tahun. Keadaan cuaca seperti ini menggalakkan kewujudan pelbagai jenis serangga yang beraneka rupa, warna dan sebahagiannya pula mempunyai kepentingan dalam perubatan. Antara serangga-serangga ini, terdapat beberapa jenis yang berbisa.

Sempena kelonggaran PKP, ramai yang mula balik kampung atau melancong ke negeri lain. Anak-anak kecil terutamanya yang mempunyai sifat suka meneroka dan naluri ingin tahu yang tinggi perlu diawasi supaya tidak digigit atau disengat oleh serangga berbisa ini.

Apakah itu serangga berbisa?

Serangga berbisa adalah serangga yang dilengkapi dengan alat bisa yang berupaya untuk memindahkan bisa atau racun kepada mangsa sama ada melalui gigitan ataupun sengatan. Gigitan atau sengatan serangga ini boleh menyebabkan rasa sakit yang melampau, gatal, bengkak dan kemerahan yang mungkin berlanjutan hingga beberapa hari. Antara contoh serangga jenis ini adalah lipan, ulat gonggok, ulat bulu, labah-labah dan kala jengking. Terdapat juga serangga berbisa seperti lebah, tebuan dan penyengat yang boleh mengakibatkan kesan alahan yang serius dan boleh membawa kematian sekiranya tidak dirawat dengan segera. Justeru, adalah amat penting untuk melindungi diri dan keluarga daripada ancaman serangga berbisa ini.

Apakah jenis-jenis serangga berbisa? 

Di sini akan dijelaskan dengan ringkas tentang beberapa serangga berbisa yang boleh ditemui di negara kita.

Kala jengking dan labah-labah

Kala jengking dan labah-labah adalah daripada kumpulan serangga yang sama iaitu Acarina yang mempunyai empat pasang kaki. Kala jengking menyimpan bisa dan menyengat menggunakan struktur khusus pada bahagian belakangnya yang dikenali sebagai telson. Labah-labah pula menggunakan kelisera iaitu struktur seperti ‘gigi’ yang berada bada bahagian kepalanya. Kedua-dua struktur ini digunakan sebagai mekanisme pertahanan dan juga untuk melemahkan dan membunuh haiwan dan serangga lain sebelum dimakan. Hanya sebahagian kecil spesies kala jengking dan labah-labah mempunyai bisa yang boleh memberikan kesan serius kepada manusia. Di luar negara, sebahagian spesies kala jengking dan labah-labah seperti ‘Black Widow’ diketahui boleh menyebabkan kematian kerana bisanya memberi kesan yang sangat kuat kepada sistem saraf mangsa.

Lipan dan ulat gonggok

Kedua-dua lipan dan ulat gonggok adalah serangga merayap yang mempunyai banyak kaki. Lipan berbentuk leper dan mempunyai sepasang kaki pada setiap segmen, manakala ulat gonggok pula lebih berbentuk silinder dan mempunyai dua pasang kaki pada setiap segmen. Lipan memindahkan bisa kepada mangsa menggunakan struktur kaki hadapan yang diubah suai menjadi ‘kuku bisa’. Ulat gonggok pula tidak mempunyai alat bisa yang khusus tetapi mempertahankan diri dengan merembeskan cairan merengsa yang akan memberikan kesan terbakar apabila terkena pada kulit. Lipan dan ulat gonggok tidak menyebabkan kematian.

Tebuan, lebah dan penyengat

‘Sarang tebuan jangan dijolok’ merupakan peribahasa popular yang memberikan mesej supaya kita tidak mengganggu sesuatu yang diketahui boleh memberi mudarat kepada diri sendiri. Selain tebuan, lebah dan penyengat juga mempunyai persamaan kerana ketiga-tiganya merupakan serangga dalam kelas ‘Insecta’ yang mempunyai tiga pasang kaki dan mampu terbang untuk menyerang mangsa. Ketiga-tiganya dilengkapi dengan struktur ‘jarum tajam’ yang terletak pada bahagian belakang abdomennya. Lebah mempunyai jarum tajam yang bergerigi yang akan tertinggal pada kulit mangsa selepas disengat. Tebuan dan penyengat pula mempunyai jarum tajam yang licin, tidak meninggalkan sengat pada kulit mangsa, justeru mampu menyengat mangsa beberapa kali. Serangan serangga ini adalah sangat bahaya kerana boleh mengakibatkan kematian akibat kesan anafilaktik (kesan alahan yang teruk) yang merosakkan fungsi organ-organ utama dalam badan. Di Malaysia, sengatan daripada serangga jenis ini merupakan penyumbang utama kepada kes-kes kematian akibat serangan serangga berbisa.

Ulat bulu

Ulat bulu merupakan peringkat pramatang bagi rama-rama yang kebiasaannya merayap pada bahagian dahan dan ranting pokok. Walaupun kebanyakan ulat bulu tidak berbisa, namun terdapat sebahagian spesies yang menggunakan bulu-bulu pada badan sebagai alat mempertahankan diri. Bulu-bulu yang beracun ini akan memberikan kesan gatal dan sakit pada permukaan kulit. Jika terkena pada mata, boleh mengakibatkan konjunktivitis.

Apakah rawatan terhadap gigitan dan sengatan serangga berbisa?

Ada sebahagian individu beranggapan gigitan dan sengatan serangga berbisa hanya perkara remeh dan boleh baik dengan sendiri tanpa dirawat. Tidak kurang pula yang percaya dengan kaedah alternatif seperti menyapu ubat gigi, garam atau tanah pada kawasan yang terkena sengatan. Amalan seperti ini tidak disokong dengan bukti perubatan, malah boleh memudaratkan pesakit. Hakikatnya, sengatan serangga berbisa adalah sesuatu yang serius dan perlu bersegera ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Namun, terdapat beberapa langkah awal yang boleh diambil sementara menunggu pesakit di hantar ke hospital.

  1. Bagi serangga yang meninggalkan sengat pada kulit seperti lebah, jarum sengatan itu hendaklah dicabut berhati-hati dengan menggunakan penyepit.
  2. Luka sengatan atau gigitan perlu dicuci dengan air bersih dan antiseptik bagi mencegah jangkitan kuman.
  3. Ais yang dibalut dengan kain boleh digunakan pada kawasan luka untuk meredakan rasa sakit.
  4. Kurangkan pergerakan anggota badan yang terkena sengatan atau gigitan.
  5. Bawa mangsa segera ke hospital. Jika boleh, bawa sekali serangga berbisa yang menggigit atau menyengat untuk dikenal pasti oleh pihak hospital agar rawatan spesifik dapat diberikan berdasarkan jenis serangga tersebut.

Bagaimana melindungi diri daripada serangga berbisa?

Prihatin terhadap persekitaran dalam dan luar kawasan penginapan adalah kunci utama untuk mencegah diri anda dan keluarga daripada ancaman serangga berbisa. Di bawah adalah langkah-langkah mudah yang boleh diikuti:

  1. Sentiasa memeriksa pakaian dan kasut sebelum memakainya. Sebahagian serangga berbisa jenis merayap suka tempat yang gelap dan lembap seperti pada longgokan pakaian dan kawasan di dalam kasut.
  2. Serangga berbisa jenis merayap juga suka berada di tempat yang sejuk seperti di dalam bilik air. Justeru, berhati-hati ketika ke bilik air terutama pada waktu malam.
  3. Elakkan berada di kawasan yang mungkin menjadi habitat serangga berbisa seperti semak samun, hutan belukar, rumah tinggal, longgokan perabot buruk dan sebagainya.
  4. Pastikan anda memakai pakaian yang sesuai ketika menjalani aktiviti luar seperti berkebun atau ‘jungle trekking’. Baju berlengan panjang, seluar panjang dan kasut boleh mengurangkan risiko gigitan dan sengatan serangga berbisa.
  5. Sekiranya ternampak sarang lebah, tebuan atau penyengat pada pokok atau struktur rumah, adalah disarankan untuk menghubungi pihak yang bertanggungjawab seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) ataupun Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia supaya tindakan pemusnahan sarang dapat dijalankan secara terkawal dan selamat.

Dapatkan majalah AWAL isu 18 dan yang bertemakan HAIWAN di https://eniaga.awal.my