Kata pujangga, “jika pendidikan itu mahal, cubalah kejahilan.”
Semahal-mahal pendidikan, anak yang jahil lebih mahal untuk dijaga. Sebenarnya, tidak menyekolahkan anak, tidak memberikan kasih sayang yang secukupnya, kurang memberikan masa serta mengabaikan keperluan pelajaran mereka, lagi mahal kosnya dari segi wang ringgit, emosi mahupun sosial. Pada hakikatnya, anak yang gagal di sekolah, anak yang terabai didikannya serta anak yang tidak terkawal tingkahlakunya selalunya mencetuskan pelbagai masalah kepada dirinya, ahli keluarga serta masyarakat.
“Kadangkala kita terlalu memikirkan untuk memberi anak apa yang kita tidak dapat sewaktu kita membesar dahulu sehingga kita lupa untuk memberikan kepada mereka apa yang pernah kita dapat sewaktu kita dibesarkan.” (James Dobson)
Anak-anak inilah yang lazimnya terjebak ke dalam pelbagai aktiviti anti-sosial yang mengkucar-kacirkan keharmonian masyarakat. Ia lazimnya bermula dengan masalah biasa seperti merokok, ponteng sekolah, pulang lewat malam, pergaulan bebas, terlalu asyik dengan hiburan dan yang seumpamanya. Masalah serupa ini jika dibiarkan, lama-kelamaan akan melebar dan merebak menjadi masalah yang lebih serius dan sukar diselesaikan. Ia termasuk masalah penyalahgunaan dadah, mencuri, gangsterism, membuli dan lain-lain aktiviti jenayah yang menjadi tajuk utama akhbar. Apabila ini berlaku, ia ibarat “nasi sudah menjadi bubur”.
Ibu bapa bukan sahaja memerlukan wang yang banyak untuk memulihkan semula si anak, malah ia turut mencemarkan nama baik keluarga. Pada ketika itu, ibu bapa akan berbuat apa saja untuk menangani masalah berkenaan. Jika terpaksa berhutang atau bergolok-bergadai, maka itulah yang akan mereka lakukan. Apabila sudah tersepit dek karenah anak, tanah pusaka yang disayangi dan barang-barang kemas yang telah lama disimpan terpaksa digadai. Betullah saranan pujangga, mencegah lebih baik daripada mengubati, kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna dan janganlah pula apabila sudah terantuk baru hendak tengadah.
Senjata Berkesan untuk Anak
Bayangkan si anak berada di tahap prasekolah atau sekolah rendah saban hari menonton televisyen. Mereka akan sentiasa terdedah kepada pelbagai cerita ganas, adegan berunsur seks serta imej yang bersifat tahyul. Anak di peringkat ini lazimnya tidak dapat membezakan di antara fantasi dan realiti, di antara rekaan dan kebenaran.
“Menurut satu hipotesis, sekiranya seorang anak prasekolah menonton televisyen selama 3 jam sehari, maka apabila umurnya menjangkau 18 tahun, dia telah menghabiskan lebih banyak masa di hadapan televisyen daripada berada di sekolah. Malah, masa menonton televisyen jauh lebih lama daripada masanya berinteraksi dengan guru-guru, kawan-kawan atau ibu bapa mereka sendiri.” (CAP Guide: How TV Affects Your Child’s Development)
Hanya ibu bapa yang tegas, jelas akan peranannya serta bijak mendisiplinkan anak sahaja yang boleh menyelamatkan anak daripada hanyut dipengaruhi oleh televisyen. Ibu bapa yang berkesan juga dapat membantu membina wawasan masa depan anak-anak, menolong menetapkan matlamat pelajaran mereka, menyuntik semangat belajar serta sifat percaya diri, menjadi pendorong serta menyediakan pelbagai kemudahan untuk memastikan kejayaan si anak.
Pendek kata, si anak yang sentiasa mendapat kasih sayang, bantuan, galakan, dorongan, dan bimbingan daripada ibu bapa adalah jauh lebih gagah, yakin, bijak dan bersemangat menghadapi pelbagai tribulasi dan perjuangan hidup. Berbeza sekali dengan anak yang ada bapa, ada ibu, malah ada abang, kakak, nenek, makcik, pakcik tetapi terabai dan tidak dipedulikan. Ibu bapa mereka terlalu sibuk mengendalikan gedung perniagaan, mengelolakan ladang, menguruskan organisasi, mengejar kedudukan sehingga tidak ada masa untuk anak-anak. Itulah anak yatim yang sebenar-benarnya, dilihat dari kaca mata anak yang terbiar.
Nasib anak-anak yatim yang terbela kadang-kadang lebih baik daripada mereka. Sekurang-kurangnya, anak-anak yatim itu boleh juga bergantung harap kepada rumah-rumah anak yatim atau jabatan kebajikan, malah badan bukan-kerajaan (NGO) tertentu.
“Ilmu lebih baik daripada harta. Harta semakin berkurangan apabila digunakan. Sebaliknya lagi banyak digunakan, lagi bertambah ilmu seseorang” (Saidina Ali)
“Jika kamu ada ilmu dan ada pula harta, itulah yang sebaik-baiknya. Tetapi jika kamu tidak berharta, ilmu itulah harta kamu” (Mus’ab ibn Umair, Sahabat Nabi SAW)
Harta, Takhta dan Ilmu
Allah memberikan tawaran kepada Nabi Sulaiman a.s. Beliau diminta memilih di antara harta, takhta, atau ilmu. Dari ketiga tawaran itu akhirnya Nabi Sulaiman a.s. memilih ilmu. Apa yang kemudiannya terjadi adalah Allah SWT memberikan kepadanya semuanya termasuk takhta dan harta. Hikmah yang dapat diambil dari kisah ini ialah bahawa dengan pemilikan ilmu seseorang itu boleh mengelolakan kekayaan mahupun kedudukan dengan baik.
Yang lebih menyedihkan lagi, terdapat segolongan ibu bapa yang tidak sibuk dengan pekerjaan atau perniagaan tetapi menyibukkan diri dengan pelbagai “aktiviti kemasyarakatan” yang tidak penting sebenarnya.
Cuba fikir dan renungkan, adakah anak anda anak yatim?
Saya dapat memberi contoh ramai anak yang terbiar dan menderita kerana ibu bapa mereka terlalu sibuk atau terlalu mementingkan keperluan diri sendiri. Namun saya belum jumpa lagi seorang anak pun yang menderita kerana ibu bapa mereka terlalu kasih dan sayang pada mereka. Tidak mungkin seorang anak rosak kerana terlebih disayangi.
“Seorang anak tidak pernah rosak kerana ibu bapa terlalu kasih atau sayang kepadanya. Tetapi mereka rosak kerana ibu bapa menghujaninya dengan pelbagai barangan dan hadiah sebagai ganti kasih sayang yang tidak dapat mereka berikan.”(Laurence Steinberg)
Jadi tidak syak lagi, bahawa senjata paling utama serta paling berkesan yang ada pada si anak ialah ibu bapa mereka sendiri. Terdapat kaitan yang jelas di mana si anak yang lebih terdidik di sekolah serta kurang terlibat di dalam pelbagai gejala sosial, adalah anak yang mendapat didikan dan bimbingan yang mencukupi dari awal di rumah.
Penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak membawa perbezaan yang cukup besar kepada masa depan si anak. Jika anak tergelincir dalam arena pembelajarannya, tindakan anda akan memberi kesan yang amat besar dalam mencorakkan masa depannya.
Malah, sepanjang zaman persekolahan anak anda, dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah, malah hingga ke peringkat yang lebih tinggi daripada itupun, apa saja tindakan positif anda akan memberi kesan yang amat besar kepada si anak.
Ramai ibu bapa berpendapat usaha memupuk kejayaan akademik pelajar adalah tugas dan tanggungjawab sekolah, bukan tugas dan tanggungjawab mereka. Kita harus ingat bahawa aras kemajuan pembelajaran anak kita akan lebih ketara dan terserlah sekiranya wujud kerjasama di antara sekolah dan ibu bapa.
Satu hari, Rasulullah SAW bersama sekelompok sahabat melawat satu tempat di mana mereka menyaksikan sekumpulan anak sedang bermain. Sambil memerhatikan mereka, Rasulullah SAW berkata “Celakalah anak-anak akhir zaman lantaran ayah-ayah mereka.” Para sahabat bertanya, “Apakah kerana ayah-ayah yang musyrik?” Rasulullah menjawab, “Tidak, mereka ayah-ayah yang mukmin, namun sedikit pun tidak mengajarkan kewajipan-kewajipan kepada mereka. Apabila anak-anak mereka mempelajarinya, mereka melarang. Dan mereka senang dengan harta benda dunia yang hanya sedikit.” Kemudian Rasulullah menampakkan kebencian dan ketidakrelaannya terhadap ayah-ayah semacam mereka. Maka baginda pun bersabda, “Aku berlepas diri dari mereka dan mereka pun berlepas diri dariku” (Jami’ul Akhbar, Hal. 124 dipetik dari Husain Mazhahiri)