‘Musuh dalam selimut’ merupakan pepatah Melayu yang menggambarkan kewujudan musuh yang berada sangat hampir dengan kita tanpa kita sedari. Namun, tahukah anda bahawa memang wujud sebenarnya ‘musuh’ dalam selimut yang mungkin ‘menemani’ tidur kita setiap hari? Ya. Itulah serangga kecil yang dinamakan pepijat.

Apakah pepijat?

Pepijat merupakan serangga tanpa sayap yang berasal daripada keluarga Cimex. Terdapat dua spesies pepijat iaitu Cimex hemipterus (kawasan beriklim tropika termasuk Malaysia) dan Cimex lectularius yang cenderung ditemui di negara beriklim sederhana. Pepijat dewasa berukuran 4-7 mm panjang, berbentuk bujur dan leper yang memudahkan mereka bersembunyi di dalam rekahan dan celah pada perabot, tilam dan dinding. Ia tidak mempunyai sayap, justeru bergerak secara merangkak perlahan atau ‘menumpang’ pada bagasi, pakaian atau perabot yang dipindahkan.

Bagaimana pepijat menginfestasi kediaman?

 Infestasi pepijat boleh dikenal pasti menerusi penemuan pepijat pada habitatnya seperti pada celahan dan rekahan katil, dinding dan perabot. Kewujudan tompok darah pada cadar juga menunjukkan kemungkinan infestasi pepijat. Pepijat juga mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan dan boleh dikesan sekiranya pepijat hadir dalam jumlah yang banyak. Terdapat beberapa cara yang membolehkan pepijat menginfestasi sesuatu kawasan kediaman, antaranya melalui

  • kemasukan barang atau perabot yang telah diinfestasi pepijat (terutamanya perabot terpakai) ke dalam kediaman.
  • kunjungan tetamu yang membawa pepijat pada pakaian, beg dan lain-lain.
  • haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing yang keluar masuk kediaman.
  • haiwan liar seperti burung dan kelawar yang bersarang di bahagian atap rumah.
  • aktiviti melawat tempat-tempat yang berkemungkinan diinfestasi pepijat seperti asrama, hotel atau panggung wayang.

Kesan gigitan pepijat

Kedua-dua pepijat jantan dan betina adalah penghisap darah tegar. Mereka bersifat nokturnal iaitu aktif menghisap darah manusia ketika tidur pada waktu malam. Kebiasaannya, 5 hingga 12 minit diperlukan oleh pepijat setiap kali menghisap darah. Bendalir liurnya mempunyai kesan bius yang menyebabkan gigitannya tidak menyakitkan dan kesan gigitan hanya disedari beberapa jam selepas gigitan. Kebiasaannya, ia akan menggigit di kawasan tubuh badan yang tidak dilitupi pakaian seperti muka, leher, belakang badan, tangan dan lengan serta kaki dan betis. Jumlah gigitan pula adalah bergantung kepada bilangan pepijat yang menginfestasi sesuatu kawasan atau ruang. Sekali pandang, kesan gigitannya hampir serupa dengan kesan gigitan serangga lain seperti nyamuk. Terdapat kesan kemerahan berukuran lebih kurang 5 hingga 20 mm berserta gelembung air di bahagian tengah. Uniknya, kesan gigitan pepijat kebiasaannya hadir secara berturutan dalam garis lurus ataupun melengkung. Walaupun tidak menyebabkan sebarang jangkitan penyakit, namun  bagi individu yang sensitif dan anak-anak kecil, gigitannya mampu mengakibatkan alahan yang teruk. Selain itu, ia juga boleh menyebabkan gangguan tidur yang serius serta kesan psikologi kepada mereka yang terdedah kepada gangguan pepijat secara berterusan.

Bagaimana menghindari dan membasmi infestasi pepijat?

Menghindari pepijat bermula dari luar rumah. Langkah paling berkesan adalah memastikan perabot yang dibawa masuk ke rumah (terutamanya perabot terpakai) bebas daripada infestasi pepijat. Selain itu, haiwan peliharaan juga harus dipantau agar tidak membawa pepijat dari luar masuk ke dalam rumah. Langkah-langkah berikut boleh diambil bagi membasmi pepijat:

  • Memeriksa secara teliti tempat persembunyian pepijat termasuk mengasingkan cadar dan tilam daripada kerangka katil.
  • Lakukan pembersihan menggunakan vakum secara berterusan dan masukkan isi kandungan beg vakum ke dalam beg plastik yang bertutup sebelum dibuang.
  • Membasmi tempat persembunyian pepijat dengan menampal dan membaiki rekahan pada dinding, perabot dan sebagainya.
  • Pakaian dan cadar yang diinfestasi pepijat perlu dibasuh dengan air panas sekurang-kurangnya pada suhu 60oC bagi membunuh pepijat.
  • Racun serangga yang bersesuaian perlu digunakan untuk merawat kawasan yang diinfestasi pepijat. Rawatan ulangan dan khidmat syarikat kawalan serangga perosak adalah perlu terutamanya bagi kediaman yang mengalami infestasi yang teruk.

Tahukah Anda?

  1. Pepijat betina mampu bertelur sehingga 300 biji sepanjang hayat.
  2. Telur pepijat menetas dalam tempoh dua minggu (sekurang-kurangnya 3-10 minggu diperlukan untuk matang atau dewasa).
  3. Kitar hidup pepijat adalah selama 12 hingga 18 bulan.
  4. Pepijat boleh tahan beberapa bulan tanpa makanan.
  5. Pepijat tidak membawa penyakit, tetapi boleh menyebabkan alahan.