Kucing dan Parasit Toksoplasma: Bahaya Kepada Ibu Hamil?

3355

Apakah itu Toksoplasmosis?

Toksoplasmosis adalah penyakit yang disebabkan oleh sejenis parasit, iaitu Toksoplasma gondii. Parasit ini boleh menjangkiti kebanyakan haiwan, termasuk manusia.

Bagaimanakan Toksoplasmosis tersebar?

Kucing memainkan peranan penting dalam penyebaran toksoplasmosis. Mereka biasanya mendapat jangkitan parasit ini secara karnivorism, iaitu apabila ia memakan parasit T. gondi (sista) yang terkandung di dalam organ haiwan-haiwan lain yang terinfeksi, seperti tikus. Sista T. gondii yang dimakan oleh kucing ini seterusnya akan memasuki usus kucing dan berkembangbiak di dalamnya. Akhirnya parasit ini akan dikeluarkan bersama-sama najis kucing dalam bentuk oosista. Beribu-ribu oosista akan dikeluarkan oleh kucing dan seterusnya berkembang menjadi peringkat infektif di dalam persekitaran. Oosista inilah yang akan menjadi punca pencemaran  parasit T. gondii kepada manusia dan haiwan-haiwan lain.

Anda juga mungkin akan terdedah dengan parasit ini secara tidak sengaja apabila memasukkan jari ke dalam mulut selepas menukar pasir kumbahan kucing atau selepas melakukan aktiviti  berkebun tanpa memakai sarung tangan. Selain itu, buah-buahan, sayur-sayuran dan daging yang tercemar dengan parasit ini juga boleh menyebarkan penyakit ini sekiranya tidak dibasuh dengan bersih dan dimasak sebelum dimakan. Penyakit ini juga boleh disebarkan melalui pemindahan darah yang tercemar (rujuk Rajah 1).

Rajah 1: Cara penularan parasit Toksoplasma gondii

Bagaimana saya tahu yang saya telah dijangkiti parasit ini?

Sekiranya anda hamil, doktor yang merawat anda akan membuat ujian darah untuk menyaring kehadiran antibodi terhadap parasit Toksoplasma.

Bagaimana Toksoplasmosis boleh menjejaskan bayi dalam kandungan saya?

Sekiranya anda mendapat jangkitan Toksoplasma ketika hamil, parasit ini boleh dipindahkan kepada bayi dalam kandungan. Anda mungkin tidak mempunyai sebarang simptom daripada jangkitan ini. Kebanyakan bayi juga tidak menunjukkan sebarang simptom ketika lahir, namun simptom yang serius akan berlaku selepas beberapa tahun kelahiran seperti buta dan ketidakupayaan mental. Kadang-kadang, bayi yang baru lahir akan mengalami kerosakan mata dan otak yang serius. Jangkitan Toksoplasma juga boleh mengakibatkan keguguran dan kematian spontan kepada bayi di dalam kandungan.

Adakah saya perlu menjauhi kucing sekiranya saya hamil atau merancang untuk hamil?

Tidak. Anda seharusnya mengikuti tips-tips kebersihan seperti berikut untuk mengurangkan risiko terdedah kepada Toksoplasma.

  • Elakkan menukar pasir kumbahan kucing. Sekiranya terpaksa, pakai sarung tangan dan cuci tangan dengan sabun dan air suam.
  • Berikan kucing anda makanan kering atau makanan dalam tin yang dijual di pasaran. Elakkan memberi daging mentah sebagai makanan kepada kucing anda.
  • Pelihara kucing anda di dalam kawasan rumah.
  • Elakkan bermain dengan kucing liar.
  • Pakai sarung tangan ketika berkebun atau semasa membuat aktiviti yang menyentuh tanah kerana ia mungkin bercampur dengan najis kucing yang tercemar dengan Toksoplasma.

Adakah terdapat rawatan untuk penyakit ini?

Terdapat ubatan khusus untuk penyakit ini. Sekiranya kedua-dua ibu dan anak disahkan dijangkiti Toksoplasma, anda dan bayi anda akan dipantau rapi sepanjang kehamilan dan selepas kelahiran.

Apakah cara terbaik untuk melindungi diri saya dan bayi dalam kandungan daripada jangkitan Toksoplasma?

Pemilik kucing seharusnya mengikuti tip-tip kebersihan seperti yang disenaraikan di atas.

Anda juga seharusnya:

  • Masak makanan anda sepenuhnya dan elakkan mengambil makanan separuh masak atau mentah.
  • Bekukan daging untuk beberapa hari sebelum masak kerana ia dapat mematikan parasit.
  • Kupas kulit buah dan basuh buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum makan.
  • Basuh papan pemotong, perkakas dapur dan tangan dengan sabun dan air suam selepas penggunaannya.
  • Elakkan meminum air yang tidak dirawat.