Membentuk Peribadi Si Manja

2851

Setiap kanak-kanak tidak dilahirkan terus sebagai individu yang tunduk dan menghormati orang lain. Ibu bapa ialah model yang berperanan untuk mendidik anak-anak untuk lebih berakhlak mulia.

Dari rumah lagi, kanak-kanak akan terdedah dengan perkara baik dan penentangnya yang mereka anggap sebagai perilaku jahat. Nilai-nilai murni yang lain seperti kejujuran, integriti, bertimbang rasa dan mempercayai turut menjadi tunjang keperibadian mereka di rumah.

Konflik mula terjadi apabila nilai dan kelakuan baik yang dipelajari di rumah akhirnya bertembung dengan budaya negatif di sekolah ataupun ketika dia bermain di luar.

Pertembungan nilai negatif dan positif akan menjadi lebih besar apabila dia membesar. Ini disebabkan kanak-kanak itu semakin berjauhan daripada anggota keluarga.

Masa-masa yang dihabiskan bersama rakan-rakannya lebih lama berbanding di rumah. Anda boleh memperuntukkan masa lebih berkualiti bagi anda sekeluarga.

Menegaskan perintah solat berjemaah ke atas setiap anggota keluarga akan memastikan anggota keluarga berkumpul. Sampaikanlah sebarang nasihat berguna ke atas diri mereka. Apa sahaja bentuk pertanyaan haruslah dijawab dengan terbuka.

Bukan sekadar menerapkan nasihat-nasihat berguna, anda juga perlu menyampaikan perlakuan yang menyerupai ungkapan. Sebagai individu yang paling hampir dengannya, tonjolkan keperibadian yang mulia sebagai ikutan terbaik. Kanak-kanak memerlukan arahan yang jelas dan mudah diikuti.

Selain itu, anda sebagai ibu bapa lebih baik bertanya kepada mereka tentang perkara-perkara yang berlaku di sekolah.

Dapatkan jawapan mengenai cara mereka mengendalikan sesuatu masalah dan perkara. Sebagai contoh, “Bagaimana jika kawan kamu mencuri sesuatu di kantin?” tunggu reaksinya dengan sabar.

Jika dia memberikan jawapan yang bercanggah dari akhlak yang baik, minta sebab bagi jawapan anak anda. Jangan pula anda membentak terhadap jawapannya.

Sampaikan pandangan anda dan sebab bagi jawapan anda secara baik. Tinggalkan anak anda dengan sesuatu untuk difikirkan. Dengan berlembut dalam menyampaikan pandangan, anda akan mendapati mereka lebih mudah untuk menerima pandangan dari anda.

Kesimpulannya, kanak-kanak yang membesar tidak akan menghadapi masalah selagi mana ibu bapa menumpukan sepenuh perhatian terhadapnya. Didikan agama merupakan tumpuan penting yang perlu ditempelkan dalam keperibadian anak anda agar keseluruhan aspek sahsiah anak-anak bakal terpelihara.