Tip Membentuk Persekitaran dalam Rumah yang Lebih Selamat

2398

Malaysia pernah dikejutkan dengan beberapa kes melibatkan kematian kanak-kanak akibat dihempap televisyen. Kemalangan ke atas kanak-kanak seperti dihempap televisyen boleh berlaku di mana-mana sahaja, tidak kira tempat dan masa. Menurut Fiedler (2004), bahaya tidak dapat dielakkan kerana bahaya terdapat di setiap tempat, setiap keputusan yang dilakukan dan pada setiap tindakan yang diambil. Maka, ibu bapa berperanan penting dalam memastikan keselamatan kanak-kanak terjamin sepanjang dalam pengawasan mereka.

Anak-anak merupakan insan kecil yang tidak mengerti tentang bahaya di sekeliling. Jadi, ibu bapa berperanan besar untuk memantau segala aktiviti anak seiring dengan perkembangan umur mereka yang ingin mencuba dan meneroka. Menurut Erik Erikson, pada peringkat umur prasekolah, kanak-kanak mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi tanpa mengetahui bahaya di sekeliling mereka. Jadi, ibu bapa perlu peka bukan sahaja terhadap  setiap aktiviti anak tetapi terhadap persekitaran bagi menjamin keselamatan kanak-kanak.

Anak-anak tidak boleh dibiarkan bermain sendirian di ruang tamu yang menjadi tempat utama letaknya televisyen kerana mereka merupakan individu yang memerlukan sentuhan dan perdampingan orang dewasa untuk kelangsungan hidup yang sejahtera. Seperti kata pepatah Inggeris, “Don’t leave a kid even for a minute”. Ibu bapa perlu bersama-sama bertanggungjawab terhadap keselamatan kanak-kanak yang memerlukan kawalan dan pemantauan orang dewasa bagi mengelak berlakunya kemalangan yang tidak diingini.

Menurut Kournitis et.al (2001), kemalangan yang berlaku adalah disebabkan oleh kesilapan manusia. Kesilapan manusia ini merujuk kepada kecuaian manusia yang mungkin disebabkan oleh kepenatan, kejahilan atau keadaan persekitaran. Bagi mengelak berlakunya kes kematian kanak-kanak disebabkan dihempap televisyen ini, ibu bapa perlu sentiasa memastikan televisyen berada dalam posisi yang selamat dan stabil serta dalam jangkaan ergonomik yang sesuai.

Susun atur penyimpanan televisyen adalah perlu di tempat yang lebih stabil, kukuh dan jauh daripada kanak-kanak. Kreativiti ibu bapa dalam menempatkan susun atur kedudukan televisyen perlulah seiring dengan kepekaan pada aspek keselamatan untuk seisi rumah.  Tali atau wayar yang berselirat berdekatan televisyen perlu berada dalam keadaan kemas dan selamat bagi mengelak risiko kanak-kanak bermain dengannya dan seterusnya boleh menyebabkan televisyen tersebut jatuh dan menghempap kanak-kanak.

Menurut Fye and Mumpower (2001), susun atur perabot yang selamat adalah penting bagi memudahkan pergerakan dan mengelak berlakunya kemalangan yang tidak diingini. Ibu bapa perlu sentiasa melakukan “Senarai Semak Keselamatan” agar barang tidak terjatuh iaitu dalam tujuan memastikan televisyen sentiasa diletakkan dalam posisi yang betul di tempat yang stabil. Dalam memastikan televisyen tidak mudah terjatuh, perabot televisyen tersebut perlulah disandarkan ke dinding selain dipastikan berada di atas permukaan yang luas dan kukuh serta diletakkan jauh daripada ruang lingkup capaian kanak-kanak. Perabot yang sudah rosak yang digunakan untuk penyimpanan televisyen juga perlu dikeluarkan atau diasingkan dalam rumah yang didiami oleh kanak-kanak bagi mengelak risiko tertumbang dan menghempap si kecil.

Ibu bapa perlu lebih bertanggungjawab terhadap keselamatan anak-anak mereka. Setiap pergerakan anak perlu dipantau demi menjamin keselamatan mereka. Prosedur keselamatan di rumah perlu diambil berat dan diamalkan oleh seisi rumah. Contohnya, ibu bapa perlu menerapkan disiplin dalam kalangan anak supaya tidak tidur atau bermain di kawasan berhampiran televisyen tanpa kawalan ibu bapa. Kita perlu lebih bersedia dalam menjangkakan risiko-risiko bahaya yang mungkin berlaku akibat kecuaian kita.

Persekitaran rumah yang tidak selamat seperti kabinet yang tidak kukuh dan hampir reput juga perlu dijauhkan daripada kanak-kanak demi keselamatan mereka. Ini bagi memberi peluang kepada anak untuk meneroka dan membesar dalam keadaan sejahtera dan selamat serta jauh daripada ancaman bahaya.

Mencegah itu lebih baik daripada merawat. Mencegah daripada berlakunya kemalangan itu pun tidak mudah tetapi untuk merawat kemalangan yang berlaku itu adalah lagi mahal, mendatangkan kos dan tidak menguntungkan. Malah, akan meninggalkan kesan yang mendalam dan trauma berpanjangan jika kecuaian kita menyebabkan kematian anak yang dikasihi.