6 Aktiviti Tingkatkan Semangat Patriotik Kanak-Kanak Sempena Bulan Kemerdekaan!

13830

Wah! Bulan Ogos datang lagi! Bulan Ogos dikenali sebagai bulan kemerdekaan kerana negara kita telah merdeka pada 31 Ogos 1957. Bagi meraikan bulan yang bermakna ini, jom ikuti 6 aktiviti menarik yang boleh dilakukan untuk meningkatkan keterujaan dan semangat patriotik di kalangan kanak-kanak. Ayuh serlahkan jiwa kemerdekaan si cilik dengan aktiviti yang bermakna sepanjang bulan Ogos ini!

1. Melukis Dan Mewarna

Pertama, aktiviti melukis dan mewarnakan bendera Malaysia. Melalui aktiviti ini, kanak-kanak boleh mengenali warna-warna yang terdapat di bendera Malaysia iaitu kuning, biru, putih dan merah! Sama ada menggunakan pensil warna, krayon atau warna air, kanak-kanak memang suka mewarna! Serlahkan bakat mereka dengan mewarnakan bendera Malaysia di kain rentang untuk sedia dikibarkan dengan bimbingan anda!

2. Menyanyikan Lagu Negaraku

Kedua, aktiviti menyanyikan lagu Negaraku. Kanak-kanak perlu diajar berdiri tegak sebagai tanda hormat sepanjang berkumandangnya lagu Negaraku. Si cilik yang berdiri tegak sambil menyanyikan lagu ini dengan penuh semangat pastinya mencuit hati sesiapa sahaja yang mendengarnya!

3. Menonton Filem-Filem Bersejarah

Ketiga, aktiviti menonton filem-filem bersejarah juga boleh dilakukan seperti cerita Leftenan Adnan dan Bukit Kepong. Aktiviti seperti ini boleh membangkitkan semangat patriotik dan sayangkan negara dalam kalangan kanak-kanak ini. Mesej daripada filem yang ditonton ini perlulah disampaikan oleh guru secara santai dan mudah difahami oleh kanak-kanak cilik ini.

4. Bercerita

Keempat, aktiviti bercerita juga boleh dijalankan sama ada menggunakan video, surat khabar atau big book. Anda boleh bercerita tentang hari kemerdekaan, tokoh kemerdekaan, Perdana Menteri Malaysia, bendera Malaysia dan lain-lain lagi. Selain itu, anda juga boleh bercerita tentang bunga kebangsaan iaitu bunga raya!

5. Perarakan Kemerdekaan

Kelima, kanak-kanak boleh dilibatkan dengan perarakan kemerdekaan dengan bimbingan guru di tadika. Berarak dengan memakai baju kebangsaan sambil mengibarkan bendera Malaysia dapat meningkatkan semangat patriotik dan perasaan cintakan negara. Melalui aktiviti ini, kanak-kanak juga didedahkan dalam persekitaran sosial yang sihat dan harmoni.

6. Pertandingan Nyanyian

Keenam, pertandingan nyanyian lagu patriotik dan sajak kemerdekaan pastinya meningkatkan keterujaan kanak-kanak. Selain menambah kosa kata dan meningkatkan perbendaharaan kata, aktiviti pertandingan seperti ini juga dapat membangkitkan perkembangan emosi yang positif dalam kalangan kanak-kanak.

Ayuh! Semarakkan semangat patriotik dan sayangkan negara pada si cilik melalui perancangan aktiviti yang menarik lagi bermakna yang boleh dilakukan di rumah atau di tadika!