7 Tip Agar Anak Cintakan Kebaikan

1915

Tiada yang lebih indah di dalam kehidupan ini melainkan apabila seseorang itu dapat melakukan kebaikan dengan penuh keikhlasan yang akhirnya tercerna  ketenangan di dalam hatinya. Untuk melahirkan anak-anak yang cintakan kebaikan ini bukannya senang kerana  ianya memerlukan beberapa bekalan yang penting. Berikut merupakan 7 tip sebagai panduan ringkas untuk kita amalkan: 

Pertama

                 

Sebelum kita menyuruh anak-anak kita melakukan kebaikan maka seelok-eloknya kita sebagai ibu bapa hendaklah terlebih dahulu melakukan kebaikan itu. Contohnya, sebelum kita menyuruh anak kita solat berjemaah di Masjid maka kitalah sepatutnya terlebih dahulu sentiasa ke masjid, dengan itu anak-anak kita akan mengikuti akhlak yang baik daripada kita, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud “Wahai orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan?” Surah As-Saff: 2. 

Kedua

Ibu bapa sentiasalah bertanya kepada anak-anak tentang apakah kelebihan melakukan kebaikan seperti solat, berpuasa, berzikir, mentaati kedua ibu bapa, hidup bermasyarakat dan sebagainya? Dengan bertanya dan berbincang tentang kebaikan ibadah tersebut, mereka akan lebih menghayatinya dan bukan sekadar melakukannya secara ritual atau sebagai adat sahaja.

Ketiga

Menghadiahkan buku-buku yang berkaitan dengan ganjaran yang besar bagi mereka yang melakukan kebaikan, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang membebaskan orang mukmin dari kesempitan dunia, maka Allah akan membebaskannya dari kesempitan di hari Kiamat (Riyawat Muslim). Juga dalam firman Allah SWT: “Barang siapa yang melakukan kebaikan sebesar zarah pun akan dapat dilihat (di akhirat nanti). Surah Al-Zalzalah: 7-8.

Keempat

Memilih kawan-kawan yang baik untuk anak-anak juga adalah penting, kerana anak-anak mudah terpengaruh dengan kawan-kawannya. Jika anak-anak itu ditemani oleh kawan-kawan  yang baik, maka baiklah dirinya. Begitulah sebaliknya, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Seseorang itu mengikuti kebiasaan teman karibnya, oleh itu perhatikanlah siapa yang akan menjadi teman karibnya” (Riwayat Abu Daud).

Kelima

Pendidikan Islam

Sentiasa memberi sokongan yang padu kepada anak-anak adalah amat penting kerana mereka sentiasa menanti sokongan daripada kita. Ibu bapa hendaklah prihatin dan sentiasalah memberi sokongan kepada mereka, jika anak-anak kita ingin mempelajari ilmu agama, seperti Aqidah, Fiqh, Hadis, Sirah dan sebagainya, maka berilah sokongan kepada mereka dengan memberi kemudahan untuk anak-anak kita pergi menuntut ilmu yang mulia itu, sesungguhnya wang ringgit yang kita curahkan kepada mereka itu tidak akan hilang begitu sahaja, malah ianya  akan dibalas dengan syurga-Nya Insya Allah.

Jangan sesekali kita merendahkan minat anak-anak kita walaupun mereka amat berminat kepada bersukan seperti berlari, berbasikal, bermain bola  sepak , sepak takraw, badminton dan sebagainya dengan mengatakan: “Ahh … kamu tak perlu bermain bolalah, kamu kaki bangku, kamu tidak kuat lari seperti orang lain.” dan sebagainya, kata-kata begini akan melemahkan semangat anak-anak kita  untuk terus maju kehadapan di dalam mengejar cita-cita mereka. 

Keenam

Sentiasa memberi penghargaan kepada anak-anak apabila mereka melakukan sesuatu kebaikan walaupun nilai di sisi kita adalah terlalu kecil, contohnya  apabila anak-anak kita berjaya mengkhatam Al-Quran maka hulurkan sedikit hadiah seperti  buku-buku yang membangkitkan semangat mereka melakukan kebaikan  atau memberi penghargaan dengan kata-kata pujian dan semangat seperti : “Muhammad anak soleh , Muhammad boleh hafaz semua Quran ni , suara Muhammad pun merdu, Muhammad boleh pergi jauh, Muhammad berbakat” dan sebagainya. Sesungguhnya tidak rugi sedikit pun bagi kita jika kita menghargai anak-anak kita, kerana kesannya adalah amat besar dan akan tersemat indah di dalam hati mereka.

Ketujuh

Doa adalah senjata Mukmin, maka gunakanlah senjata ini untuk kita mendoakan agar anak-anak kita sentiasa melakukan kebaikan, berterusan melakukan kebaikan dan kekal di atas kebaikan serta berakhir kehidupan kita semua di atas kebaikan. Amalkanlah doa ini: “Ya Allah ya Tuhan kami, akhirilah kehidupan kami ini dengan sebaik-baik pengakhiran dan janganlah akhiri kehidupan kami ini dengan seburuk-buruk pengakhiran”. Amin ya Rabbal Alamin.