Bolehkah Kanak-Kanak Bermasalah Pendengaran Bercakap ?

2017

Umumnya, dalam kehidupan seharian, kita akan berkomunikasi dan berinteraksi antara satu sama lain melalui pelbagai cara, antaranya lisan dan bahasa isyarat. Kita yang menentukan cara berkomunikasi yang sesuai dan mudah untuk kita. Bagaimanakah pula bagi kanak-kanak bermasalah pendengaran? Adakah mereka boleh bercakap? Sekiranya kita mahu mereka berkomunikasi secara lisan, ada beberapa langkah penting yang perlu diambil kira untuk memastikan mereka boleh bertutur seperti kanak-kanak berpendengaran normal.

Apakah langkah-langkah yang perlu kita lakukan?

Pertama, kita perlu memastikan bahawa anak kita sudah menjalani ujian pendengaran atau saringan pendengaran. Sekiranya belum, kita perlu bersegera memastikan anak mendapatkan janji temu untuk ujian pendengaran walaupun dia kelihatan “normal” dan mampu memberi respons kepada setiap bunyi yang ada. Anak boleh menjalani ujian pendengaran seawal usia 24 jam selepas lahir! Jadi jangan bertangguh untuk mendapatkan ujian pendengaran untuk anak kita dengan alasan dia masih kecil.

Menerusi keputusan ujian pendengaran tadi, ahli audiologi akan dapat mengesan dan melakukan intervensi awal terhadap masalah pendengaran anak kita dengan segera. Ini kerana, masalah pendengaran yang dikesan awal akan memberi impak yang besar kepadanya untuk bertutur seperti kanak-kanak berpendengaran normal. Sekiranya masalah pendengaran dapat dikesan sebelum umur 3 tahun, potensi anak untuk belajar bahasa dan bertutur seperti kanak-kanak berpendengaran normal seusianya adalah tinggi. Lebih awal masalah pendengaran dapat dikesan, boleh untuk berkomunikasi secara lisan adalah lebih baik.

Perlu diingatkan juga bahawa kanak-kanak yang lulus ujian saringan pendengaran ketika lahir juga boleh mendapat masalah pendengaran perolehan. Masalah pendengaran perolehan bermaksud masalah pendengaran yang diperoleh selepas lahir dalam keadaan bayi berpendengaran normal pada asalnya.  Oleh itu, kita perlu memantau pendengaran anak kita dengan cara memantau perkembangan bahasa dan pertuturannya. Sekiranya anak kita berpendengaran normal, bahasa pertuturan mereka juga sepatutnya sejajar dengan kanak-kanak lain seusia mereka.

Langkah kedua yang perlu kita lakukan sekiranya anak dikesan mempunyai masalah pendengaran adalah dengan memastikan bahawa dia tidak terlepas janji temu ulangan. Penangguhan janji temu ulangan akan menyebabkan dia lambat mendapat rawatan yang berkesan. Audiologis akan melakukan ujian pendengaran lengkap dan membantunya mendengar dengan memakai alat pendengar (sekiranya perlu). Janji temu ulangan sangat penting bagi memastikan alat pendengar berada pada tahap yang sesuai mengikut tahap pendengarannya. Selain itu, dia juga akan dirujuk kepada ahli terapi pertuturan-bahasa bagi membantunya membina kemahiran mendengar dan bertutur.

Kecanggihan teknologi hari ini dapat membantu anak untuk mendengar menggunakan alat pendengar. Alat pendengar menggunakan konsep mikrofon yang akan membesarkan bunyi mengikut ketetapan alat tersebut dan tahap masalah pendengaran anak. Anak akan mampu mendengar sekiranya alat  pendengar itu digunakan dan berfungsi dengan baik. Namun, teknologi ini masih mempunyai kelemahan yang mana alat ini hanya mampu untuk membesarkan bunyi yang ada di sekitar pengguna dalam jarak lingkungan 1 hingga 2 meter sahaja.  Oleh itu, mereka yang menggunakan alat pendengar akan sukar untuk mendengar sekiranya sumber bunyi itu jauh daripada mereka. Ia akan menjadi lebih sukar jika ditambah dengan bunyi bising di persekitaran.

Langkah ketiga merupakan faktor utama bagi memastikan anak mampu untuk mendengar dan bertutur seperti kanak-kanak berpendengaran normal. Kita perlu komited dalam menghadiri segala janji temu ulangan bersama ahli audiologi dan ahli terapi pertuturan-bahasa. Komited yang dimaksudkan di sini adalah kita perlu fahami jenis dan tahap masalah pendengaran, peka terhadap alat pendengarnya, melibatkan diri secara aktif dalam sesi terapi bersama-sama ahli terapi pertuturan-bahasa dan juga melakukan terapi ketika bersama anak. Ini kerana kita mempunyai lebih banyak masa dengannya berbanding ahli terapi pertuturan-bahasa dan ahli audiologi. Setiap masa yang diluangkan bersama-sama anak perlu dimanfaatkan sebagai sesi terapi pertuturan.

Kesimpulannya, anak yang bermasalah pendengaran mampu dan boleh  bercakap atau bertutur secara lisan dengan syarat kita melakukan beberapa perkara berikut. Pastikan mereka sudah menjalani ujian pendengaran, jangan terlepas segala janji temu yang diberikan, dan yang terakhir adalah sentiasa aktif dan komited ketika menghadiri sesi terapi dan semasa bersama-samanya. Perlu diingatkan bahawa anak boleh dibantu dan perlu dibantu oleh semua pihak kerana dia juga ingin merasai nikmat mendengar yang dikurniakan Tuhan.

Institut Telinga, Pendengaran dan Pertuturan (Institute-HEARS) dengan tajaan Yayasan Sime Darby (YSD) akan mengadakan program kesedaran, bengkel untuk ibu bapa yang yang ada masalah pendengaran dan program latihan bagi profesional yang terlibat dengan kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran. Program ini akan diadakan di seluruh Semenanjung Malaysia. Hubungi kami untuk maklumat lanjut:

Facebook : www.facebook.com/institutehears

Telefon : 03-92895132 (pejabat)

Email : [email protected]

Mohamad Firdaus Latip
Pegawai Pemulihan Perubatan Pendengaran Institut Telinga, Pendengaran & Pertuturan (Institute-HEARS) Universiti Kebangsaan Malaysia Institut Telinga, Pendengaran dan Pertuturan (Institute-HEARS) dengan tajaan Yayasan Sime Darby (YSD) akan mengadakan program kesedaran, bengkel untuk ibu bapa yang mempunyai masalah pendengaran, dan program latihan bagi profesional yang terlibat dengan kanak-kanak yang mempunyai masalah pendengaran. Program ini akan diadakan di seluruh Semenanjung Malaysia. Hubungi kami untuk maklumat lanjut: Telefon: 03-92895132 (pejabat)