Setiap Pergerakan Penting

2671

Artikel utama isu ini (lihat Obesiti: Pencegahan Awal Kunci Utama, muka surat 5) mendedahkan betapa runcingnya masalah obesiti kanak-kanak. Gaya hidup sedentari adalah satu faktor utama penyebab obesiti, maka galakkan anak anda untuk mengamalkan gaya hidup aktif. Sentiasa ingatkan diri anda bahawa aktiviti fizikal itu penting untuk kesihatan anak anda sekarang dan di masa hadapan.

Menjadikan aktiviti fizikal sebahagian daripada kehidupan harian anak anda akan memberikan kebaikan sepenuhnya dari segi pencapaian pertumbuhan dan perkembangan sihat, harga diri tinggi, tulang, otot dan sendi kuat, imbangan dan postur lebih baik, serta jantung kuat. Kanak-kanak yang aktif lebih cenderung mengekalkan berat badan yang sihat, berinteraksi sosial lebih baik dengan kawan-kawan, dan lebih fokus dan menumpukan perhatian di sekolah.

Mendorong minatnya

Terdapat pelbagai jenis aktiviti fizikal yang boleh menarik minat atau mempengaruhi anak anda menjadi lebih aktif, seperti aktiviti mudah (spt. berjalan, berlari), aktiviti yang memerlukan peralatan (spt. meluncur roda, berbasikal), dan aktiviti yang memerlukan fasiliti (spt. daki tembok, pusat trampolin).

Jika ini adalah kali pertama anak anda melakukannya, biarlah dia mula dengan selesa. Aktiviti fizikal harus bersesuaian dengan tahap kemampuan fizikalnya – jangan harapkan dia berlari maraton apabila dia langsung tidak boleh berlari lima pusingan di taman permainan! Terlalu banyak dan terlalu awal akan menyebabkan kecederaan, oleh itu sentiasa berhati-hati.

Tiga jenis aktiviti untuk pertumbuhan dan perkembangan sihat adalah:

  1. Ketahanan atau aktiviti aerobik (spt. berlari, berenang)
  2. Kelenturan (aktiviti melibatkan regangan, spt. balet, yoga, gimnastik)
  3. Kekuatan (spt. mendaki, tekan tubi, tarik tubi)

Bergerak cergas!

Anda perlu tunjuk teladan baik untuk mengerakkan minat anak anda menjadi aktif. Jika anda tidak pasti tentang kemampuan fizikalnya, berbincang dengan doktor untuk cadangan sukan atau aktiviti. Jurulatih senaman bertauliah juga boleh menasihatkan kekerapan, tempoh, intensiti dan jenis aktiviti fizikal yang sesuai. Sebahagian besar aktiviti fizikal kanak-kanak kecil adalah bermain aktif dan lebih berpeluang untuk bergerak dan meneroka persekitaran.

Faktor lain untuk pertimbangan termasuk:

Cari aktiviti sesuai:

Jika anda gemar ke gim atau berlari maraton dan ingin anak anda melakukan aktiviti sama, ia sebenarnya tidak sesuai untuk perkembangan kanak-kanak kecil. Bola sepak, berbasikal, berenang, atau aktiviti bertenaga sederhana rendah adalah permulaan baik. Mendaki dalam bangunan atau melompat trampolin adalah menyeronokkan dan meningkatkan kemahiran motor tetapi pengawasan diperlukan.

Kekalkan alat permainan yang galakkan aktiviti:

Kanak-kanak kecil digalakkan bermain bola, melompat tali, basikal beroda tiga, trampolin mini, frisbee, belon air, dan permainan lain yang menggalakkan kanak-kanak cergas dan aktif.

Hadkan TV, komputer, penggunaan peranti:

Saranan Akademi Pediatrik Amerika menghadkan waktu menonton (ia aktiviti sedentari) tidak lebih satu jam sehari program berkualiti tinggi bagi kanak-kanak umur 2-5 tahun, dan had konsisten bagi kanak-kanak umur 6 tahun ke atas. Penggunaan media tidak harus mengganggu tidur, aktiviti fizikal, dan tingkah laku harian berkaitan kesihatan.

Jadikan ia seronok untuk anak anda:

Cari aktiviti yang dia gemar dan mempunyai peluang tinggi untuk meneruskannya. Misalnya, jika dia suka bermain air, ajar dia berenang. Penglibatan seluruh keluarga juga cara terbaik untuk meluangkan masa berkualiti bersama-sama. Memandangkan kanak-kanak seronok bermain aktif di luar rumah, ibu bapa harus ambil peluang ini sebaik mungkin.

Rancang lebih awal dan utamakan keselamatan:

Aktiviti yang melibatkan fasiliti (spt. berenang, mendaki tembok tiruan, pusat lompat, dll) memerlukan perancangan, contohnya menempah sesi, mengetahui waktu operasi, dll. Keselamatan juga penting, seperti topi keledar dan aksesori keselamatan lain untuk berbasikal, meluncur roda atau papan luncur. Pastikan sukan dan aktiviti sesuai dan selamat mengikut umur, dengan pakaian dan kasut yang selesa dan sesuai.

Luangkan masa untuk bermain aktif:

Elak dari memadatkan jadual anak anda dengan terlalu banyak aktiviti bukan fizikal, seperti kelas muzik atau aktiviti berkaitan akademik. Pastikan anda memperuntukkan masa untuk aktiviti fizikal atau bersukan.

Kembalikan tenaga:

Semestinya aktiviti fizikal banyak berpeluh. Hidrat semula dengan air ataupun susu untuk memenuhi saranan 2-3 sajian sehari. Minuman sukan/tenaga biasanya banyak gula, dan mungkin mengandungi soda, kafein dan bahan herba yang tidak sesuai bagi kanak-kanak. Kurangkan minuman jus kerana kandungan gula tinggi. Air kosong paling sesuai, kuantiti diminum bergantung kepada umur dan berat kanak-kanak, intensiti aktiviti dan keadaan cuaca. Jika lapar, berikan makanan berkhasiat seperti sandwic telur, biskut keju, susu kocak pisang atau pau kacang/daging untuk kembalikan tenaga.

Jangan keterlaluan

Pastikan anak anda tidak melakukan aktiviti fizikal terlalu kuat. Ingatkan dia untuk mengikut rasa tubuhnya. Jika dia berasa sakit atau tidak selesa, dia harus memperlahankan diri atau pilih aktiviti yang lebih ringan.

Sama juga dengan aktiviti keluarga, ia harusnya seronok dan tidak bersaing. Jangan abaikan aspek gaya hidup sihat lain seperti makan secara sihat dan diet seimbang, serta mendapat tidur secukupnya. Juga jangan lupa untuk memahami psikologi anak anda.

Dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia.

Artikel ini dipetik daripada laman sesawang www.mypositiveparenting.org.